Garis Panduan
Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami
TUJUAN
Garis Panduan Ber`iddah Bagi Wanita
Yang Bercerai atau Kematian Suami disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada
masyarakat Islam di Malaysia khususnya dalam kalangan wanita berkaitan batas
hukum dan adab semasa berada dalam tempoh `iddah menurut tuntutan syarak.
PENDAHULUAN
2.
Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah menyusun secara terperinci
perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah, cerai dan rujuk sebagai satu
panduan hukum yang wajib dipatuhi oleh umat Islam.Bagi isu yang melibatkan
perceraian, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian seperti nafkah
`iddah, mut`ah, hak penjagaan anak dan pembahagian harta
sepencarian. Selain daripada itu, satu lagi perkara penting bagi seorang
isteri yang diceraikan ialah tempoh `iddah yang wajib ditempuh oleh
mereka.
3.
Dalam perkara ini, `iddah turut tidak terkecuali bagi seorang wanita yang
kematian suami dan Islam menetapkan bahawa mereka wajib menempuh tempoh `iddah
tertentu dan berkabung atas kematian tersebut.
4.
Dengan berlakunya peredaran masa dan zaman, wanita Islam yang berada dalam
tempoh `iddah sering berhadapan dengan pelbagai persoalan yang memerlukan
penjelasan terperinci khususnya dalam hal yang melibatkan batas hukum dan adab
bagi seorang wanita ber`iddah atau berkabung. Tambahan pula, dengan
tuntutan kerjaya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi hari ini, ia turut
memberi impak dan cabaran terhadap cara dan gaya hidup masyarakat. Dibimbangi,
sekiranya tidak dibimbing dan dipandu dengan sebaiknya, masyarakat Islam
khususnya dalam kalangan wanita tidak dapat memahami dan menghayati konsep `iddah
dan berkabung yang sebenar seperti yang dituntut oleh Islam, bahkan
menganggapnya sebagai perkara remeh dan menyusahkan.
KANDUNGAN GARIS PANDUAN
5.
Garis panduan ini memberi penjelasan mengenai batas hukum yang perlu dipatuhi
oleh seorang wanita yang sedang berada dalam tempoh `iddah supaya kehidupan
mereka sepanjang tempoh tersebut selari dengan tuntutan Islam dan mengelakkan
berlakunya sebarang fitnah serta tohmahan yang tidak diingini.
Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara seperti yang berikut:
a.
Tafsiran.
b.
Hukum `iddah dan berkabung.
c.
Dalil-dalil pensyariatan `iddah.
d.
Dalil-dalil pensyariatan berkabung.
e.
Hikmah `iddah.
f.
Jenis dan tempoh `iddah.
g.
Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah talak raj`ie.
h.
Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah talak ba’in.
i.
Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah kematian suami.
j.
Kesimpulan.
|
Tafsiran
Tafsiran bagi beberapa istilah yang
berkaitan dengan garis panduan ini ialah seperti yang berikut:
i. Ajnabi
Tidak mempunyai hubungan kerabat.
Orang asing.
ii. Berkabung
(Ihdad)
Meninggalkan perhiasan dan
seumpamanya bagi wanita yang sedang ber`iddah kerana kematian suami.
iii. Fasakh
Pembubaran perkahwinandengan kuasa
pihak pemerintah.
iv. `Iddah
Tempoh tertentu yang ditetapkan ke
atas seorang wanita selepas diceraikan atau selepas kematian suami.
v. Istihadhah
Darah yang mengalir daripada faraj
wanita dan ia bukan darah haid atau nifas.
vi. Mut`ah
Pemberian sagu hati oleh suami kepada
isteri yang diceraikan.
vii. Rujuk
Suami kembali semula kepada isteri
yang diceraikan bukan secara talak ba’in, tanpa memerlukan kepada
akad baharu.
viii. Suami
Hilang (Mafqud)
Terputus hubungan dengan suami dan
tidak diketahui sama ada masih hidup atau mati.
ix. Talak Raj`ie
Talak yang memberi hak kepada suami
untuk kembali rujuk kepada isterinya selagi dalam tempoh `iddah.
x. Talak Ba’in
Talak yang tidak memberi hak kepada
suami untuk kembali rujuk kepada isteri yang diceraikan kecuali dengan mahar
dan akad yang baharu. Talak ba’in terbahagi kepada dua
iaitu ba’in baynunah sughra dan ba’in baynunah kubra.
Ba’in baynunah sughraialah perceraian yang berlaku sebelum berlaku persetubuhan sama ada
secara talak satu atau dua.
Ba’in baynunah kubraialah perceraian secara talak tiga dan suami tidak boleh kembali rujuk
kepada isteri yang diceraikan kecuali selepas isteri tersebut berkahwin dengan
lelaki lain.
Hukum `Iddah dan Berkabung
i.
Hukum `iddah menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang
bercerai atau kematian suami.
ii.
Hukum berkabung menurut syarak adalah wajib ke atas wanita
yang kematian suami.
Dalil-Dalil Pensyariatan `Iddah
Terdapat beberapa dalil daripada
al-Quran dan al-Sunnah yang mensyariatkan kewajipan `iddah. Antara
dalil-dalil tersebut ialah:
i.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud:
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu
hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama
tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan
(tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan
rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan
suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam
masa `iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan
isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung
oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang
oleh syarak); dan suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya. Dan
(ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
ii.
Dalam Surah al-Talaq ayat 1, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan
umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada
masa mereka dapat memulakan `iddahnya, dan hitunglah masa `iddah itu (dengan
betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan
mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah
pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan
perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah
kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka
sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu,
kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan sesudah itu
sesuatu perkara (yang lain).
iii.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq ayat 4 yang bermaksud:
Dan perempuan-perempuan dari kalangan
kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap
tempoh `iddah mereka) maka `iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga
`iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan
mengandung, tempoh `iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang
dikandungnya. Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah
memudahkan baginya segala urusannya.
iv.
Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, daripada Aisyah r.a., katanya
yang bermaksud:
Rasululah SAW telah memerintahkan
Barirah untuk ber`iddah dengan tiga kali haid.
Dalil-Dalil Pensyariatan Berkabung
Terdapat beberapa dalil daripada
hadith Nabi SAW yang mensyariatkan kewajipan berkabung. Antara
dalil-dalil tersebut ialah:
i. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bermaksud:
Tidak halal bagi perempuan yang
beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung lebih daripada tiga hari,
kecuali berkabung kerana kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari.
ii.
Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Ummu `Atiyyah r.a.,
katanya yang bermaksud:
Kami dilarang berkabung atas kematian
seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat
bulan sepuluh hari. Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai
wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni...
iii.
Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Nasa’ie bermaksud:
Tidak halal bagi perempuan yang
beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung kerana kematian lebih daripada
tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suami, mereka tidak boleh bercelak
mata, tidak boleh berinai dan memakai pakaian berwarna-warni.
Hikmah `Iddah
Terdapat beberapa hikmah pensyariatan
`iddah kepada wanita Islam. Antara hikmah tersebut ialah:
i.
Untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu. Ia
bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami
yang baharu dikahwininya.
ii.
Bagi `iddah talak raj`ie, ia sebagai ruang kepada suami dan isteri
untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang telah
dilakukan termasuk kesan daripada perceraian yang berlaku. Di samping
itu, ia juga dapat memberi peluang kepada suami untuk kembali rujuk
kepadaisterinya.
iii.
Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh `iddah juga sebagai tempoh berkabung
bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu. Ia juga sebagai
tanda menjaga hak suami dan tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada
suaminya. Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri
terhadap perintah Allah SWT.
Jenis dan Tempoh `Iddah
Secara keseluruhannya, sebab wajib
`iddah terbahagi kepada dua bahagian iaitu `iddah disebabkan perceraian semasa
hidup dan `iddah dengan sebab kematian suami. Setiap bahagian
`iddah tersebut mempunyai pengiraan tersendiri yang akan menentukan tempoh
`iddah yang perlu ditempoh sama ada panjang atau pendek. Pengiraan `iddah
terbahagi kepada tiga iaitu:
i.
`Iddah dengan kiraan suci (quru’);
ii.
`Iddah dengan kiraan bulan; dan
iii.
`Iddah dengan kelahiran atau keguguran kandungan.
Perincian berhubung jenis dan tempoh `iddah adalah seperti dalam Jadual
1.
Jadual 1: Jenis dan Tempoh `Iddah
BIL
|
JENIS `IDDAH
|
ADA HAID / TIADA HAID/
SEDANG MENGANDUNG
|
TEMPOH `IDDAH[1]
|
KETERANGAN
|
i.
|
Bercerai
talak raj`ie/ba’in
|
Ada
haid
|
Tiga
kali suci
|
a.
Jika ditalaq semasa dalam keadaan suci, `iddahnya tamat apabila datang haid
yang ketiga.
b.
Jika ditalaq semasa dalam keadaan haid, `iddahnya tamat apabila datang haid
yang keempat.
c.
