Tuesday 29 January 2013

HIBAH DALAM ISLAM


Hibah ialah suatu akad mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Hibah diberi atas dasar kasih sayang sesama manusia.Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam. Islam juga tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan kerana harta yang hendak dihibahkan daripada milik pemberi hibah.Terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan.

 Walaupun begitu, jika harta hendak dihibahkan kepada anak-anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.Jumhur ulama Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat, sunat menyamakan pemberian antara anak. Melebihkan pemberian kepada seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak adalah perkara yang wajib.Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.Disyaratkan pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian, sempurna akal, baligh, mestilah tuan punya barang yang dihibahkan dan mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya. Penerima hibah pula boleh terdiri daripada sesiapa saja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta.Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. 

Penerima hibah juga disyaratkan boleh memegang, menguasai atau mengawal harta dihibahkan.Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal, mempunyai nilai di sisi syarak, milik pemberi hibah, boleh diserah milik dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.Barang atau harta yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam. Manakala, sighah hibah disyaratkan ada persamaan antara ijab dan qabul serta tidak bersyarat.Menurut mazhab Syafie dan Abu Hanifah, penerimaan barang (al-qabd) adalah syarat sah hibah. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta itu.Ertinya, akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa jika sekadar ada ijab dan kabul semata-mata, melainkan selepas berlaku penerimaan barang oleh penerima hibah. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.Jika berlaku kematian antara salah satu pihak sebelum penerimaan barang, maka hibah terbatal.Bagi harta tak alih seperti rumah dan tanah, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta seperti menyerah kunci dan seumpamanya. 

Bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta dengan harta lain.Satu kelebihan hibah berbanding wasiat, seorang boleh menghibahkan hartanya kepada waris atau seseorang lain semasa dia masih hidup dan jumlahnya tidak terhad. Berbanding wasiat, kadar yang boleh diwasiatkan terhad satu pertiga daripada keseluruhan harta dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang tidak berhak menerima pusaka kecuali dengan persetujuan waris lain.Deklarasi hibah perlu dibuat secara bertulis, dengan khidmat peguam syarie bertauliah, supaya dokumen itu tidak berlawanan dengan hukum syarak dan undang-undang. Hibah secara bertulis atau sempat dilaksanakan semasa pemberi hibah masih hidup mungkin tidak mendatangkan masalah.Jika isu mengenai hibah timbul selepas pemberi hibah mati dan hibah tidak dibuat secara bertulis, pengesahan status hibah perlu di buat di Mahkamah Syariah. Masalah mungkin timbul ialah saksi tidak cukup, saksi sudah meninggal dunia atau kesaksian yang tidak konsisten.Hibah dapat membantu ekonomi umat Islam, merapatkan ikatan persaudaraan dan pertalian kasih sayang sesama insan. Konsep hibah wajar disuburkan kembali dalam kehidupan masyarakat masa kini.Kata orang, harta tidak boleh dibawa mati. Namun, disebabkan harta yang tidak diurus dengan baik berdasarkan peraturan dan hukum Allah semasa hidup, maka roh si mati tidak aman di alam kubur, lantaran waris yang masih hidup berebut sesama sendiri.


Syarat-syarat Hibah


* Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam.
* Jika harta hendak dihibahkan kepada anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.* Empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.
* Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.* Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal.
* Jika harta hendak dihibahkan kepada anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.* Empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.* Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.* Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal.

Sumber: http://anizyn.blogspot.com/2011/07/hibah-dalam-islam.html#ixzz2JR0GAET6

WUJUDKAH ELEMEN GHARAR HARGA DI PASAR MALAM?






Definisi Gharar menurut istilah Shariah :


                               ما يكون مستور العاقبة أو الخطر الذي يستوي طرفاه , أي الوجود والعدم

Ertinya: Apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak. (Bada'i As-Sonai'e, Al-Kasani, 5/263 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 3/194)

Nabi Muhammad (s.a.w.) ada menegaskan :

                                        نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر

Ertinya: "Nabi melarang daripada mengurus perniagaan dengan Gharar". (Riwayat Muslim, 5/3)

Jahalah pula bermaksud ketidaktahuan dengan jelas samada barang dibeli, atau harga barang yang perlu bayar. Justeru, secara ringkas, semua kategori diatas adalah termasuk dalam kategori ‘jahalah' dan boleh juga dikategorikan sebagai ‘gharar' atau ketidaktentuan.

Memang benar tidak meletakkan harga boleh adalah cara yang kurang baik, boleh membawa syubhah dan adakalanya boleh membawa kepada ‘gharar fashiyh’ atau KETIDAPASTIAN YANG BESAR yang merosakkan aqad.

Pun begitu, dalam konteks membeli di pasar atau bazaar Ramadhan, tahap gharar ini telah menjadi berkurangan disebabkan pembeli berpeluang bertanya harga sebelum bayar dan seterusnya boleh membatalkan pembelian atau mengurangkan item yang dibeli jika merasakan harga tidak sebagaimana yang dijangkakan.

Selain itu, nilai harga pembelian makanan di pasar-pasar malam adalah kecil dan biasanya  disekitar bawah RM 100 sahaja. Jika makanan pula, biasanya sekitar RM 30 ke bawah purata nilai pembelian. Oleh kerana nilai harga sebegitu telah diketahui biasanya oleh pembeli, ketidaktahuan mereka disaat itu tidak menjadikan gharar dalam kontrak begitu serius sehingga membatalkan aqad, ia digelar ‘gharar yasir’ atau gharar yang kecil.

Ini berbeza dengan situasi jika pesakit bertemu doktor perubatan atau pemilik kereta bertemu mekanik kereta. Dimana biasanya gharar dalam harga dalam kedua contoh ini lebih bahaya kerana ia melibatkan nilai yang besar, sukar ditarik semula, dibatalkan dan pelanggan seolah TERPAKSA MEMBAYAR walau tidak bersetuju dengan harganya.

Oleh kerana itu, elok semua mekanik dan para doktor atau pihak hospital yang beragama Islam kembali menyemak cara mereka mengenakan bayaran, sama ada bebas dari gharar atau tidak.

Sekian

Sumber:http://www.zaharuddin.net/soal-jawab-a-isu-pilihan/1006-wujudkah-elemen-gharar-harga-di-pasar-malam-.html

KEPENTINGAN ILMU FARAID


Ilmu faraid adalah suatu ilmu yang amat penting. Terdapat  hadith nabi (s.a.w.) menyatakan bahawa ilmu inilah yang paling awal sekali diangkat ke langit. Pewarisnya akan berkurangan seorang demi seorang. Ilmunya akan hilang bersama kembalinya ulama yang memilikinya ke Rahmatullah. Pengetahuan yang diturunkan kepada anak muridnya tidaklah sehebat yang dimiliki oleh si guru yang dapat menyelesaikan seribu satu permasalahan faraid.


Di dalam Al-Qur'an, cara pembahagian harta pusaka ataupun faraid adalah yang paling jelas dan terperinci. Ianya cukup jelas untuk difahami dan dibuat pengiraannya. Seseorang yang mahir dalam matematik kebiasaannya akan dapat memahaminya dan seterusnya menguasai kaedahnya dalam masa yang amat singkat.  Pembahagian harta pusaka secara faraid merupakan  satu cara pembahagian yang paling adil dan penuh hikmah.

Sebahagian ulama' berpendapat bahawa ada hikmahnya  kenapa Allah (s.w.t.) menyebut secara jelas dan terperinci berkenaan kaedah pembahagian harta pusaka kerana harta dan kekayaanlah yang selalu menimbulkan perbalahan dan permusuhan di kalangan saudara mara si mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui bahawa untuk berlaku benar-benar adil dalam membahagi harta pusaka adalah amat sukar kerana sering kali terdapat  pihak yang tidak berpuas hati terhadap pembahagian yang dilakukan.

