Monday, 9 December 2013

WAKAF


Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jualbeli, pewarisan, hibah dan wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya (ain).

Wakaf merupakan suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana pemilikan ain (benda yang diwakafkan) adalah kerana Allah S.W.T atau dihukumkan sebagai milik Allah S.W.T Adapun manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan Maukuf Alaih iaitu pihak atau jihah atau orang yang ditentukan menerima manfaat wakaf.


Wakaf adalah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan oleh syarak.

Harta wakaf boleh menyumbang dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah contohnya mendirikan projek komersil seperti hotel wakaf, pusat-pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak yatim, pusat perlindungan dan lain-lain selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Dalil galakan dan ganjaran kepada perwakaf.

Firman Allah S.W.T;

“Bandingan (perbelanjaan derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan(ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah amat luas (rahmat) kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
(Surah al-Baqarah: ayat 261)


Hadith riwayat Muslim Yang Bermaksud;
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasullullah S.A.W. telah bersabda “Apabila mati anak Adam akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkannya atau anak yang soleh yang mendoakannya”.

Bahagian Wakaf terbahagi kepada dua:

WAKAF AHLI ( AHLI KELURGA)
 Iaitu wakaf yang memberi manfaat kepada keturunan maukuf alaih seperti anak,cucu dan seterusnya. Contoh, “Saya mewakafkan kesemua harta saya kepada anak cucu dan keturunan saya untuk selamanya”.

WAKAF KHAIRI (KEBAJIKAN)
Iaitu wakaf yang diperuntukan bagi tujuan kebajikan semata-mata. Wakaf Khairi terbahagi kepada 2 iaitu:

Wakaf Am
Wakaf yang tidak dikhaskan oleh pewakaf kepada pihak tertentu. Contohnya seperti seorang mewakafkan sebidang tanah untuk kebajikan am. Dalam wakaf ini, Nazir Wakaf (Pemegang Amanah) mentadbirkan tanah tersebut untuk apa jua bentuk pembangunan yang boleh memberikan hasil sebaik mungkin tanpa terikat dengan jenis kebajikan/bentuk pembangunan tertentu. Manakala manfaatnya pula diagihkan kepada apa juga bentuk kebajikan am yang mana pahalanya berterusan kembali kepada pewakaf.


Wakaf Khas
Wakaf yang manfaatnya dikhaskan kepada pihak tertentu sebagaimana yang di tentukan oleh pewakaf. Contohnya;
Wakaf rumah khas untuk anak-anak yatim,Wakaf kedai hasilnya dikhaskan kepada masjid atau surau atau madrasah tertentu sahaja dan Wakaf untuk masjid, surau, madrasah, tanah perkuburan dan sebagainya

0 comments: