Wednesday 22 July 2020

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah rumah tangga yang melanda akan datang silih berganti tanpa ada hentinya.

 

Tak kira ringan ataupun berat masalah rumah tangga tersebut.Semua itu adalah perkara yang normal dan anda tidak perlu takut untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah rumah tangga tersebut. Apa yang penting, anda perlu kuat, tabah dan sabar dalam menghadapi, mengatasi dan menyelesaikannya.

 

Ramai yang tidak berjaya untuk mengatasi masalah rumah tangga ini.Malah, bukan sedikit yang tersalah langkah ketika menyelesaikanya. Kebanyakannya cuba menyelesaikan masalah rumah tangga dengan kekerasan dan emosi. Akibatnya akan timbul masalah baru yang tetap memerlukan penyelesaian dengan cara yang matang dan tenang dalam menghadapinya.

 

Masalah rumah tangga ini sangat luas dan turut bersangkut paut dengan pelbagai macam aspek kehidupan berumahtangga. Bermula dari masalah ekonomi, sahabat handai, jiran, teman sepejabat, pendidikan, agama, kemudahan bersama, anak, idealogi dan sebagainya. Bahkan setiap ahli keluarga juga berpotensi menimbulkan masalah rumah tangga. Tak kiralah, anak, anak angkat, ibubapa, adik, kakak, ipar, isteri, suami dan lain-lain lagi.

Beberapa tips untuk mengatasi atau menyelesaikan masalah rumah tangga ini.

 

1.  Bawa Berbincang

Duduk bersama untuk mendapat keputusan bersama yang baik dan sepakat daripada semua pihak. Dengan berbincang atau bermusyawarah, setiap ahli keluarga akan berasa dirinya dihargai. Siapa yang menjadi ketua keluarga harus menjadi pemimpin yang bijak, adil serta tidak memaksa kehendak.

 

2.  Belajar Daripada Pengalaman Orang Lain & Ambil Iktibar

Ramai orang lain yang mempunyai masalah rumah tangga yang sama dengan masalah anda. Jadi, tidak salah jika anda belajar daripda pengalaman keluarga atau mereka itu. Anda boleh sahaja meminta pendapat mereka yang lebih lama berkahwin. Lihat keputusan yang baik dan keputusan yang kurang baik sebagai pelajaran paling bermakna. Anda boleh juga contohi apa yang paling baik untuk diterapkan dalam kehidupan berumahtangga yang sedang anda lalui.

 

3.  Selesaikan Apa Yang Penting Terlebih Dahulu

Masalah yang kecil, sebaiknya tidak diperbesar-besarkan. Masalah kecil boleh sahaja anda abaikan selagi ia tidak berpotensi untuk merebak menjadi besar. Selesaikan terlebih dahulu masalah yang dirasakan perlu ditangani segera atar tidak timbul permasalahan yang lebih besar dalam perkahwinan.

  

4.  Cari Sokongan Ahli Keluarga

Untuk mengatasi masalah suami/isteri yang anda yakin salah, anda sememangnya memerlukan ahli keluarga lain untuk menyokong tindakan anda bagi mengatasi masalah tersebut. Situasi ini akan membuatkan si dia yang bersalah tersedar bahawa dia harus berubah kerana ahli keluarga yang lain mengharapkan yang terbaik daripada kedua-dua belah pihak.

 

5.  Mengalah Untuk Menang

Jika menghadapi orang yang keras kepala, jadi salah satu jalan penyelesaian terbaik adalah mengalah dan menganggap masalah rumah tangga tersebut tidak pernah ada. Jika anda berhadapan dengan orang yang sebegini tiada gunanya jika anda turut sama keras kepala kerana dia tidak akan ‘melutut’ di depan anda sekalipun tahu bahawa dia yang salah.

 

6.  Jangan Sampai Orang Lain Tahu

Semakin ramai orang luar yang tahu masalah rumah tangga anda, akan muncul lagi pelbagai masalah baru . Bahkan anda sendiri pasti akan berasa tidak selesa apabila orang lain mula sibuk membicarakan masalah anda itu. Ini adalah kerana masalah rumah tangga boleh dikatakan sebuah aib yang harus disembunyikan daripada orang-orang yang tidak berhak untuk mengetahuinya. Masalah suami isteri dalam rumah tangga sebaiknya tidak diketahui oleh anak-anak, apatah lagi orang luar!

 

7.  Pengorbanan

Dalam menyelesaikan sebuah masalah adakalanya anda perlu melakukan satu pengorbanan. Paling penting, bersabar dan ikhlas berkorban. Jangan berkorban hanya untuk menyelesaikan masalah yang tidak perlu atau tidak penting. Jangan gunakan emosi ketika menyelesaikan masalah kerana emosi boleh membuat sebuah keputusan yang diambil tidak sempurna.


Wednesday 15 July 2020

WANITA DAN MASALAH DALAM RUMAHTANGGA




PERKAHWINAN adalah bentuk penyatuan dua hati yang sangat dituntut dalam Islam. Menerusi hubungan inilah lelaki dan wanita mula belajar untuk berkongsi kasih sayang, pandangan, idea dan seluruh kehidupan mereka yang dulunya hanya diketahui keluarga dan kenalan rapat. Dalam membina hubungan suami isteri, banyak perkara perlu diteliti supaya sentiasa seimbang, mewujudkan toleransi dan berpegang kepada tanggung­jawab. 

Namun, sejak kebelakangan ini, banyak kes kecurangan rumah tangga berlaku. Ada yang mendapat perhatian media, tidak kurang juga yang sekadar berlaku dalam kalangan keluarga mahupun teman. Walau apapun situasinya, kisah kecurangan pasangan bukanlah isu enteng. Berbanding lelaki, wanita selalunya menjadi mangsa dalam kes sebegini. 

Bayangkan, selepas bertahun hidup bersama, mengandung dan melahirkan zuriat buat suami tercinta, mereka dihidangkan khabar yang meruntun jiwa. Ada yang mengetahui hubungan sulit suami menerusi panggilan telefon rakan dan kenalan, menemui bukti mereka keluar bersama, mengesyaki perubahan mendadak serta paling mengecewakan apabila menjadi saksi kedua-duanya bermadu asmara.

Justeru ramai isteri jadi bingung, hilang punca dan tertekan. Tambahan di mata keluarga, mereka selalu nampak serasi, jarang bertelingkah mahupun berselisih faham. Sebagai wanita, janganlah anda mudah lemah apabila berdepan situasi begini. Ada banyak langkah dan proses yang boleh dijadikan panduan demi menyelamatkan rumah tangga. Jika sekiranya hati tidak lagi berpaut kepada suami, wanita juga harus terus kuat menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan keyakinan.

1. TANYA DIRI 

Apabila suami atau isteri sah berlaku curang di belakang pasangan, kumpul kekuatan untuk berdepan dengannya secara bijaksana. Ketepikan emosi dan cuba bersikap rasional. Tanyakan kepada pasangan sama ada anda dan dirinya masih sesuai atau serasi bersama. Berterus-terang lebih baik daripada terus menyakiti perasaan sendiri mahupun pasangan. Lihat sama ada perkahwinan yang dibina masih boleh diteruskan atau perlu mengalah saja. Segelintir wanita atau lelaki sukar berbaik semula berikutan pasangan sudah menjalin hubungan sulit hingga tidur bersama. Apabila kecurangan melangkaui batas, eloklah bertemu pakar untuk mendapatkan kaunseling. 
 
2. JALANI KAUNSELING 

Ada isteri nekad berpisah. Tetapi masih ada juga yang bermurah hati menerima kesilapan suami demi anak-anak. Apabila anda berhasrat meneruskan hubungan, berjumpalah dengan pakar kaunseling untuk berbincang secara terbuka dan mendapatkan pandangan. Menerusi kaunseling, anda boleh menganalisis, mengenal kelemahan, kekuatan dan kemampuan masing-masing. Dari situ, anda boleh melihat bahagian mana dalam diri dan hubungan suami isteri yang boleh dibaiki. Lazimnya, kes kecurangan berlaku kerana pegangan agama yang lemah, hidup yang sudah jauh daripada Maha Pencipta. Ketahuilah bahawa reda Allah SWT itu sangat penting dalam membina perkahwinan bahagia.  

