Tuesday, 4 October 2016

Hadhanah : Hak jagaan anak, Teori, Praktikal dan Realiti

Hadhanah : Hak jagaan anak, Teori, Praktikal dan Realiti


Gambar hiasan


PENGERTIAN Dari sudut bahasa, Hadhanah bererti menjaga dan mengasuh anak kecil dengan menanggung nafkah dan mendidiknya. Perkataan Hadhanah diambil daripada perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada. Ia dikaitkan dengan pengasuhan kerana pada kebiasaannya pengasuh meletakkan kanak-kanak yang diasuh di atas rusuknya atau pangkuannya (Al-Sayyid Sabiq. 1994). 

Dari sudut syara’, erti Hadhanah diberikan dengan berbagai definisi. Dalam mazhab al-Shafie ia disebut sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana ia tidak mumayyiz lagi seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga dengan mendidiknya (mendidik orang yang dijaga) dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya” (Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Buqha & Dr. Ali Al-Syarbaji. 2000). 

Mazhab Hanafi pula mentakrifkan Hadhanah sebagai mendidik kanak-kanak yang tidak dapat menguruskan diri sendiri menurut umur tertentu oleh orang yang berhak terhadapnya, iaitu dikalangan keluarganya (Ahmad Mahmud Al-Shafi’i. 1991).

Ada juga pendapat yang mengatakan Hadhanah itu adalah mengawal kanak-kanak kecil, orang lemah, orang gila atau orang yang kurang waras daripada apa-apa bahaya yang boleh merosakkannya, menurut kemampuan dengan cara mendidik dan menjaganya, seperti membersih tubuh badannya, memberi makanan dan apa-apa jua yang boleh mendatangkan kerehatan kepadanya. 


Hukum Hadhanah

Hukum Hadhanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Kewajipan Hadhanah ini lebih tertumpu kepada ibu, kerana ibu mempunyai cirri-ciri dan sifat yang lebih sesuai untuk tujuan pengasuhan jika dibandingkan dengan bapa, sekalipun bapa telah berkahwin lain. Lagipun seorang ibu tiri tidak akan dapat mengasuh seorang kanak-kanak dengan sebaik mungkin yang boleh dilakukan oleh ibu kandung. Berdasarkan kedudukan ini, Islam telah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu. 

Nabi Muhammad s.a.w pernah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu selama mana dia belum berkahwin lain. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin.” 
(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud) 



Hak Hadhanah menurut hukum syarak

Pada dasarnya, Islam telah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu kecuali jika terdapat sebab-sebab yang boleh menggugurkan hak dan tanggungjawab tersebut. 

Ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 

“Sesungguhnya anak yang berada dalam dukungan ini sayalah yang menyusukannya, tetapi sekarang bapanya telah menceraikan saya dan dia mahu mengambil anak ini daripada saya,” lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “ Kamu lebih berhak ke atas ini selagi kamu belum berkahwin.” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Oleh yang demikian, hanya dengan perkahwinan seorang ibu dengan lelaki lain yang dapat menggugurkan hak dan tanggungjawab hadhanah terhadap seorang ibu. Ini sebagaimana yang telah disepakati oleh majoriti ulama’ fikah yang mensyaratkan hak dan penjagaan anak akan gugur dari seorang ibu sekiranya ibunya berkahwin dengan lelaki lain. 



Peruntukan Undang-undang Berkaitan Hadhanah Di Malaysia

Peruntukan undang-undang secara terperinci berkaitan Hadhanah di Malaysia telah dikuatkuasakan melalui Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang digubal di setiap negeri sebagaimana berikut:

  • Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984,Seksyen 81-87;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985, seksyen 80-86;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 1983, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 1987, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 1990, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Melaka 1983, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 1983, seksyen 82-88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984, seksyen 77 hingga 83;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 1985, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 1979, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 1992, seksyen 81 hingga 87;
  • Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak  1991, seksyen 85 hingga 91;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Sabah 1992, seksyen 82 hingga 88.


Dalam peruntukan undang-undang di atas, ia mengkumi aspek-aspek yang berkaitan hak Hadhanah iaitu, orang yang berhak menjaga kanak-kanak, kelayakan yang perlu untuk penjagaan, bagaimana hak penjagaan hilang, lamanya penjagaan, penjagaan anak tak sahtaraf, kuasa mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan dan seterusnya perintah tertakluk kepada syarat-syarat.


Seksyen 201. Perintah Interim Tentang Hadhanah ( Jagaan Sementara )


(1) Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam , jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan Hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang Hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta–merta dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.

(2) Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak yang demi kepentingan keadilan atau pelindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campurtangan serta-merta Mahkamah adalah perlu.

(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu satu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang hendaklah disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat:

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;

(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan perintah Interim itu;

(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu;

(d) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;

(e) tentang sama ada mana-mana permohonan ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan

(f) tentang relief yang sebenarnya dipohon.



Syarat penjaga (Hadhinah)

Terdapat pelbagai pendapat mengikut mazhab dalam meletakkan syarat kepada seorang penjaga (hadinah). Menurut mazhab Syafi’i, seseorang pengasuh itu mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:


  1. Islam. Seorang ibu yang kafir atau murtad tidak boleh dan tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil.
  2. Berakal. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun.
  3. Beramanah. Orang perempuan yang mempunyai sifat khianat tidak berhak menjadi penjaga atau pengasuh, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.
  4. Baliqh. Kanak-kanak kecil perlu kepada orang yang lebih dewasa, lebih-lebih lagi untuk urusan muamalat.
  5. Perempuan yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak, pencuri dan sebagainya tidak berhak menjadi pengasuh. 
  6. Merdeka. Hamba tidak berhak menjadi pengasuh kepada kanak-kanak.
  7. Tinggal bersama kanak-kanak yang diasuh. 
  8. Jika pengasuh itu ibunya sendiri, disyaratkan dia belum lagi berkahwin dengan lelaki lain. Jika dia berkahwin dengan seseorang daripada mahram kanak-kanak tersebut, hak pengasuhan itu tidak gugur jika bekas suaminya rela.
  9. Mempunyai tempat tinggal. Kanak-kanak tidak boleh diserahkan kepada ibu atau pengasuh lain jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa.
  10. Jika pengasuh kanak-kanak merupakan seorang wanita asing, disyaratkan suaminya mestilah mempunyai pertalian saudara dengan kanak-kanak berkenaan. 


  Bagaimana Hak Jagaan Hilang

Faktor-faktor yang boleh membawa terlucutnya hak Hadhanah terhadap kanak-kanak diperuntukkan secara jelas dalam Seksyen 83 Akta 303[17] yang menyatakan:

Hak seseorang perempuan terhadap Hadhanah adalah hilang:


  1. Jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
  2. Jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  3. Jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
  4. Jika perempuan itu murtad;
  5. Jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu

Dalam Arahan Amalan No. 15 Tahun 2007[18] memperuntukkan bahawa alasan yang menyebabkan hak jagaan seseorang bapa atau pihak lelaki hilang kelayakan terhadap Hadhanah, antaranya ialah:


  1. Jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
  2. Jika dia murtad;
  3. Jika dia mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu;
  4. Jika dia menjadi tidak sempurna akal;
  5. Jika dia berpenyakit kusta, sopak atau penyakit-penyakit lain yang berjangkit yang membahayakan kanak-kanak itu.


Upah Hadhanah 

UPAH HADHANAH Mengenai upah Hadhanah, jika pengasuh merupakan isteri yang diceraikan dan mendapat nafkah semasa idah, dia tidak berhak mendapat upah Hadhanah. Dua perkara tidak harus dikumpulkan dalam satu masa, iaitu upah dan nafkah. 
Manakala jika bekas isteri telah tamat iddah dan tidak lagi mendapat apa-apa nafkah daripada bekas suaminya. Dia berhak mendapat upah Hadhanah kerana dia telah menjalankan tugas bagi pihak bapa anaknya ataupun wali anaknya. 
Jika pengasuh selain ibu anak itu, dia berhak mendapat upah bagi pelbagai khidmatnya kepada kanak-kanak itu, seperti upah mengasuh, menyusu dan upah itu tidak termasuk dalam nafkah yang diberikan kepada kanak-kanak itu, kecuali dia rela mengasuh dengan percuma.

Bayaran Hadhanah dikira bermula dari hari mula bertugas. Bayaran ini dikira hutang jika tidak dibayar, dan ia tidak akan gugur kecuali dengan membayarnya ataupun dihalalkannya. Pihak yang bertanggungjawab membayar upah Hadhanah ialah pihak yang bertanggungjawab menanggung nafkah kanak-kanak itu, kerana perbelanjaan upah hadhanah dikira sebagai sebahagian nafkah dan ia merupakan satu perkara yang wajib ke atas bapa atau penjaganya. 


SOLUSI DAN KESIMPULAN

Meskipun syara’ telah menetapkan bahawa, ibu merupakan orang yang paling berhak terhadap hak dan tanggungjawab Hadhanah, hak dan tanggungjawab tersebut tidak akan diberikan kepada seorang ibu itu sehingga dia dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab Hadhanah tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang telah ditetapkan.


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.

Apa pun jua Perihal Kebajikan anak-anak menjadi Keutamaan dalam Hak Hadhanah. 

Walau Perceraian berlaku diantara suami dan isteri Hak-Hak sebagai seorang ayah dan ibu masih terpakai.

Bagi mereka yang memerlukan Nasihat dan Bantuan, jangan malu untuk bertanya kepada pihak yang lebih arif terhadap tajuk kupasan Hadhanah ini. Anda Boleh juga hubungi peguam kami untuk maklumat dan bantuan lanjut. Moga perkongsian ini bermanfaat. 
Sebarang persoalan lanjut mengenai Hadhanah boleh hubungi kami di SINI


Artikel ini adalah hak cipta http://sukapeguamsyarie.blogspot.com/

Dibenarkan untuk berkongsi dan re-publish artikel ini dengan credit kepada blog ini.

0 comments: