Showing posts with label PERUNDING KEKELUARGAAN ISLAM. Show all posts
Showing posts with label PERUNDING KEKELUARGAAN ISLAM. Show all posts

Thursday, 3 November 2016

FARAID DAN KESANNYA: KISAH DAN TELADAN

Gambar hiasan. Sumber

Apabila agama itu diambil separuh-separuh, yang memihak kepadanya diambil yang memberi rugi kepadanya ditinggal.
Saya bukanlah ustazah nak cakap tentang agama, tetapi saya nak ajak saudara saudari semua berfikir akan kisah benar yang berlaku kepada seorang balu kematian suami.
1. Semasa hidup si mati orang susah, adik-beradik tak pernah menjenguk, apatah lagi hulur belanja untuk anak buah walaupon semuanya kerja best.
2. Rezeki anak-anak si mati dapat beli sebidang tanah dan dapat buat sebuah rumah teres di atas tanah tersebut. Tak lama kemudian, si mati membeli lagi sebidang tanah untuk tujuan berkebun tetapi tak kesampaian (meninggal dulu).
3. Simpanan si mati ada dalam RM10 ribu dalam bank. Ada sebuah rumah. Dan sebidang tanah.
4. Si mati selalu beritahu isterinya kalau dia tiada, isteri dan anak-anak taklah susah mana. Ada tempat bergantung, ada sedikit duit dan ada tempat berlindung (rumah). Betapa besarnya harapan si mati untuk si isteri dan anak-anak.
5. Ditakdirkan si mati meninggal dunia akibat sesak nafas (masalah jantung). Si mati meninggalkan balu dan 2 org anak perempuan.
6. Sejurus selepas si mati dikebumikan, adik-beradik si mati termasuk ibu si mati telah mengajak si isteri berbincang pasal harta si mati kononnya si mati akan terseksa dalam kubur kalau tak diselesaikan secepat mungkin.
7. Si mati tiada anak lelaki, jadi harta-harta si mati akan dapat juga pada adik beradiknya.
7. Tak sampai seminggu si mati meninggal, datanglah adik beradik bertandang ke rumah, siap buat lakaran dalam kertas ikut hukum faraid. Bahagian untuk isteri, anak-anak, ibu si mati dan adik beradik si mati.
8. Hukum faraid – bahagian isteri dapat paling sedikit (orang Terengganu cakap dapat bahagian kepala mayat). Langsung tak pedulikan perasan si balu yang masih bersedih, dihamburkan pula nas-nas, dalil-dalil bab pembahagian faraid.
9. Paling memilukan, dinilaikan sekali rumah yang diduduki oleh si balu dengan anak-anak ikut nilai pasaran.
Kemudian mereka-mereka itu bagi dua pilihan pada si balu, bayar harga rumah tersebut kepada waris-waris yang berhak sekiranya mahu tetap tinggal di situ, atau keluar dari rumah tersebut kerana rumah itu akan dijual, dan duit jualan tersebut akan dibahagikan ikut hukum.
10. Celah mana mahu cari RM150 ribu? Nak tak nak terpaksa keluar dari rumah tersebut. Rumah dijual, dapatlah bahagian si balu dan anak-anak, dengan jumlah yang si balu dapat dan anak-anak si mati dapat, mustahil dapat cari rumah baru.
11. Bermulalah episod merempat si anak-anak yatim. Berpindah randah, menyewa situ sini, jangankan si balu,si anak pun bekerja lepas balik sekolah nak sara diri sendiri.
Duit simpanan, tanah sebidang, rumah dijual si waris. Harapan si mati untuk tidak menyusahkan anak dan isteri selepas ketiadaannya berkecai sama sekali.
12. Waris-waris,semua lesap lepas dapat bahagian masing-masing. Nak tanya khabar jauh sekali. Nak hulur duit jauh sekali.
13. Lagi malang waris-waris semuanya bekerja bagus.
Ada cikgu, ada pegawai kerajaan, ada golongan prefesional, malah kaki masjid pun ada.
Tapi sayang, bab tangggung jawab pada anak si mati langsung tak dihiraukan.
14. Walaupun berhak pada harta si mati, tapi kena tengok pula tanggung jawab yang harus dipikul.
Jangan ambil agama itu separuh-separuh untuk kepentingan sendiri. Ya, tak berdosa ambil harta yang sememangnya hak kita dalam hukum Tetapi berdosa gagal menjalankan tanggungjawab nafkah pada anak-anak si mati – tempat tinggal, pakaian, makan minum).
15. Kalau kita termasuk dalam golongan sebegitu sebelum ini, berubahlah, dan moga dijauhkan keturunan kita, adik-adik kita, suami kita, anak-anak kita daripada bersifat kejam begini.
16. Ambil pengajaran saudara saudari. Sekali lagi saya ingatkan apa yang agama ajar, bila si mati meninggalkan anak-anak yang belum baligh, wajib bagi walinya (mengikut turutan wali sebelah si mati) menyediakan nafkah untuk anak si mati. Kalau tidak diambil peduli, menanggunglah di akhirat kelak.
17. Hukum faraid itu sangat adil dan indah. Diberi lebih kepada lelaki sebab lelaki adalah ketua keluarga yang kena menanggung orang-orang di bawahnya.
Kenapa apabila tiada anak lelaki, harta akan jatuh juga kepada adik beradik si mati? Jelas Allah memberitahu bahawa adalah tanggung jawab si wali-wali untuk menanggung nafkah si anak yatim (lebih-lebih lagi apabila si yatim adalah perempuan).
Dan semoga dengan pembahagian faraid dapat meringankan beban dan membantu si wali-wali untuk menjaga dan memberi nafkah kepada si anak yatim.
18. Ingat ya dapat pembahagian harta si mati bukan terus beli rumah baru, shopping atau melancong dulu. Tetapi tunaikan dahulu tanggung jawab si anak yatim.

credit : sumber

Tuesday, 4 October 2016

Hadhanah : Hak jagaan anak, Teori, Praktikal dan Realiti

Hadhanah : Hak jagaan anak, Teori, Praktikal dan Realiti


Gambar hiasan


PENGERTIAN Dari sudut bahasa, Hadhanah bererti menjaga dan mengasuh anak kecil dengan menanggung nafkah dan mendidiknya. Perkataan Hadhanah diambil daripada perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada. Ia dikaitkan dengan pengasuhan kerana pada kebiasaannya pengasuh meletakkan kanak-kanak yang diasuh di atas rusuknya atau pangkuannya (Al-Sayyid Sabiq. 1994). 

Dari sudut syara’, erti Hadhanah diberikan dengan berbagai definisi. Dalam mazhab al-Shafie ia disebut sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana ia tidak mumayyiz lagi seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga dengan mendidiknya (mendidik orang yang dijaga) dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya” (Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Buqha & Dr. Ali Al-Syarbaji. 2000). 

Mazhab Hanafi pula mentakrifkan Hadhanah sebagai mendidik kanak-kanak yang tidak dapat menguruskan diri sendiri menurut umur tertentu oleh orang yang berhak terhadapnya, iaitu dikalangan keluarganya (Ahmad Mahmud Al-Shafi’i. 1991).

Ada juga pendapat yang mengatakan Hadhanah itu adalah mengawal kanak-kanak kecil, orang lemah, orang gila atau orang yang kurang waras daripada apa-apa bahaya yang boleh merosakkannya, menurut kemampuan dengan cara mendidik dan menjaganya, seperti membersih tubuh badannya, memberi makanan dan apa-apa jua yang boleh mendatangkan kerehatan kepadanya. 


Hukum Hadhanah

Hukum Hadhanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Kewajipan Hadhanah ini lebih tertumpu kepada ibu, kerana ibu mempunyai cirri-ciri dan sifat yang lebih sesuai untuk tujuan pengasuhan jika dibandingkan dengan bapa, sekalipun bapa telah berkahwin lain. Lagipun seorang ibu tiri tidak akan dapat mengasuh seorang kanak-kanak dengan sebaik mungkin yang boleh dilakukan oleh ibu kandung. Berdasarkan kedudukan ini, Islam telah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu. 

Nabi Muhammad s.a.w pernah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu selama mana dia belum berkahwin lain. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin.” 
(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud) 



Hak Hadhanah menurut hukum syarak

Pada dasarnya, Islam telah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu kecuali jika terdapat sebab-sebab yang boleh menggugurkan hak dan tanggungjawab tersebut. 

Ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 

“Sesungguhnya anak yang berada dalam dukungan ini sayalah yang menyusukannya, tetapi sekarang bapanya telah menceraikan saya dan dia mahu mengambil anak ini daripada saya,” lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “ Kamu lebih berhak ke atas ini selagi kamu belum berkahwin.” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Oleh yang demikian, hanya dengan perkahwinan seorang ibu dengan lelaki lain yang dapat menggugurkan hak dan tanggungjawab hadhanah terhadap seorang ibu. Ini sebagaimana yang telah disepakati oleh majoriti ulama’ fikah yang mensyaratkan hak dan penjagaan anak akan gugur dari seorang ibu sekiranya ibunya berkahwin dengan lelaki lain. 



Peruntukan Undang-undang Berkaitan Hadhanah Di Malaysia

Peruntukan undang-undang secara terperinci berkaitan Hadhanah di Malaysia telah dikuatkuasakan melalui Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang digubal di setiap negeri sebagaimana berikut:

  • Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984,Seksyen 81-87;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985, seksyen 80-86;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 1983, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 1987, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 1990, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Melaka 1983, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 1983, seksyen 82-88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984, seksyen 77 hingga 83;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 1985, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 1979, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 1992, seksyen 81 hingga 87;
  • Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak  1991, seksyen 85 hingga 91;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Sabah 1992, seksyen 82 hingga 88.


Dalam peruntukan undang-undang di atas, ia mengkumi aspek-aspek yang berkaitan hak Hadhanah iaitu, orang yang berhak menjaga kanak-kanak, kelayakan yang perlu untuk penjagaan, bagaimana hak penjagaan hilang, lamanya penjagaan, penjagaan anak tak sahtaraf, kuasa mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan dan seterusnya perintah tertakluk kepada syarat-syarat.


Seksyen 201. Perintah Interim Tentang Hadhanah ( Jagaan Sementara )


(1) Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam , jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan Hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang Hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta–merta dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.

(2) Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak yang demi kepentingan keadilan atau pelindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campurtangan serta-merta Mahkamah adalah perlu.

(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu satu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang hendaklah disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat:

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;

(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan perintah Interim itu;

(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu;

(d) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;

(e) tentang sama ada mana-mana permohonan ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan

(f) tentang relief yang sebenarnya dipohon.



Syarat penjaga (Hadhinah)

Terdapat pelbagai pendapat mengikut mazhab dalam meletakkan syarat kepada seorang penjaga (hadinah). Menurut mazhab Syafi’i, seseorang pengasuh itu mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:


  1. Islam. Seorang ibu yang kafir atau murtad tidak boleh dan tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil.
  2. Berakal. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun.
  3. Beramanah. Orang perempuan yang mempunyai sifat khianat tidak berhak menjadi penjaga atau pengasuh, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.
  4. Baliqh. Kanak-kanak kecil perlu kepada orang yang lebih dewasa, lebih-lebih lagi untuk urusan muamalat.
  5. Perempuan yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak, pencuri dan sebagainya tidak berhak menjadi pengasuh. 
  6. Merdeka. Hamba tidak berhak menjadi pengasuh kepada kanak-kanak.
  7. Tinggal bersama kanak-kanak yang diasuh. 
  8. Jika pengasuh itu ibunya sendiri, disyaratkan dia belum lagi berkahwin dengan lelaki lain. Jika dia berkahwin dengan seseorang daripada mahram kanak-kanak tersebut, hak pengasuhan itu tidak gugur jika bekas suaminya rela.
  9. Mempunyai tempat tinggal. Kanak-kanak tidak boleh diserahkan kepada ibu atau pengasuh lain jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa.
  10. Jika pengasuh kanak-kanak merupakan seorang wanita asing, disyaratkan suaminya mestilah mempunyai pertalian saudara dengan kanak-kanak berkenaan. 


  Bagaimana Hak Jagaan Hilang

Faktor-faktor yang boleh membawa terlucutnya hak Hadhanah terhadap kanak-kanak diperuntukkan secara jelas dalam Seksyen 83 Akta 303[17] yang menyatakan:

Hak seseorang perempuan terhadap Hadhanah adalah hilang:


  1. Jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
  2. Jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  3. Jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
  4. Jika perempuan itu murtad;
  5. Jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu

Dalam Arahan Amalan No. 15 Tahun 2007[18] memperuntukkan bahawa alasan yang menyebabkan hak jagaan seseorang bapa atau pihak lelaki hilang kelayakan terhadap Hadhanah, antaranya ialah:


  1. Jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
  2. Jika dia murtad;
  3. Jika dia mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu;
  4. Jika dia menjadi tidak sempurna akal;
  5. Jika dia berpenyakit kusta, sopak atau penyakit-penyakit lain yang berjangkit yang membahayakan kanak-kanak itu.


Upah Hadhanah 

UPAH HADHANAH Mengenai upah Hadhanah, jika pengasuh merupakan isteri yang diceraikan dan mendapat nafkah semasa idah, dia tidak berhak mendapat upah Hadhanah. Dua perkara tidak harus dikumpulkan dalam satu masa, iaitu upah dan nafkah. 
Manakala jika bekas isteri telah tamat iddah dan tidak lagi mendapat apa-apa nafkah daripada bekas suaminya. Dia berhak mendapat upah Hadhanah kerana dia telah menjalankan tugas bagi pihak bapa anaknya ataupun wali anaknya. 
Jika pengasuh selain ibu anak itu, dia berhak mendapat upah bagi pelbagai khidmatnya kepada kanak-kanak itu, seperti upah mengasuh, menyusu dan upah itu tidak termasuk dalam nafkah yang diberikan kepada kanak-kanak itu, kecuali dia rela mengasuh dengan percuma.

Bayaran Hadhanah dikira bermula dari hari mula bertugas. Bayaran ini dikira hutang jika tidak dibayar, dan ia tidak akan gugur kecuali dengan membayarnya ataupun dihalalkannya. Pihak yang bertanggungjawab membayar upah Hadhanah ialah pihak yang bertanggungjawab menanggung nafkah kanak-kanak itu, kerana perbelanjaan upah hadhanah dikira sebagai sebahagian nafkah dan ia merupakan satu perkara yang wajib ke atas bapa atau penjaganya. 


SOLUSI DAN KESIMPULAN

Meskipun syara’ telah menetapkan bahawa, ibu merupakan orang yang paling berhak terhadap hak dan tanggungjawab Hadhanah, hak dan tanggungjawab tersebut tidak akan diberikan kepada seorang ibu itu sehingga dia dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab Hadhanah tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang telah ditetapkan.


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.

Apa pun jua Perihal Kebajikan anak-anak menjadi Keutamaan dalam Hak Hadhanah. 

Walau Perceraian berlaku diantara suami dan isteri Hak-Hak sebagai seorang ayah dan ibu masih terpakai.

Bagi mereka yang memerlukan Nasihat dan Bantuan, jangan malu untuk bertanya kepada pihak yang lebih arif terhadap tajuk kupasan Hadhanah ini. Anda Boleh juga hubungi peguam kami untuk maklumat dan bantuan lanjut. Moga perkongsian ini bermanfaat. 
Sebarang persoalan lanjut mengenai Hadhanah boleh hubungi kami di SINI


Artikel ini adalah hak cipta http://sukapeguamsyarie.blogspot.com/

Dibenarkan untuk berkongsi dan re-publish artikel ini dengan credit kepada blog ini.

Tuesday, 6 September 2016

10 Tips Mengekalkan Kebahagian Rumah Tangga



Admin suka untuk berkongsi sedikit tips keharmonian rumah tangga yang dipetik dari sini
Jom, koreksi diri :)



gambar hiasan 



1) Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas.Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur.

2) Dengar pendapat isteri
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu semasa boleh dijadikan sebagai ‘ice-breaking’. Kemudian,berbincanglah mengenai hal rumah tangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri mengenai masalah kerjanya.

3) Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi suami. Bukankah pemberian itu melambangkan anda suami yang amat menghargai pengorbanan isteri.

4) Anggap pasangan seperti diri sendiri
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi apatah lagi pasangan suami isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh banyak pasangan. Pasangan anda adalah cerminan diri anda sendiri. Kemana pon anda pergi, potret wajahnya perlu anda bawa bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumahtangga akan bahagia.

5) Isteri bukan pembantu rumah
Banyak suami menganggap kerja-kerja rumah tanggunjawab isteri seratus peratus. Padahal dalam Islam, tidak ada hukum isteri wajib melakukan kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan wanita berkahwin yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaiknya akan dijamin syurga. Itu sahaja. Atas jaminan inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja rumah yang mereka lakukan.

6) Isteri juga manusia
Mereka ialah golongan wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka redha dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira. Namun, jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, maka emosi mereka mulai berkecamuk dan sering mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

7) Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa sahaja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Cukup sekadar seutas jam atau sehelai tudung. Jika ‘budget’ anda tidak mencukupi, memadai sekuntum bunga dan sekeping kad.

8) Bantu ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak,membasuh dan mengemas rumah. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk, cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan anda masak. Tentu dia gembira dan tersenyum.

9) Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri kebebasan baginya kerana isteri tidak dapat menghidu apakah dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini. Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat peranginan.

10) Ciuman khas untuk isteri
Cuba tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat selepas penat bekerja. Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isterinya.

Friday, 7 November 2014

ARTIKEL: ISU PENDAFTARAN PERNIKAHAN LUAR NEGARA







Gambar Hiasan 


ISU PENDAFTARAN PERNIKAHAN LUAR NEGARA
Firman Allah s.w.t tentang pensyariatan Perkahwinan :



3.  Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengawininya), Maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, Maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.



32.  Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
Maksudnya: hendaklah laki-laki yang belum kawin atau wanita- wanita yang tidak bersuami, dibantu agar mereka dapat kawin.


Sebaik-baiknya, pasangan yang ingin kahwin di Thailand atas apa-apa sebab (termasuk tak mendapat izin wali atau poligami tanpa kebenaran isteri pertama) hendaklah terlebih dahulu mendapatkan surat kebenaran untuk nikah di luar negara dari Pejabat Agama di negeri masing-masing. Ini akan melibatkan beberapa langkah, seperti menghadiri kursus pra-perkahwinan, mendapatkan surat kebenaran poligami (jika ingin berpoligami tapi tak mendapat kebenaran isteri), mengemukakan surat akuan status diri (dara, janda atau balu) dan sebagainya.
Sekiranya berkahwin di Siam setelah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara, proses pendaftaran nikah di Thailand di Malaysia akan menjadi lebih mudah setelah kembali dari Siam nanti.


Adakah pernikahan di Selatan Thailand sah?
Setiap pernikahan yang memenuhi hukum syarak, tidak kira di mana sahaja ia berlaku, akan menjadi sah.  Penikahan di selatan Thailand adalah sah asalkan SEMUA HUKUM SYARAK DIPATUHI.  

Prosedur Daftar Nikah yang dilangsungkan di luar Negara tanpa kebenaran JAWI

1) Pemohon hendak hadir ke Mahkamah Syariah untuk mendapat pengesahan pernikahan dan perintah daftar pernikahan.
2) Setelah mendapat perintah daftar daripada Mahkamah Syariah, pemohon hendaklah hadir ke JAWI untuk proses pendaftaran nikah.
3) Pemohon hendaklah hadir ke Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI dan mengisi Borang Permohonan Pendaftaran Pernikahan Luar Negara.
4) Dokumen yang perlu dilampirkan:
i.
Kad Pengenalan atau pasport (bukan warganegara) suami isteri (asal dan salinan)
ii.
Perintah daftar pernikahan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
iii.
Salinan Surat Perakuan Nikah yang dikeluarkan negara berkenaan.
iv.
Surat Perakuan Cerai asal (jika duda atau janda)
v.
Maklumat daripada Pegawai Penguatkuasa (Borang 5) daripada Bahagian Penguatkuasaan

5) Hadir bersama pasangan pada tarikh yang ditetapkan untuk proses soal selidik, bacaan ta'liq dan pendaftaran.


Cara Permohonan Pendaftaran Nikah Luar Negara

Langkah pertama:
1. Kemukakan sijil nikah negara berkenaan
2. Sijil Pengesahan nikah negara berkenaan
3. Salinan Kad pengenalan pemohon dan pasangan
4. Salinan Border Pass atau Internasional Pasport
5. Surat Kedutaan Malaysia di negara yang dinikahi

Langkah Kedua:
Selepas Perbicaraan dan hukuman dijalankan
- Surat permohonan pendataran nikah luar negara
- Kemukakan salinan hukuman mahkamah
- Kemukakan salinan resit denda
- Salinan surat /sijil nikah negara berkenaan
- Salinan sijil pengesahan nikah negara berkenaan
- Salinan Border Pass / Internasional Pasport
- Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan
- Salinan surat kedutaan Malaysia di negara dinikahi


PROSES PENDAFTARAN PERNIKAHAN LUAR NEGARA

1.  Setelah semua dokumen-dokumen Permohonan nikah luar negara yang telah lengkap,   hendaklah dikemukakan ke unit Pendaftaran Pernikahan Cerai dan Rujuk untuk disemak setelah lulus, fail permohonan akan dibuka dan kena bayaran Fee

2.  Siasatan mengenai pernikahan luar negara itu dimulakan dengan mengenalpasti beberapa espek dan kreteria diantaranya : mempastikan  tempat akad nikah adakah diiktiraf oleh negeri berkenaan, contoh  Pernikahan di negara Thailand mulai September 2010 pernikahan warga asing hanyalah sah dilakukan di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla sahaja- perkeliling ini dikeluarkan bagi mengelak pernikahan sendikit yang tidak diiktirafkan atau "Pernikahan Ekspres" atau jurunkah palsu. Mempastikan jarak tempat berlaku angkat nikah dengan tempat tinggal wali bermastautin melebihi 2 marhalah atau melebihi 92 kilometer kerana  kebanyakan pasangan  yang berkahwin menggunakan perkhidmatan wali hakim. Sekiranya kurang dari dua marhalah kedudukan wali berada itu boleh menyebabkan perkahwinan itu tidak sah disegi syarak.

Jurunikah yang menjalankan upacara nikah juga diambilkira kedudukannya dibimbangi jurunikah tersebut telah tamat perlantikan sebagai jurunikah oleh berwajib. Setelah rakaman pengakuan pasangan tersebut diambil, perkara ini akan diserah kepada Pendaftar Kanan daerah ( Pegawai Agama Daerah ) untuk menilai sejauhmana pernikahan ini memenuhi kehendak hukum syarak dan undang-undang yang diguna pakai sekarang ini. Pernikahan yang menempati hukum syarak dan undang-undang akan diarah untuk didaftarkan pernikahan mengikut seksyen 31 ( 2 )  Enakmen Undang-Undang keluarga Islam  ( KEDAH DARUL AMAN ) 2008 


KESAN MENGABAIKAN PENDAFTARAN NIKAH LUAR NEGARA 

Pasangan yang mengabaikan pendaftaran nikah di luar negara setelah  melebihi enam bulan dari tarikh mula-mula sampai ke negeri Kedah ini jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Pernikahan pasangan itu tidak diperakui dan lindungi oleh undang-undang negeri ini dan negara amnya. Sekiranya berlaku sebarang permasalahan berhubungan dengan kematian seperti pembahagian pusaka, pengeluaran  wang KWSP, pengeluaran wang pencen, menunaikan Ibadah Haji dan tuntutan harta sepecarian akan menjadi halangan dan kemungkinan  besar semua urusan ini tidak disempurnakan. 

 Denda Nikah di Thailand

Sebaliknya, sekiranya berkahwin di Siam tanpa kebenaran Pejabat Agama, pasangan yang berkahwin itu boleh dikenakan denda dan dipenjara bagi kesalahan-kesalahan seperti
  • Pernikahan diluar kawasan tanpa kebenaran ( penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)
  • Poligami tanpa kebenaran ( penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)
  • Mendaftarkan pernikahan selepas 6 bulan ( penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)

Mendaftarkan Nikah Siam

Pendaftaran nikah Siam (atau lain-lain negara) hanya boleh dibuat setelah mendapat pengesahan dari Mahkamah Syariah. Selagi Mahkamah Syariah tidak memberi pengesahan, pernikahan itu tak boleh didaftarkan di Malaysia dan pasangan itu tidak diiktiraf oleh undang-undang syariah Malaysia sebagai pasangan yang telah berkahwin. Kesannya agak berat. Contohnya, anak yang lahir melalui perkahwinan ini akan menghadapi kesukaran untuk didaftarkan dengan JPN dan susah untuk mendapatkan surat beranak. Selain itu, apa-apa masalah dalam perkahwinan ini tak boleh dibawa ke Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah.
Pendaftaran kahwin di Malaysia nanti akan memerlukan dokumen yang cukup untuk meyakinkan hakim bahawa pernikahan di Siam itu adalah sah. Surat nikah, surat dari Majlis Agama Songkhla dan surat pengesahan dari Konsulat Malaysia di Songkhla adalah diantara dokumen penting untuk membuktikan bahawa perkahwinan itu adalah sah.

 Daftar Nikah Asing - Proses dan Dokumen

  • Kes yang tidak melibatkan poligami akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah.
  • Kes yang melibatkan poligami tanpa kebenaran akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah. Pasangan mungkin perlu melantik peguam syarie.


KESIMPULAN :
Hari ini, rata-rata pasangan muda mahupun yang telah berumur lebih cenderung untuk memilih bernikah di luar kerana wujudnya pelbagai alasan. Oleh itu, pasangan-pasangan yang berhasrat untuk memilih jalan ini sebagai alternatif perkahwinan mereka seharusnya mempersiapkan diri bagi mengahadapi segala kesulitan yang akan berlaku di masa akan datang dan masa-masa seterusnya. Adalah amat wajar bagi pasangan-pasangan yang ingin memilih alternatif cara perkahwinan ini untuk mendapatkan nasihat undang-undang daripada Pakar Undang-undang yang bertauliah. Pihak kami juga amat mengalu-alukan sebrang pertanyaan lanjut berkaitan isu ini kepada firma guaman kami. Nasihat serta panduan akan kami bekalkan mengikut kesesuaian fakta semasa.Ini adalah demi menjaga kemaslahatan dan keturunan hasil daripada perkahwinan yang akan terbina kelak. Semoga sedikit perkongsian ini akan memberikan manfaat yang besar kepada kita semua. InsyaAllah

Sebarang persoalan lanjut mengenai Harta Sepencarian boleh hubungi kami di SINI

Artikel ini adalah hak cipta http://sukapeguamsyarie.blogspot.com/
Dibenarkan untuk berkongsi dan re-publish artikel ini dengan credit kepada blog ini.

Monday, 11 November 2013

HAK JAGAAN ANAK (HADHANAH)

Assalamualaikum WBT.
Perkongsian terbaru dari kami adalah mengenai Hadhanah.
Semoga ianya bermanfaat.



Gambar Hiasan 

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Pengertian Hadhanah

Kata hadhanah adalah bentuk mashdar dari kata hadhnu ash-shabiy, atau mengasuh atau memelihara anak. Mengasuh (hadhn) dalam pengertian ini tidak dimaksudkan dengan menggendongnya dibahagian dada atau lengan.

Secara terminologi, hadhanah adalah menjaga anak yang belum boleh mengatur dan merawat dirinya sendiri, serta belum mampu menjaga dirinya dari hal-hal yang dapat membahayakan dirinya. Hukum hadhanah ini hanya dilaksanakan ketika pasangan suami isteri bercerai dan memiliki anak yang belum cukup umur untuk berpisah dari ibunya. Hal ini disebabkan kerana anak masih perlu penjagaan, pengasuhan, pendidikan, perawatan dan lain-lain. Inilah yang dimaksudkan dengan perwalian (wilayah).

Hukum Hadhanah

Hadhanah (pengasuhan anak) hukumnya wajib, kerana anak yang masih memerlukan pengasuhan ini akan mendapatkan bahaya jika tidak mendapatkan pengasuhan, sehingga anak harus dijaga agar tidak sampai membahayakan. Selain itu ia juga harus tetap diberi nafkah dan diselamatkan dari segala hal yang dapat merosakkannya.

Hadhanah sangat berkait dengan tiga hak:

- Hak wanita yang mengasuh.
- Hak anak yang diasuh.
- hak ayah atau orang yang menepati turutanya.

Jika masing-masing hak ini dapat disatukan, maka itulah jalan yang terbaik akan tetapi jika masing-masing hak saling bertentangan, maka hak anak harus didahulukan daripada yang lainnya. Berkaitan dengan hal ini ada beberapa hal yang perlu diambil berat:

pertama, pihak ibu terpaksa harus mengasuh anak jika keadaannya memang memaksa demikian kerana tidak ada orang lain selain dirinya yang lebih layak untuk mengasuh anak.

kedua, si ibu tidak boleh dipaksa mengasuh anak jika keadaannya memang tidak mengharuskan

demikian. Sebab mengasuh anak itu adalah haknya dan tidak ada mudharat yang dimungkinkan akan menimpa anak kerana adanya mahram lain selain ibunya.

ketiga, seorang ayah tidak berhak merampas anak dari orang yang lebih berhak mengasuhnya ( ibu) lalu memberikannya kepada wanita lain kecuali ada alsan syar’i yang memperbolehkannya.

keempat, jika ada wanita yang bersedia menyusui selain ibu si anak, maka ia harus menyusui bersama (tinggal serumah) dengan si ibu hingga tidak kehilangan haknya mengasuh anak.

Urutan Orang yang Berhak Mengasuh Anak.

Perlu diingatkan bahawa wanita lebih memahami dan lebih mampu mendidik, disamping lebih sabar, lebih lembut dan lebih sering berada bersama anak, maka ia lebih berhak mendidik dan mengasuh anak dibandingkan lelaki. Hal ini berlangsung hanya pada usia-usia tertentu, namun pada fasa-fasa berikutnya lelaki yang lebih mampu mendidik dan mengasuh anak dibandingkan wanita.

Ibu adalah wanita yang paling berhak mengasuh anak

Jika wanita lebih berhak mendidik dan mengasuh anak daripada laki-laki, maka -sesuai ijma ulama- ibu kandung anak tentu lebih berhak mengasuh anaknya setelah terjadi perpisahan (antara suami dan istrinya), baik karena talak, meninggalnya suami atau suami menikah dengan wanita lain, kerana ibu jauh memiliki kelembutan dan kasih sayang, kecuali jika ada penghalang yang menghapuskan hak si ibu untuk mengasuh anak.

Diriwayatkan dari Amr bin Syu’aib dengan menukil dari ayahnya, dari kakeknya bahwa ada seorang wanita yang mengadu kepada Rasulullah r: “Wahai RAsulullah, anak ini dulu pernah menjadikan perutku sebagai wadahnya, payudaraku sebagai sumber minumnya dan kamarku sebagai rumahnya. Kini ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku.” Rasulullah bersabda kepada wanita ini “Kamu lebih berhak terhadapnya selama kamu belum menikah lagi“. (hasan HR Abu Daud, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Urutan orang yang berhak mengasuh anak setelah ibu kandung

Ulama berbeda pendapat siapa yang paling berhak mengasuh anak setelah ibu kandung atau urutan hak asuh anak jika ternyata ada penyebab yang menghalangi ibu kandung untuk mendapatkan hak asuhnya. Perbezaan pendapat ini disebabkan tidak adanya dalil qath’I yang secara tegas membahas masalah ini. Hanya keempat-empat imam mazhab lebih mendahulukan kalangan kerabat dari pihak ibu dibandingkan dari kalangan kerabat dari pihak ayah dalam tingkat kerabatan yang sama (misalnya mendahulukan nenek dari pihak ibu dari pada nenek pihak ayah).