Jika ditalaq semasa dalam keadaan nifas, hendaklah menunggu sehingga tiga
kali suci selepas nifas. `Iddah tamat apabila datang haid yang keempat.
|
ii.
|
Bercerai
talak raj`ie/ba’in
|
Tiada
haid (sama ada kerana penyakit, telah dibuang rahim, telah putus haid, belum
pernah haid atau lain-lain)
|
Tiga
bulan
|
|
iii.
|
Bercerai
talak raj`ie/ba’in
|
Sedang
mengandung
|
Sehingga
bersalin atau kandungan gugur
|
Selesai
`iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan
yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging
yang menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.
|
iv.
|
Bercerai
talak raj`ie/ba’in dan belum pernah disetubuhi
|
Ada
haid atau tiada haid
|
Tiada
`iddah
|
|
v.
|
Bercerai
talak raj`ie/ba’in dan menghidap istihadhah
|
a.
Haid tidak menentu tetapi masih dapat mengetahui kebiasaan perjalanan darah
haidnya.
b.
Haid tidak menentu dan tidak mengetahui kebiasaan perjalanan haidnya
atau tidak dapat membezakan antara darah haid dan istihadhah.
|
Tiga
kali suci
Tiga
bulan
|
|
vi.
|
Berlaku
kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak raj`ie dan
tidak mengandung
|
Ada
haid atau tiada haid
|
Empat
bulan sepuluh hari
|
Kiraan
`iddah baru bermula pada tarikh atau hari kematian suami walaupun sebelum itu
`iddah isteri sama ada dengan tiga kali suci atau tiga bulan telah hampir
tamat.
|
vii.
|
Berlaku
kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak ba’in dan
tidak mengandung
|
Ada
haid atau tiada haid
|
Tiga
kali suci atau tiga bulan
|
Kekal
`iddah talak ba’in sama ada dengan kiraan tiga kali suci
atau tiga bulan dan `iddah tidak bertukar kepada `iddah kematian suami.
|
viii.
|
Kematian
suami sama
ada
telah disetubuhi atau belum disetubuhi dan tidak mengandung
|
Ada
haid atau tiada haid
|
Empat
bulan sepuluh hari
|
Wanita
yang kematian suami bukan sahaja wajib ber`iddah, tetapi juga wajib
berkabung.
|
ix.
|
Kematian
suami
|
Sedang
mengandung
|
Sehingga
melahirkan anak atau kandungan gugur
|
Selesai
`iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan
yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging
yang menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.
|
x.
|
Suami
hilang
|
Ada
haid, tiada haid atau sedang mengandung
|
Isteri
wajib menunggu selama empat tahun. Selepas tempoh tersebut, isteri
wajib pula ber`iddah dengan `iddah kematian suami selama empat bulan
sepuluh hari.
|
Bagi
kes suami hilang, isteri boleh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah
Syariah bagi mendapatkan pengesahan kematian suami atau membuat tuntutan
fasakh.
|
Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Talak Raj`ie
Wanita yang sedang menjalani `iddah
talak raj`ie mempunyai batas hukum yang perlu dipatuhi
sepanjang berada dalam tempoh tersebut. Ini kerana hubungan atau
pertalian perkahwinan antara suami isteri yang bercerai secara talak raj`ie masih
wujud. Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi ialah:
i.
Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
ii.
Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi.
Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu
adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
iii.
Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan keizinan suami.
iv.
Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di
rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan
perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang
diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah
tempat tinggal. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talak
ayat 1 yang bermaksud:
…Janganlah kamu mengeluarkan mereka
dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula
(dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan
perbuatan keji yang nyata…
Namun, mereka dibolehkan keluar dan
meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang
boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.
v.
Tidak boleh berkabung. Bahkan mereka dituntut untuk bersolek dan berhias
kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk
semula.
Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Talak Ba’in
Bagi wanita yang sedang menjalani
`iddah talak ba’in, mereka juga mempunyai batas hukum tertentu
sepanjang berada dalam tempoh tersebut. Antara perkara-perkara yang perlu
dipatuhi oleh mereka ialah:
i.
Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
ii.
Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan
dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan
pasangan tersebut wajib dipisahkan.
iii.
Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam had dan batas yang diperlukan
sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah
untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan dan keperluan-keperluan lain yang
penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan
adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Termasuk dalam larangan keluar
rumah juga ialah keluar untuk bermusafir walaupun untuk menunaikan ibadat fardu
haji. Justeru dalam hal ini, keluar rumah tanpa keperluan yang penting dan mendesak
adalah tidak dibenarkan sama sekali.
iv.
Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi
kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Ini kerana,
sepanjang tempoh `iddah dengan talak ba’in, bekas suami masih
berkewajipan menyediakan tempat tinggalnya dandilarang daripada menghalau
keluar isteri yang diceraikan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan
kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti
banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan
meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang
atau dapat diatasi.
v.
Disunatkan berkabung dan meninggalkan amalan berhias kerana dibimbangi dengan
berhias itu boleh mendorong kepada maksiatdan kerosakan serta membawa kepada
fitnah.
Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Kematian Suami
i.
Bagi wanita yang ber`iddah kerana kematian suami,Islam telah menggariskan
cara-cara tertentu sepanjangmereka berada dalam tempoh tersebut. Antara
perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:
a)
Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
b)
Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan
dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak
sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
c)
Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan
batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan
keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli
barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang
lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting
dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab
seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga
hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun,
pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu
bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawatdan sebagainya. Bagi larangan
bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan
umrah.
d)
Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal
sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan
yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah
runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan
rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat
diatasi.
e)
Wajib berkabung sepanjang tempoh `iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh
tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur
berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan
berhias ini ialah:
i)
Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik
perhatian orang yang memandang;
ii)
Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan
barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;
iii)
Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan
iv)
Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta
perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan
masyarakat setempat.
ii.
Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan
tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk hiasan tempat tinggal, bilik
tidur dan sebagainya.
iii.
Justeru, walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, ini tidak
bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta
ahli keluarga. Malah, mereka wajib menjaga kebersihandan kekemasan diri,
pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh `iddah dan berkabung itu.
KESIMPULAN
Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita
semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan, malah berterusan sehingga
terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun
perceraian mati. Sudah pasti terdapat hikmah yang besar disebaliksetiap perkara
yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal
manusia. Begitu juga dengan pensyariatan `iddah dan berkabung oleh Allah
SWT ke atas kaum wanita. Justeru, sebagai hamba-Nya yang beriman, kita
wajib patuh dan taat serta mengambil berat terhadap tuntutan tersebut tanpa
sebarang persoalan atau menghadapinya dengan perasaan dan jiwa yang
berkeluh-kesah. Bahkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT itu merupakan
satu tanda pengabdian diri dan kepatuhan hamba-Nya terhadap Pencipta Yang Maha
Agung.
Dalam
era wanita Malaysia yang berkerjaya, peranan ahli keluarga dan anggota
masyarakat juga tidak kurang pentingnya. Mereka perlu sentiasa dididik
dan diberi kesedaran supaya dapat menghayati dan menghormati situasi
wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung serta membantu mereka agar dapat
menjalani tempoh tersebut mengikut landasan syarak. Ini penting kerana
dengan pemahaman yang jelas berhubung hal ini, perkara-perkara yang ditegah
oleh Islam dapat dihindari seterusnya mengelakkan berlakunya fitnah, tohmahan
dan unsur-unsur yang kurang menyenangkan terhadap wanita yang sedang ber`iddah
dan berkabung.
PENUTUP
Garis panduan ini diharap dapat memberikan panduan kepada masyarakat
Islam khususnya dalam kalangan wanita Islam yang sedang menjalani tempoh `iddah
dan berkabung supaya dapat melalui detik-detik tersebut dengan lebih mudah dan
tenang. Ia juga diharap dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami dan
menghayati konsep `iddah dan berkabung menurut tuntutan Islam yang
sebenar.
RUJUKAN
TERJEMAHAN AL-QURAN
Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada
Pengertian al-Qur’an. Cet. 12. Kuala Lumpur: Darul Fikir.
KAMUS
Muhammad Rawas QalÑah Ji.2006. MuÑjam Lughah al-Fuqaha’.Cet.
1. Beirut: Dar al-Nafa’is.
BAHASA ARAB
`Abd al-Karim Zaidan. 2000. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah
wa al-Bait al-Muslim fi al-Shari`ah al-Islamiyyah. Juz. 9. Beirut:
Mu’assasah al-Risalah.
Ibn al-Jauzi, Imam Jalal al-Din Abi al-Farj. 1998. Ahkam al-Nisa’.
Beirut: Dar al-Ma‘rifah.
Saleh bin ÑAbd al-ÑAziz bin Muhammad bin Ibrahim. 2000.MawsuÑah
al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. Cet. 3. Arab Saudi: Dar
al-Salam.
Wahbah al-Zuhaily. 1997.Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Juz.
9. Beirut: Dar al-Fikr.
Wazarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah.1993. Al-Mawsu‘ah
al-Fiqhiyyah.Juz. 2. Kuwait: Wazarah al-Awqaf wa al-Syu`un
al-Islamiyyah.
__________________________________________. Al-Mawsu‘ah
al-Fiqhiyyah.Juz. 29. Kuwait: Wazarah al-Awqaf wa al-Syu`un
al-Islamiyyah.
AKTA
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984
(Akta 303). 2005. Petaling Jaya: International Book Services.
[1]Bagi `iddah dengan
kiraan bulan, pengiraannya adalah berdasarkan kalendar hijrah dan bukannya
mengikut kalendar masihi.
No comments:
Post a Comment