Wednesday 4 December 2013

DEKLARASI HARTA SEPENCARIAN



Takrifan Harta Sepencarian harta sepencarian ialah harta yang diperoleh pasangan suami isteri sepanjang tempoh perkahwinan yang sah, iaitu sumbangan daripada suami dan isteri terhadap perolehan harta itu, sama ada secara langsung ataupun tidak.

Sumbangan secara langsung adalah dalam bentuk sumbangan yang jelas dan hakiki sama ada modal dalam bentuk wang ringgit dan usaha sama antara suami dan isteri terhadap perolehan satu-satu harta.

Sumbangan secara tidak langsung adalah sumbangan bersifat nisbi dan subjektif, yang membabitkan sumbangan atas dasar keikhlasan, kasih sayang, kesetiaan, ketaatan dan sebagainya yang memberi kesan kepada kebahagiaan rumah tangga, ketenangan jiwa dan minda pasangan dalam memberi kesan kepada perolehan harta.

Konsep Harta Sepencarian berasal daripada hukum adat Melayu yang tidak bertentangan dengan hukum Syarak, maka ia diterima pakai dan menjadi sebahagian daripada undang-undang keluarga Islam di Malaysia dan hak untuk menuntut Harta Sepencarian terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Secara tidak langsung konsep Harta Sepencarian terpakai untuk semua pasangan Muslim, tidak mengira bangsa.

Perlu difahami bahawa Harta Sepencarian adalah satu hak untuk pasangan suami isteri yang mana hak ini hanya akan diperoleh melalui tuntutan.Sekiranya tiada tuntutan, maka masing-masing tidak akan mendapat hak mereka.

Tuntutan Harta Sepencarian boleh dilakukan dalam dua keadaan, selepas perceraian atau selepas kematian.

Senario tuntutan Harta Sepencarian membabitkan pembuktian, masa, emosi dan sebagainya. Perkara seperti penangguhan perbicaraan, tempoh perbicaraan yang panjang, bukti yang tidak mencukupi, saksi tidak hadir ke mahkamah dan sebagainya boleh berlaku.

Dalam kes yang membabitkan tuntutan selepas kematian, pengagihan Harta Sepencarian akan mendahului pembahagian harta pusaka.Ini bermaksud, harta pusaka tidak akan dapat diagihkan kepada waris selagi mana kes tuntutan Harta Sepencarian belum lagi diselesaikan.

Untuk mengurangkan beban pasangan selepas kematian dan memastikan bahawa pembahagian harta pusaka berjalan dengan lancar, Deklarasi Harta Sepencarian satu instrumen yang penting dalam memastikan bahawa pengagihan Harta Sepencarian tidak melalui jalan sukar.

Ia satu dokumen perjanjian bersama antara suami isteri untuk menyatakan pembahagian tertentu yang dipersetujui bersama dalam memberikan hak kepada mereka terhadap satu-satu harta.

Memandangkan pengagihan harta sepencarian mendahului pembahagian harta pusaka, Deklarasi Harta Sepencarian menjadi instrumen untuk memastikan bahawa pasangan memperoleh harta tertentu dalam bahagian yang tertentu.

Kelebihan membuat DEKLARASI HARTA SEPENCARIAN ialah:

1. Dengan menandatangani Deklarasi Harta Sepencarian masalah yang mungkin timbul akibat tuntutan Harta Sepencarian dapat diatasi

2. Aset tidak termasuk dalam pembahagian mengikut Faraid

3. Kedua-dua pihak boleh membuat keputusan dan bersetuju dengan pembahagian masing-masing

4. Hak suami isteri sentiasa dilindungi sepertimana yang dipersetujui di dalam deklarasi tanpa pertelingkahan

5. Proses pembahagian yang cepat tanpa perlu membuat tuntutan ke mahkamah

6. Menjimatkan kos tanpa perlu ke mahkamah untuk membuktikan sumbangan kedua-dua pihak

7. Memudahkan dan memberi keselesaan kerana kehendak semua pihak telah dipenuhi.

Sekiranya seorang suami ingin memberi isterinya lebih daripada apa yang sepatutnya melalui faraid, atau ingin memastikan bahawa rumah yang mereka duduki akan diwarisi isterinya, maka Deklarasi Harta Sepencarian merupakan penyelesaian terbaik.

Atas dasar saling mengasihi dan mempercayai, suami dan isteri melaksanakan Deklarasi Harta Sepencarian sebagai tanda penghargaan dan berterima kasih kepada pasangan hidup mereka.

Sebarang persoalan lanjut mengenai Harta Sepencarian boleh hubungi kami di SINI

3 comments:

Unknown said...

Bagaimana cara utk membuat Deklarasi Harta Sepencarian ini?

hyatt^^ said...

Salamalayk. Untuk membuat deklarasi harta sepencarian ini puan boleh hubungi terus talian 0137000029 untuk bantuan lanjut. Terima kasih. NHA

Unknown said...

Saya ingin membuat dekelarasi harta pencarian,dgn siapa saya patut berhubung?

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...