3. KONGSI MASALAH DENGAN IBU BAPA 

Sebagai anak, ibu bapa adalah tempat terbaik untuk kita mengadu dan meraih kembali sokongan sebelum bangkit semula. Nilai nasihat yang mereka beri sebaiknya. Ibu bapa yang bijaksana akan bersikap neutral. Mereka tidak akan mengapi-apikan hubungan anak-anak, sebaliknya memberi nasihat membina.

4. PERGI BERCUTI 

Tenangkan fikiran dan cari semula kekuatan diri. Jika berkemampuan, pergilah mengerjakan ibadah umrah. Di sana anda boleh mengadu kepada Allah SWT sepuasnya, memohon keampunan-Nya, bermuhasabah diri, memikirkan kembali keputusan yang bakal diambil dan mencari ketenangan berharga. Dalam tempoh ini juga, fikirkan kembali niat sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau berpisah. Jika hati nekad mahu bercerai, ambil tahu proses yang perlu dilalui sehingga semua selesai. Ambil kira hasil perceraian itu nanti termasuk emosi anak, kehidupannya dan perbelanjaan yang wajib dilunaskan mengikut persetujuan mahkamah. Bagaimanapun jika bajet kecil, pergilah ke mana-mana destinasi dekat supaya anda boleh bertenang dan berfikir panjang. Di negara kita sendiri ada banyak masjid cantik yang menyediakan ruang solat Muslimat yang selesa untuk anda menyendiri dalam suasana selamat dan menenangkan. 

5. KEMBALI KEPADA ALLAH SWT

Mereka yang sentiasa mengingati Tuhan, menjalankan tanggungjawab dan suruhan Allah SWT serta berusaha meninggalkan larangan-Nya, pasti tidak terasa terlalu terbeban dengan mainan emosi. Berbeza dengan suami atau isteri yang jauh dan lalai, mereka mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali berikutan adanya pengaruh emosi dan nafsu. Namun, jika Allah SWT membimbing semula hati yang lalai ini, pastinya ia kembali menjadi baik.


Begitu juga apabila diri kembali sedar dengan kesilapan yang dilakukan, barulah mereka boleh membetulkan kembali persepsi terhadap perkahwinan, keluarga, isteri dan anak-anak. Memandangkan kes kecurangan banyak membabitkan kaum suami, adalah difahami bahawa perceraian selalunya ditimbulkan pihak isteri. Suami jarang menyebut soal cerai kerana mereka punya pilihan untuk berkahwin lagi dan menjalani hidup berpoligami. 

Ada lelaki yang memang sengaja mengelak daripada memulakan isu perceraian kerana tidak mahu dianggap jahat. Berbeza dengan wanita, mereka lazimnya mendesak perceraian kerana emosi. Kalau itu adalah keputusan yang terbaik, tidak mengapa. Tetapi harus diketahui bahawa ada banyak proses yang perlu diambil kira sebelum bercerai. Semua proses ini boleh membantu pasangan untuk bermuhasabah diri dan melihat perkara yang perlu diberi keutamaan, umpamanya anak. 


Jika anak rapat dengan bapa atau ibunya dan masih kecil, tak usahlah bercerai. Isteri yang menjadi mangsa pula perlu mendapatkan nasihat, pandangan dan bimbingan daripada pakar supaya tidak menghadapi tekanan yang akhirnya membawa kepada kemurungan. Selagi ada ruang untuk mencari nasihat, berbincang dan bertukar pandangan, pasangan digalakkan supaya mendapatkan bantuan sewajarnya. Ibu ayah jangan mengungkit atau mencari kesilapan anak mahupun menantu. Beri nasihat yang boleh membantu perkahwinan anak, bukannya merosakkan hubungan mereka.

Monday 29 June 2020

APA ITU TALAK BA'IN?



Talak merupakan perkataan yang berasal daripada Bahasa Arab yang menjelaskan makna melepaskan atau membuka ikatan. Talak menurut syara’ pula membawa maksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas atau kinayah (sindiran).

                                              

Talak bain ialah talak yang tidak boleh dirujuk semula walaupun isteri masih berada di dalam tempoh edah. Talak bain terbahagi kepada dua iaitu bain sughra dan bain kubra.

 

Talak ba’in sughra ialah talak yang tidak boleh diruju’. Jika sekiranya suami ingin kembali bersama isteri maka suami perlu menikahinya dengan akad yang baru. Contoh bagi talak bain sughra ini adalah talak satu atau dua yang telah habis tempoh iddah, talak khuluk, talak isteri yang belum disetubuhi dan talak yang difasakhkan.

 

Talak bain kubra merupakan talak yang dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya yang tidak boleh lagi dirujuk kembali samada semasa iddah atau selepas iddah. Contoh bagi talak bain kubra adalah talak tiga dengan sekali lafaz atau berlaku tiga kali talak secara berasingan.

 

Namun begitu, halal bagi bekas suami menikahi bekas isteri jika sekiranya telah melalui beberapa prosedur tersebut:

 

1.   Iddah bersama bekas suami yang menceraikan isterinya telah tamat.

2.   Selepas selesai iddah, bekas isteri perlu berkahwin bersama lelaki lain dengan akad yang sah.

3.   Bekas isteri melakukan hubungan intim bersama suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.

4.   Bercerai bersama suami baru.

5.   Iddahnya dengan suami baru telah selesai.

 

Maka selepas daripada itu, bekas suaminya boleh bernikah semula dengan akad yang baru bersama bekas isterinya. Ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

 

“Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah SWT dan itulah aturan-aturan hukum Allah SWT, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.”

(Al-Baqarah, 230)

 

Bagaimanapun, ada yang menyatakan bahawa kaedah ini adalah sama sepertimana terkenal dikalangan masyarakat Malaysia dengan nama Cina Buta. Sebenarnya, ia sekali tidak sama seperti kaedah Cina Buta, kerana Pernikahan Cina Buta atau nikah Muhallil adalah pernikahan yang telah dirancang dan bersyarat hanya untuk mencapai tujuan bagi menghalalkan perkahwinan bersama bekas suami. Maka ini adalah tidak benar sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT. Cara tersebut adalah haram di sisi Islam dan dilaknati Allah SWT.

 


HAK MEMBUBARKAN PERKAHWINAN


Hak untuk membubarkan perkahwinan bermaksud seseorang individu sama ada suami atau isteri mempunyai hak untuk membubarkan sesuatu perkahwinan apabila hikmah perkahwinan tidak dapat dinikmati.
 
Harus diingat, hak membubarkan perkahwinan perlu digunakan berlandaskan syarat-syarat dan cara-cara yang ditentukan. Bukan bermaksud bila anda diberikan hak, anda boleh sesuka hati menggunakan hak tersebut dengan bebas. 
 
Undang-undang menetapkan, apabila berlaku suatu konflik yang kritikal antara suami isteri, aduan hendaklah dibuat kepada Unit Khidmat Nasihat Keluarga atau di sesetengah tempat disebut Unit Aduan dan Kaunseling di pejabat agama yang berdekatan.
 
Satu sesi kaunseling akan diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak meluahkan segala yang terbuku dan mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat. Sekiranya pendamaian dapat fiperolehi maka fail aduan akan diletakkan di bawah pemerhatian unit tersebut.
 
Namun sekiranya pendamaian gagal diperolehi dan kedua-dua pihak bersedia untuk membubarkan perkahwinan maka permohonan untuk mendapatkan penceraian boleh dibuat di Mahkamah Syariah berdekatan.
 
Ada kes aduan yang gagal mendapatkan pendamaian dan gagal juga mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak untuk penceraian. Dalam kes sebegini, unit tersebut akan mengeluarkan satu laporan bagi membolehkan pihak yang ingin menamatkan perkahwinan membawa kes ke muka pengadilan sama ada memohon talak, taklik, fasakh atau khuluk.


TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...