1. Golongan Mazhab Hanafi berpendapat bahwa orang yang paling berhak mengasuh anak adalah
- Ibu kandungnya sendiri
- Nenek dari pihak ibu
- nenek dari pihak ayah
- saudara perempuan (kakak perempuan)
- ibu saudara dari pihak ibu
- anak perempuan saudara perempuan
- anak perempuan saudara laki-laki
- ibu saudara dari pihak ayah

2. Golongan Mazhab Maliki berpendapat bahwa urutan hak anak asuh dimulai dari
- Ibu kandung
- nenek dari pihak ibu
- ibu saudara dari pihak ibu
- nenek dari pihak ayah
- saudara perempuan
- ibu saudara dari pihak ayah
- anak perempuan dari saudara lelaki
- penerima wasiat
- dan kerabat lain (ashabah) yang lebih utama

3. Golongan Mazhab Syafi’i berpendapat bahwa hak anak asuh dimulai dari
- Ibu kandung
- nenek dari pihak ibu
- nenek dari pihak ayah
- saudara perempuan
- ibu saudara dari pihak ibu
- anak perempuan dari saudara laki-laki
- anak perempuan dari saudara perempuan
- ibu saudara dari pihak ayah
- dan kerabat yang masih menjadi mahram bagi si anak yang mendapatkan bahagian warisan ashabah sesuai dengan urutan pembagian harta warisan. Pendapat Madzhab Syafi’i sama dengan pendapat madzhab Hanafi.

4. Golongan Mazhab Hanbali
- ibu kandung
- nenek dari pihak ibu
- kakek dan ibu kakek
- ibu saudara dari kedua orang tua
- saudara perempuan se ibu
- saudara perempuan seayah
- ibu saudara dari ibu kedua orangtua
- ibu saudara bagi ibu
- ibu saudara ayah
- ibu saudara dari jalur ibu
- ibu saudara ayah dari jalur ibu
- ibu saudara ayah dari pihak ayah
- anak perempuan dari saudara laki-laki
- anak perempuan dari pakcik ayah dari pihak ayah
- kemudian kalangan kerabat dari urutan yang paling dekat.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Jika anda mempunyai kemusykilan atau persoalan berbangkit mengenai hak jagaan anak (Hadhanah) ini, boleh lah hubungi kami di SINI

Thursday, 4 July 2013

POLIGAMI(BACAAN UNTUK SUAMI)

POLIGAMI (Bacaan untuk Para Suami)






Nota: Tidak dibenarkan mengulangcetak,memuat turun artikel ini tanpa kebenaran dari Admin Sukapeguamsyarie.blogspot.com

“ Hai senangnya dalam hati, kalau beristeri dua, seperti dunia, ana yang empunya..”
Bait lirik lagu madu tiga di atas pasti sudah sinonim dengan masyarakat di Malaysia umumnya dan dalam kalangan individu yang ingin berpoligami khususnya. Namun, yang menjadi persoalan, adalah hidup berpoligami di Malaysia semudah dan seceria bait lagu berkenaan? Atau mungkin lebih sukar dari apa yang dijangkakan?.

POLIGAMI DALAM ISLAM

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ
Maksudnya:
“…Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat...”
                                                                                  Surah an-Nisa’ :4:3

         Poligami dari sudut bahasa adalah menghimpunkan berbilang isteri dalam satu masa. Mengikut Kamus Dewan pula, bererti amalan beristeri lebih daripada seorang pada masa yang sama. Dalam Bahasa Arab, Poligami disebut sebagai Ta’ddad al-zawjat .
            Poligami dalam Islam adalah untuk memartabatkan wanita bukannya menzalimi mereka. Selain Islam, agama kristian juga tidak pernah melarang penganutnya untuk berpoligami. Ini dibuktikan apabila tiada satu ayat pun di dalam kitab injil yang menegah poligami.
            Berbalik kepada ayat ke3 surah an-Nisa’ di atas, ayat yang membenarkan dan mensyariatkan poligami yang mana intipati ayat tersebut bolehlah difahami bahawa Islam bukanlah mewajibkan setiap orang lelaki untuk berpoligami, tetapi hukum untuk berpoligami hanyalah harus. Namun perlu ditegaskan, hukum harus ini bukanlah secara mutlak, namun masih terikat dengan beberapa syarat lain sebelum seseorang itu dikatakan layak untuk berpoligami.
            Dalam membincangkan soal poligami ini, Rasullullah S.A.W juga memperakui keharusannya
 وعن ابن عمر قال : أسلم غيلان بن سلمة وتحته عشرة فقال له النبي (ص) خذ منهن أربعا

Maksudnya:
Imam Ahmad, Ibn Majah, Tirmizi, Hakim, Dar al-Qutni, Haithami dan Baihaqi melaporkan daripada Ibn Umar, Ghailan bin Salamah al-Thaqafi memeluk Islam sedangkan pada masa yang sama mempunyai 10 orang isteri. Maka Rasulullah berkata, “ Pilihlah daripada kalangan mereka empat orang sahaja.”

POLIGAMI DAN UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA
Setelah melihat dari sudut Islam, pelaksananan dalam menguatkuasakan undang-undang mempunyai perbezaan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Umpamanya Kelantan tidak memperuntukkan supaya suami yang ingin berpoligami perlu mendapat keizinan daripada isteri yang sedia ada. Pihak yang berkuasa berhujah bahawa syarat meminta keizinan daripada isteri yang sedia ada sebelum berpoligami bukan daripada Hukum Syarak.
Kajian menunjukkan bahawa peruntukan mengenai poligami antara negeri-negeri adalah tidak seragam. Ini dapat dilihat umpamanya negeri-negeri seperti negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sarawak, Perlis dan Sabah telah memperuntukkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Mahkamah Syariah sebelum sesuatu permohonan poligami diluluskan. Seksyen 23(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)1984, umpamanya telah memperuntukkan bahawa:

"Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, temasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan samada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu"

Subseksyen 3 ini memberi gambaran sebenar di dalam borang permohonan poligami. Sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami mesti melengkapkan borang tersebut dengan maklumat-maklumat yang dikehendaki sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(3) ini. Umpamanya di dalam borang permohonan poligami di Wilayah Persekutuan, seorang pemohon dikehendaki memberi maklumat antara lainnya:
a)     Maklumat peribadi pemohon dan bakal isteri yang akan dikahwininya.
b)    Alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami itu perlu
c)    Latar belakang kewangan suami dan tanggungan kewangan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak yang sedia ada dan juga bakal isteri, dan Sama ada cadangan pernikahan poligami itu telah mendapat persetujuan daripada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Secara ringkasnya, dapatlah disimpulkan daripada perbincangan di atas bahawa kebanyakan pemohon yang dibenarkan berpoligami ialah mereka yang berkemampuan untuk berlaku adil kepada pihak-pihak yang dikahwini dari segi material dan fizikal.
Walau bagaimanapun, kita mesti mengambil kira faktor dengan keadaan seseorang lelaki yang berkahwin di luar negara kerana menyedari kemungkinan besar bahawa permohonan untuk berpoligami mereka ditolak ekoran ketidak mampuan mereka dari perspektif Undang-undang. Ini disokong oleh data yang menunjukkan banyakknya perkahwinan yang dilakukan di Selatan Thailand dan di Medan Indonesia. Hal ini menunjukkan bahawa Undang-undang berkaitan poligami sekarang hanya akan dipatuhi oleh mereka yang memang 'law abiding citizens'
Pandangan ini sebenarnya mengundang banyak masalah. Ini kerana perkara-perkara seperti memohon kebenaran Mahkamah untuk berpoligami serta pendaftarannya juga tidak pernah disebut dalam al-Quran. Jadi sekiranya memohon keizinan daripada isteri-isteri ada kebaikannya. Maka jelas ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak. Ini kerana tujuan diadakan peraturan-peraturan sedemikian adalah untuk mencari cara yang terbaik bagi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penganiayaan melalui amalan poligami. Manakala di negeri lain pula, keizinan isteri sedia ada adalah perlu. Ketidakseragaman ini menyebabkan mereka yang ingin berpoligami akan lari ke tempat lain yang membenarkan poligami tanpa sebarang halangan. Seperti kata-kata Jones"…..to 'shop around' and find another state where his application will succeed"

PROSEDUR PERMOHONAN UNTUK BERPOLIGAMI
Bagi lelaki yang ingin berpoligami, kebanyakan negeri mensyaratkan mereka membuat permohonan dan terdapat negeri-negeri tertentu dengan Mahkamah akan mengeluarkan surat saman kepada isteri untuk hadir ke Mahkamah bagi mendengar permohonan tersebut. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23 (4)Akta 1984:
"Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup"

Ini bermakna, sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami melalui Mahkamah di negeri-negeri tersebut, dengan sendirinya isteri atau isteri yang sedia ada akan mengetahuinya apabila Mahkamah mengeluarkan surat saman tersebut sekalipun tidak diberitahu hasrat suami itu terlebih dahulu. Surat saman ini dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah kepada isteri sebagai langkah untuk memaklumkan bahawa suaminya ingin berpoligami.
Soal untuk mendapat tandatangan isteri untuk berpoligami tidak disebut dalam Undang-undang Keluarga Islam. Sebaliknya apa yang perlu ialah pengakuan daripada suami dibuat dengan menyatakan samada isterinya bersetuju ataupun tidak dengan permohonan itu. Apabila segala-galanya telah lengkap dan isteri telah datang pada hari perbicaraan dalam Mahkamah tertutup, maka Mahkamah akan meluluskan permohonan sekiranya pemohon dapat memenuhi syarat sebagaimana yang terdapat dalam seksyen 23(4) (a) (b) (c) (d) dan (e) iaitu:
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandangkan kepada antara lain hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk memulihkan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak. Semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan Dharar Syarie kepada isteri-isteri yang sedia ada.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tidak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu tidak berlaku.
Oleh sebab itu sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa seseorang pemohon itu telah mematuhi syarat-syarat dalam seksyen 23(4), maka Mahkamah akan meluluskan permohonannya sekalipun isterinya tidak bersetuju permohonan poligami suaminya itu. Sebaliknya Mahkamah juga akan tetap menolak permohonan poligami sekiranya syarat-syarat dalam seksyen 23 (4) tidak dapat dipenuhi sekalipun isterinya bersetuju dengan rela hati. Ini menunjukkan bahawa kebenaran dan keengganan isteri untuk membenarkan poligami suaminya adalah tidak mengikat Mahkamah Syariah. Sebaliknya maklumat yang diberi oleh isteri adalah sebagai keterangan yang boleh digunakan oleh Mahkamah untuk membantu Mahkamah membuat keputusan meluluskan atau menolak satu-satu permohonan poligami.

PRAKTIKAL
Kesan dari pengalaman sebagai Peguam Syarie, ada 6 cara seorang lelaki boleh berpoligami yang mana 2 cara si isteri akan tahu bahawa suaminya berpoligami. 4 cara lagi si suami boleh berpoligami tanpa pengetahuan isteri.
            Keenam-enam cara yang telah dinyatakan di atas pihak guaman kami boleh bantu anda yang ber”niat” atau ber “cita-cita” menambah ‘cawangan’ J Anda boleh menghubungi Peguam Syarie kami jika anda sangat berminat. “Malu bertanya sesat jalan”. Namun perlu diingatkan:-
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً
Maksudnya:
“...Jika kamu takut atau bimbang untuk tidak berlaku adil pada isteri-isteri kamu, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja...”
                                                          Surah an-Nisa’ :4:3

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...