Monday, 22 June 2020

5 Jenis Perceraian Dalam Islam Yang Wajib Pasangan Suami dan Isteri Kena Ambil Tahu.

Perceraian atau talak adalah pembubaran hubungan suami-isteri daripada ikatan pernikahan atau perkawinan yang sah mengikut syariat Islam



Mengikut pengamalan perundangan Islam di Malaysia, pembubaran perkahwinan boleh berlaku melalui 5 cara iaitu:

1. Cerai Talaq

Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq.


Talaq dibahagi kepada dua iaitu:

i) Talak sharih (langsung)

Talak sharih adalah ucapan talak secara jelas dan eksplisit yang apabila diucapkan kepada isteri, maka jatuhlah talak/perceraian walaupun suami tidak berniat untuk cerai. Seperti contoh apabila suami berkata, "Aku ceraikan kau." atau "Kamu diceraikan." kepada isteri.

ii) Talak kinayah (tidak langsung, implisit)

Talak kinayah adalah lafaz yang mengandungi makna perceraian yang tersirat tetapi tidak secara langsung. Contohnya ayat, "Pulanglah pada orang tuamu!" yang dilafaz oleh suami.

Juga termasuk dalam talak kinayah adalah talak sharih (langsung) yang dibuat secara tertulis atau melalui SMS.

2. Cerai Ta'liq

Ta'liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah. Perceraian secara ta'liq berlaku apabila suami melanggar ta'liq yang dibuat olehnya semasa upacara akad nikah.


Amalan ta'liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syara', tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Lafaz ta'liq yang dibuat oleh suami semasa upacara akad nikah ini berbeza mengikut negeri.

Contoh lafaz ta'liq selepas akad nikah:

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu'.”

3. Cerai Khulu'

Perceraian secara khulu' merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan.


Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra. Oleh itu, ia tidak boleh dirujuk.

Apa itu talaq ba'in sughra?

Hukum yang ditimbulkan oleh khulu’ adalah talaq ba'in sughra yang memberi maksud, hilangnya hak rujuk pada suami selama masa ‘iddah.

Bererti, sekiranya lelaki tersebut ingin kembali bersama bekas isterinya, dia diwajibkan untuk melamar dan menikah semula dengan bekas isterinya itu.

Sementara itu, wanita yang meminta khulu' itu wajib menunggu sampai masa ‘iddahnya berakhir sekiranya ingin menikahi lelaki lain.

4. Cerai Fasakh

Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq.

Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi.

Contohnya apabila:

i) Suami tidak memberi nafkah zahir dan batin selama empat bulan berturut-turut
ii) Suami meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut tanpa sebraang khabar berita
iii) Suami tidak melunaskan mahar (mas kahwin) yang telah disebutkan dalam akad nikah, baik sebahagian ataupun seluruhnya
iv) Terdapat perlakuan buruk oleh suami seperti penganiayaan, penghinaan, dan tindakan-tindakan lain yang membahayakan keselamatan isteri

Jika bukti-bukti dari pihak isteri telah sah, maka Hakim berhak memutuskan hubungan perkahwinan antara keduanya.

5. Cerai Li'an

Perceraian secara li'an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi.

Sumpah li’an dilakukan oleh suami dengan menyatakan atas nama Allah, dia bersumpah bahawa isterinya telah melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan sebanyak 4 kali oleh suami, dan pada sumpah kelima, suami menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika dia berbohong.

Demikian juga sebaliknya, isteri dapat melakukan sumpah balik (sumpah nukul), atas nama Allah, dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan isteri sebanyak 4 kali dan pada sumpah kelima, isteri menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika tuduhan suaminya itu benar.

Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, mengikut hukum Syara' di hadapan Hakim Syar'ie, maka mereka akan difaraqkan.

Kesannya, kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula.


No comments:

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...