TUNTUTAN MUTAAH YANG WAJIB ISTERI TAHU SELEPAS BERCERAI
Gambar Hiasan |
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MUTAAH?
Mutaah ialah suatu pembayaran sagu hati yang diberikan oleh
bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai sama ada berupa wang
atau pun barang. Sagu hati mutaah ini dikira bayaran yang wajib apabila
perceraian itu berlaku bukan disebabkan oleh kesalahan pihak bekas isteri.
APAKAH HUKUM MENGENAI
MUTAAH?
Jumhur ulama menyatakan hukum asal mutaah ialah sunat iaitu
suatu amalan yang digalakkan terhadap suami yang telah menceraikan isterinya.
Alasan pendapat ini disandarkan kepada ayat 236 surah Al-Baqarah yang
bermaksud: “Hendaklah kamu memberikan Mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada
mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya
menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai
pemberian sagu hati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas
orang yang mahu berbuat demikian”. Mengikut Imam Shafie, mutaah itu wajib
diberikan kepada isteri sama ada dia diceraikan sebelum atau selepas
disetubuhi, sudah ditentukan maharnya atau belum. Ia boleh diberikan dalam
bentuk wang, pakaian dan barang lain.
APAKAH TUJUAN MUTAAH
ITU?
Mutaah bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang
ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya.
Dengan pemberian mutaah ini kepada bekas isteri
(a) akan membolehkan isteri itu untuk berdikari dan
memulakan hidup baru selepas bercerai;
(b) akan mengelakkan prasangka buruk masyarakat terhadap
isteri itu bahawa perceraian adalah berpunca daripada kesalahan isteri;
(c) ia merupakan penghargaan daripada suami atas sumbangan
dan peranan isteri.
APAKAH PRASYARAT UNTUK ISTERI MEMOHON MUTAAH DI MALAYSIA?
Prasyarat untuk isteri memohon mutaah di Malaysia adalah
seperti yang berikut:
(a) wujud perkahwinan yang sah;
(b) berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri;
(c) berlaku perceraian hidup;
(d) berlaku persetubuhan;
(e) perceraian bukan disebabkan oleh suami papa.
APAKAH FAKTOR YANG
MENGGUGURKAN HAK MUTAAH?
Faktor yang
menggugurkan hak mutaah adalah seperti yang berikut:
(a) isteri yang nusyuz yang disabitkan oleh mahkamah; 5 4
(b) isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin
disebut dalam akad;
(c) isteri murtad;
(d) perceraian secara tebus talak.
BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENENTUKAN KADAR MUTAAH ITU?
Tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan
formula tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah daripada seorang
bekas suami kepada seorang isteri yang diceraikan. Namun begitu, terdapat
prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah diasaskan
kepada –
(a) kemampuan suami;
(b) status pasangan;
(c) tempoh perkahwinan;
(d) pengorbanan isteri.
APAKAH PERUNTUKAN
MENGENAI MUTAAH DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM?
Peruntukan mengenai
mutaah pada umumnya terdapat dalam semua Enakmen Keluarga Islam Negeri. Seksyen
56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya
menyebut – “Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang
perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh
memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh,
selepas mendengar pihakpihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu
telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah
wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.
No comments:
Post a Comment