Akan tetapi pada hari ini ramai orang yang seolah-olah kurang yakin dengan keadilan yang terdapat dalam sistem faraid Islam. Bahkan yang lebih teruk adalah terdapat beberapa NGO yang berterusan menuduh sistem pembahagian Islam tidak adil kerana kononnya menindas wanita dalam pembahagian harta. Ternyata tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ini tidak benar sama sekali dan tidak bersifat akademik.

Perkara yang sering dipersoalkan oleh golongan yang menentang pembahagian pusaka secara Islam adalah kenapa seorang wanita akan mendapat kurang haknya berbanding saudara laki-laki. Mereka secara berterusan memperkatakan perkara ini dan berusaha meraih sokongan golongan masih cetek dan kurang ilmu agamanya. Kononnya apabila harta si mati dibahagi sama banyak, maka itu lebih adil dan bijak. Mereka seolah-olah tidak mahu memikirkan tanggungjawab besar yang dipikulkan oleh seorang lelaki sebagai suami yang berkewajipan menyara anak dan isterinya, anak lelaki yang wajib menyara adik-adiknya lelaki dan perempuan, bahkan seorang lelaki juga wajib menyara ibu mentuanya sekiranya mentuanya itu seorang yang miskin.

Mereka sepatutnya menyedari bahawa apabila seseorang lelaki mempunyai harta, maka semua yang berada di bawah tanggungannya berhak menuntut nafkah. Semua hak tersebut adalah hak mendapat makanan, pakaian dan tempat kediaman. Demikian juga dengan hak mendapatkan keselamatan fizikal dan nyawa sekiranya terancam. Seorang lelaki wajib menyediakan semua itu walaupun akhirnya tidak tinggal sesenpun di dalam poketnya setelah berjaya menyediakan semuanya. Sekiranya tidak menyediakan, maka dia akan ditanya di Akhirat kelak.

Sebaliknya pula sekiranya harta menjadi milik seorang perempuan, maka dia sebenarnya langsung tidak berkewajipan memberikan walau sedikit pun hartanya kepada sesiapa sahaja. Wang itu adalah hak mutlaknya dan dia berhak membelanjakan kepada dirinya sahaja. Apabila dia menolong suaminya, adik beradiknya atau saudara maranya, maka itu adalah sedekah amal jariah. Seorang langsung tidak berhak meminta walau sesenpun daripada duitnya. Sekiranya dia membeli makanan untuk anaknya, maka dia sepatutnya sedar bahawa itu bukan tanggungjawabnya, sebaliknya hanyalah membelanjakan sebahagian hartanya menolong suaminya menyediakan nafkah makanan kepada keluarganya.

Demikian juga sekiranya dia seorang anak gadis yang masih belum berkahwin dan kematian bapanya, maka dia akan berhak ke atas sebahagian harta pusaka mengikut pembahagian pusaka Islam. Dia kemudiannya tidak sedikit pun wajib mengeluarkan harta yang telah didapati olehnya untuk menolong ibunya dan adik beradiknya. Sekiranya dia mengeluarkan, maka itu adalah sedekah dan pemberian ikhlas daripadanya. Yang wajib menyara ibu dan adik beradik adalah adik beradik lelaki gadis tersebut. Itulah antara hikmah kenapa pembahagian harta pusaka dilebihkan kepada lelaki.

Di Malaysia, terdapat satu perkara yang berkait rapat dengan harta pusaka dan harta selepas penceraian. Ianya dikenali sebagai harta sepencarian. Istilah harta sepencarian ini hanya didapati dan diiktiraf di Malaysia sahaja. Di negara Islam lain tidak ada istilah ini dalam proses pembahagian harta selepas bercerai atau kematian. Ianya dijadikan kanun berdasarkan adat tempatan semasa yang telah dipersetujui dan disepakati untuk menjaga kemaslahatan umum, khususnya kaum wanita. Ianya tidak salah kerana terdapat satu kaedah fiqh mengikut Mazhab Syafie bahawa kadang-kala adat boleh menjadi ibadat bergantung kepada kemaslahatan di sesuatu kawasan.

Sebenarnya cara dan teknik pembahagian harta pusaka sudah cukup cantik dan tersusun. Sekiranya seseorang itu masih kurang memahami dan kurang pandai tentang cara pengiraan, maka dia boleh menghubungi pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk mendapatkan penjelasan mengenainya. Terdapat juga unit pembahagian harta pusaka di sesetengah pejabat daerah atau pejabat tanah. Di samping itu, terdapat juga agensi swasta yang menawarkan perkhidmatan pengiraan harta pusaka dan pengurusan wasiat. Biasanya agensi ini akan mengenakan bayaran dengan kadar yang tertentu sebagai caj perkhidmatannya. 

Konsep harta sepencarian ditimbulkan di Malaysia kerana disebabkan terdapat banyak kes di mana seseorang wanita tidak mendapat harta dan mengalami penganiayaan selepas penceraian, sedangkan dalam masa yang sama mendapat hak membesarkan  dan memberi makan minum kepada anak-anaknya. Ulama-ulama dan pakar syariah dan pakar perundangan setelah berbincang dan memperhalusi segenap segi bersetuju supaya dibuat peruntukan khas berkaitan apa yang dikatakan sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut selepas berlaku sesuatu kematian atau penceraian. Menariknya, bukan sahaja pihak wanita sahaja boleh menuntut harta sepencarian, pihak suami juga berhak menuntut sekiranya mempunyai bukti dan dokumen yang menunjukkan dia berhak ke atas sesuatu harta yang mahu dituntut.

Mungkin tindak ramai yang mengetahui dengan lebih jelas tentang harta yang termasuk dalam kategori harta sepencarian. Sebilangan besar daripada orang awam memahami bahawa harta sepencarian adalah harta yang dibeli dengan duit yang dikongsi bersama-sama. Sebagai contohnya adalah rumah yang dikongsi pembeliannya dengan menggunakan wang si suami dan si isteri. Begitu juga dengan kereta yang dibeli dengan cara berkongsi duit. Ianya adalah sebahagian daripada yang diistilahkan sebagai harta sepencarian. Tetapi bagaimana pula dengan sebuah rumah yang dibeli oleh seorang suami, beserta dengan peralatan dapur dan perabot yang juga dibeli oleh suami, sedangkan si isteri pula hanyalah suri rumah sepenuh masa? Si isteri tidak bekerja dan tiada harta. Hidupnya hanya mengabdikan menguruskan keperluan suami dan anak-anak demi kebahagiaan keluarganya.

Dalam kes ini, si isteri juga memperolehi hak untuk menuntut harta sepencarian ke atas nilai rumah tersebut apabila berlaku penceraian. Dia berhak menuntut dengan alasan bahawa dia setiap hari menguruskan rumah tersebut setiap hari demi kebahagiaan rumahtangganya. Namun begitu, peratusan yang akan diperolehinya daripada nilai rumah tersebut tidak banyak sangat, tetapi adalah dikira sedikit berlaku adil ke atas si isteri yang ketiadaan harta untuk menyara dirinya selepas berlaku penceraian.

Ilmu pusaka berkait rapat dengan wasiat. Wasiat perlu didahulukan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta pusaka. Akan tetapi wasiat tersebut disyaratkan supaya tidak melebihi 30 peratus daripada nilai harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dalam masa yang sama, wasiat tidak boleh dinamakan kepada ahli waris yang menerima pusaka. Sekiranya berlaku wasiat ke atas ahli waris yang dalam masa yang sama menerima pusaka dan dalam masa yang sama juga  ahli waris lain tidak bersetuju dengan wasiat tersebut, maka wasiat tersebut dikira terbatal. Wasiat itu tidak wajib ditunaikan.

Kadang-kadang umat Islam tidak memahami kaedah yang sebenarnya dan akan menjadi keliru apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Mereka perlu diberi pendedahan supaya semua faham hak masing-masing bagi mengelakkan perselisihan faham di masa akan datang. Persoalan berkaitan pemilikan harta adalah amat sensitif bagi semua manusia, tanpa mengira status, bangsa dan keturunan.

Friday 25 January 2013

ISU PENDAFTARAN ANAK LUAR NIKAH

PETALING JAYA: Isu pendaftaran anak tidak sah taraf atau luar nikah di ’bin’ atau binti’ selain ibunya dalam sijil kelahiran mendapat bantahan Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang menyifatkan tindakan itu hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.
Presidennya Mohd Isa Abd Ralip berkata isu itu hanya akan mengelirukan masyarakat Islam dan menjejaskan kehidupan seharian mereka secara umum.
Ketika dihubungi FMT beliau berkata, adalah jelas dalam hukum syarak tidak membenarkan anak tidak sah taraf di bin atau binti selain daripada ibunya.
“Saya tidak setuju dengan cadangan tersebut membenarkan anak tidak sah taraf di bin atau binti dengan bapanya untuk mengelak kanak-kanak terbabit menghadapi trauma atau tekanan perasaan semasa bersekolah walaupun dari satu segi ia menyelesaikan masalah kanak-kanak tersebut.
“Namun pada umumnya ia akan mengelirukan masyarakat dan menyebabkan masalah lain timbul kerana ia bertentangan dengan hukum syarak sedia ada. Dalam hukum syarak larangan Allah SWT untuk di bin atau binti anak tidak sah taraf, selain ibunya.
“Jika terus dilakukan, langkah ini akan memberi kesan kepada masyarakat kerana mereka tidak akan takut atau bimbang untuk melahirkan anak haram.
“Kita tidak mahu pandangan sebegitu. Nanti masyarakat tiada kesedaran. Saya membantah kerana ia boleh menyebabkan anak menjadi keliru juga,” katanya.
Implikasi negatif
Ujarnya, implikasi negatif lain yang timbul ialah apabila membabitkan soal pewarisan, keturunan, aurat dan sebagainya.
Mohd Isa menjelaskan kemudaratan atau kesan negatif yang akan diperoleh bila dibenarkan di bin dan binti seperti anak kandung.
“Sebagai contoh katanya, jika Ahmad seorang anak tidak sah taraf dan ayahnya sudah meninggal dunia dan mempunyai dua orang anak lain. Walaupun Ahmad lebih tua daripada dua beradiknya lain dan dianggap anak sulung, beliau tidak boleh menerima waris dan tiada hak kerana tiada pertalian darah.
“Anak tidak sah taraf ini tidak mempunyai hak yang sama dari sudut perundangan dan hukum syarak. Dia mendapat perlindungan penuh daripada ibunya, keluarga ibunya dan pemerintah,” jelasnya.
Mohd Isa berpendapat isu tersebut tidak perlu dipanjangkan memandangkan ia merupakan perselisihan pandangan semata-mata.
Katanya, cadangan itu hanya sebagai alternatif untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak menanggung bebanan emosi dan terhukum kerana kesalahan ibu bapa mereka.
Malah jika fatwa berkenaan dilulus dan diterima oleh negeri-negeri maka pindaan undang-undang juga perlu dilakukan. Isu anak tidak sah taraf hangat dibincangkan apabila kerajaan negeri Terengganu mencadangkan agar anak-anak sebegini didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa bagi mengelak kanak-kanak itu menanggung tekanan emosi berpanjangan.
Malah satu kertas kerja itu dibuat bertujuan untuk memasukkan maklumat berkenaan adalah untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada bayi sekiranya bapa adalah warganegara Malaysia.
Kertas cadangan tersebut juga akan diserahkan kepada Majlis Fatwa Negeri untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tidak lama lagi.

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...