Sunday, 18 January 2015

DEKLARASI HIBAH



DEKLARASI HIBAH

Hibah bermaksud pemberian. Dalam istilah syarak, hibah bermaksud suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Apabila seseorang yang mempunyai harta tersebut memindahkan hak milik kepada benefisiari, maka harta tersebut akan menjadi hak milik benefisiari tersebut. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa ciri-ciri hibah ialah suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak. Akad hibah juga dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad). Akad hibah berkuatkuasa semasa pemberi hibah hidup dan hibah itu dibuat bukan secara paksaan. Akad yang dibuat bukanlah bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu.

Berdasarkan hukum, hibah merupakan satu amalan sunat di mana Islam menggalakkan hibah terutamanya kepada kaum kerabat yang terdekat. Di antara ayat Al-Quran yang menggalakkan hibah ialah :

"…dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya…"
(Surah Al-Baqarah : 177)


Rukun hibah ada empat iaitu :

1.      Pemberi hibah (al-wahib) - Orang yang memberikan harta hibah tersebut
Pemberi hibah mestilah seorang yang sempurna akalnya, baligh dan dia mestilah tuan punya barang ke atas barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas hartanya maka hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam selagi ianya tidak melanggar syarak.

2.      Penerima hibah (al-mahwub lahu) – Orang yang menerima harta hibah tersebut
Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Jika penerima hibah tersebut masih belum mukallaf seperti belum akil baligh atau kurang upaya, hibah tersebut boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.

3.      Barang atau harta yang dihibahkan (al-mawhub)
Setiap hibah mestilah mempunyai barang atau harta tersebut. Selain itu ianya hendaklah memenuhi syarat-syarat iaitu mestilah harta yang halal, mempunyai nilai di sisi syarak, harta tersebut merupaka milik pemberi hibah, ianya boleh diserah milikan, harta tersebut mestilah wujud semasa dihibahkan dan harta tersebuttidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan.

4.      Ijab dan qabul
Sighah hibah merupakan lafaz yang membawa makna kepada pemberian dan penerimaan hibah. Di dalam lafaz ijab dan qabul hibah juga mempunyai syarat-syaratnya iaitu ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul, tidak dikenakan syarat-syarat tertentu dan dalam tempoh masa tertentu.
Selain daripada deklarasi harta seperncarian, deklarasi hibah atau pri-hibah juga merupakan satu pengisytiharaan semasa hayat bagi pemberian aset kepada seseorang tanpa mengharapkan apa-apa balasan yang mana aset tersebut adalah bagi kepentingan orang yang menerima hibah tersebut iaitu benefisiari. Deklarasi hibah ini adalah dokumen bertulis yang mana ianya akan berkuatkuasa selepas mati.

Pri-hibah ini tidak tertakluk kepada hukum Faraid tetapi ianya adalah tertakluk kepada terma di dalam Deklarasi Hibah. Secara ringkasnya, aset Pri-hibah tidak akan termasuk di dalam harta pusaka dan ianya akan diselesaikan terlebih dahulu. Di dalam pri-hibah, harta yang mahu dihibahkan tersebut akan diserahkan kepada pemegang amanah dan apabila pemilik harta meninggal dunia, harta tersebut tidak perlu difaraidkan dan boleh diserahkan terus kepada benefisiari yang dipilih olehnya seperti yang terdapat di dalam deklarasi hibah.

Secara ringkasnya, kelebihan membuat deklarasi hibah ialah :
1.      Aset pri-hibah adalah terkeluar daripada pembahagian faraid dan bukanlah harta pusaka.
2.      Berkuatkuasa serta-merta mengikut terma dan syarat di dalam deklarasi hibah.
3.      Hak penerima hibah atau benefisiari adalah selamat dan terjamin.
4.      Pemberi masih lagi pemilik berdaftar aset tersebut semasa hidup.

Sebarang Kemusykilan Berkaitan Perundangan Syariah 

boleh hubungi kami di SINI


1 comments:

kamal ginx said...

Salam.. jika rumah tersebut masih punyai hutang.. bagamiana dengan kaedah HIBAH ni dapat membantu.
Ini kerana rumah tersebut masih dipengang oleh bank..? mohon pencerahan..