Monday 29 June 2020

APA ITU TALAK BA'IN?



Talak merupakan perkataan yang berasal daripada Bahasa Arab yang menjelaskan makna melepaskan atau membuka ikatan. Talak menurut syara’ pula membawa maksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas atau kinayah (sindiran).

                                              

Talak bain ialah talak yang tidak boleh dirujuk semula walaupun isteri masih berada di dalam tempoh edah. Talak bain terbahagi kepada dua iaitu bain sughra dan bain kubra.

 

Talak ba’in sughra ialah talak yang tidak boleh diruju’. Jika sekiranya suami ingin kembali bersama isteri maka suami perlu menikahinya dengan akad yang baru. Contoh bagi talak bain sughra ini adalah talak satu atau dua yang telah habis tempoh iddah, talak khuluk, talak isteri yang belum disetubuhi dan talak yang difasakhkan.

 

Talak bain kubra merupakan talak yang dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya yang tidak boleh lagi dirujuk kembali samada semasa iddah atau selepas iddah. Contoh bagi talak bain kubra adalah talak tiga dengan sekali lafaz atau berlaku tiga kali talak secara berasingan.

 

Namun begitu, halal bagi bekas suami menikahi bekas isteri jika sekiranya telah melalui beberapa prosedur tersebut:

 

1.   Iddah bersama bekas suami yang menceraikan isterinya telah tamat.

2.   Selepas selesai iddah, bekas isteri perlu berkahwin bersama lelaki lain dengan akad yang sah.

3.   Bekas isteri melakukan hubungan intim bersama suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.

4.   Bercerai bersama suami baru.

5.   Iddahnya dengan suami baru telah selesai.

 

Maka selepas daripada itu, bekas suaminya boleh bernikah semula dengan akad yang baru bersama bekas isterinya. Ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

 

“Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah SWT dan itulah aturan-aturan hukum Allah SWT, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.”

(Al-Baqarah, 230)

 

Bagaimanapun, ada yang menyatakan bahawa kaedah ini adalah sama sepertimana terkenal dikalangan masyarakat Malaysia dengan nama Cina Buta. Sebenarnya, ia sekali tidak sama seperti kaedah Cina Buta, kerana Pernikahan Cina Buta atau nikah Muhallil adalah pernikahan yang telah dirancang dan bersyarat hanya untuk mencapai tujuan bagi menghalalkan perkahwinan bersama bekas suami. Maka ini adalah tidak benar sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT. Cara tersebut adalah haram di sisi Islam dan dilaknati Allah SWT.

 


HAK MEMBUBARKAN PERKAHWINAN


Hak untuk membubarkan perkahwinan bermaksud seseorang individu sama ada suami atau isteri mempunyai hak untuk membubarkan sesuatu perkahwinan apabila hikmah perkahwinan tidak dapat dinikmati.
 
Harus diingat, hak membubarkan perkahwinan perlu digunakan berlandaskan syarat-syarat dan cara-cara yang ditentukan. Bukan bermaksud bila anda diberikan hak, anda boleh sesuka hati menggunakan hak tersebut dengan bebas. 
 
Undang-undang menetapkan, apabila berlaku suatu konflik yang kritikal antara suami isteri, aduan hendaklah dibuat kepada Unit Khidmat Nasihat Keluarga atau di sesetengah tempat disebut Unit Aduan dan Kaunseling di pejabat agama yang berdekatan.
 
Satu sesi kaunseling akan diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak meluahkan segala yang terbuku dan mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat. Sekiranya pendamaian dapat fiperolehi maka fail aduan akan diletakkan di bawah pemerhatian unit tersebut.
 
Namun sekiranya pendamaian gagal diperolehi dan kedua-dua pihak bersedia untuk membubarkan perkahwinan maka permohonan untuk mendapatkan penceraian boleh dibuat di Mahkamah Syariah berdekatan.
 
Ada kes aduan yang gagal mendapatkan pendamaian dan gagal juga mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak untuk penceraian. Dalam kes sebegini, unit tersebut akan mengeluarkan satu laporan bagi membolehkan pihak yang ingin menamatkan perkahwinan membawa kes ke muka pengadilan sama ada memohon talak, taklik, fasakh atau khuluk.


Wednesday 24 June 2020

CERAI HAKAM

Hilangnya Kuasa Talak Seorang Suami. 



Terdapat satu kaedah perceraian yang jarang dikemukakan masyarakat disebabkan kurang pengetahuan mengenainya iaitu perceraian secara hakam. Melalui kaedah ini hasrat isteri bercerai dengan suami dapat ditunaikan walaupun suami enggan melepaskannya.


Seksyen 47 Akta undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (peruntukan yang sama bagi negeri-negeri lain di Malaysia, hanya berbeza seksyen sahaja) memperuntukkan bahawa sesebuah perkahwinan hanya boleh dipisahkan apabila ada persetujuan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri. Bercerai apabila seseorang individu itu sama ada suami atau isteri inginkan penceraian Mahkamah menetapkan bahawa penceraian tersebut perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Sekiranya salah satu pihak tidak bersetuju maka penceraian tidak dibenarkan dan kes akan dibawa ke Jawatankuasa Pendamai.


Melalui Jawatankuasa Pendamai ini pula, sekiranya masih wujud pergolakan maka diwujudkan satu pihak yang dinamakan hakam. Di sinilah kuasa talak suami boleh dimanipulasikan. Sekiranya pihak yang memohon penceraian adalah pihak isteri dan suami berkeras enggan menceraikan sedangkan pihak Jawatankuasa Pendamai dan hakam berpendapat penceraian antara kedua mereka adalah wajar, maka hakam akan mengambbil alih kuasa cerai daripada suami. Menepati bahawa, isteri juga mempunyai kuasa cerai atau talak. 


Bagi kes suami tidak hadir di mahkamah atau enggan melafazkan talak, mahkamah akan merujuk kes itu kepada hakam untuk tindakan menurut Seksyen 48. Pada peringkat ini, hakam mengambil alih tugas seterusnya melalui dua peringkat iaitu hakam tidak mempunyai kuasa menceraikan pasangan, sekadar memberi kata putus berkenaan keadaan rumah tangga pasangan.


Peringkat kedua, hakam dilantik oleh mahkamah syariah dengan kuasa untuk menceraikan manakala suami langsung tidak mempunyai kuasa menghalang perceraian itu dan ia sah di sisi hukum syarak serta undang-undang.


Menerusi prosiding hakam ia dapat memendekkan proses perceraian yang biasanya memakan masa yang lama. Wanita yang digantung tidak bertali juga akan mendapat pembelaan sewajarnya.


Sekurang-kurangnya ia memberikan sinar baru kepada wanita yang membuat tuntutan perceraian terutama mereka yang digantung tidak bertali. Jika sebelum ini talak adalah dalam tangan suami dan mereka masih boleh mempertahan kuasa di mahkamah walaupun isteri menuntut perceraian secara fasakh atau taklik namun dengan perceraian melalui hakam, suami tidak mempunyai apa-apa hak dan biasanya perceraian dapat dilakukan dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Hakam juga berkuasa untuk melafazkan talak di mahkamah, walaupun suami tidak membenarkannya dan enggan melafazkannya 


Begitu juga dengan fasakh, khuluk, dan taklik. Ketiga-tiganya memberikan kuasa kepada isteri untuk mendapatkan jalan keluar dari perkahwinan yang tidak lagi memberikan kedamaian dan kebahagiaan kepada mereka.

Hibah Atau Faraid?

Mana yang lebih baik antara hibah atau faraid?

 


Hibah dan faraid adalah peranan masing-masing. Jangan dilebihkan yang satu dan meninggalkan yang satu lagi.

 

Hibahkanlah harta kita kepada orang yang kita sayang secara ikhlas. Pastikan cukup rukun dan syarat hibah, dan disahkan oleh undang-undang. Pastikan penerima hibah menerima harta hibah, menguasainya, dan bebas berurusan dengan harta yang kita hibahkan.

 

Dalam masa yang sama, tinggalkanlah juga harta kita kepada waris faraid supaya mereka tidak papa kedana dan meminta-minta.

 

Fahamilah bahawa faraid adalah formula penyelesaian bagi kes pembahagian harta pusaka yang digariskan oleh Allah. Walaupun begitu, kita boleh merancang pembahagian harta kita setelah kita memahami pembahagian secara faraid.

 

Jadikanlah ilmu faraid sebagai asas untuk kita merancang pembahagian harta.

 

Ada orang yang kita sayang, mungkin tidak berhak menerima secara faraid seperti anak angkat, anak susuan, cucu dari anak perempuan, anak saudara daripada adik beradik perempuan dan sebagainya.

 

Mungkin ada harta yang mahu kita wakafkan supaya menjadi amal jariah yang berterusan kepada kita. Tinggalkan harta ini untuk difaraidkan tidak akan memenuhi hasrat asal kita tadi.

 

Pengurusan harta pusaka juga boleh jadi tidak tertaur jika tiada perancangan semasa hidup.

 

Sememangnya instrument perancangan harta dan faraid adalah saling melengkapi. Kedua-duanya perlu difahami secara holistic dan menyeluruh.

 

Keperluan kepada hibah atau faraid adalah bergantung kepada kes masing-masing.

 

 







Cerai Luar Mahkamah.


Penceraian luar mahkamah bermaksud penceraian yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah Syariah. Cerai luar mahkamah termasuklah lafazkan cerai secara lisan tanpa kebenaran mahkama, cerai melalui e-mel dan cerai melalui Whatsapp atau SMS.


Bagi kes-kes cerai sebegini, mana-mana pihak sama ada isteri atau suami perlu mengemukakan permohonan ke Mahkamah Syariah bagi mengesahkan penceraian walaupun yakin dan pasti, lafaz yang digunakan adalah lafaz sorih dan talak telah jatuh. Pengesahan perlu dilakukan bagi membenarkan cerai tersebut direkodkan menurut peruntukan Undang-undang Keluarga Islam. Bukan semata-mata memenuhi kehendak undang-undang sebaliknya untuk kemaslahatanpihak-pihak terlibat pada masa akan datang.


Islam menetapkan hanya suami yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talak. Namun jangan salah anggapan, dalam keadaan tertentu, isteri juga mempunyai kuasa talak.


Seorang isteri di selatan tanah air menceritakan perihal suaminya yang bersikap cemburu buta dan panas baran. Lebih 15 tahun bersama, suami masih tidak meletakkan kepercayaan wajar kepadanya. Pantang membalas senyuman lelaki lain hatta rakan sekerja dan dituduh si isteri telah berlaku curang. Telah cuba berbincang malah telah diadu kepada pihak yang berwajib, suami dengan lantang mengatakan “ tiada siapapun yang dapat memisahkan kita berdua, kerana kuasa talak ada di tangan aku” .

 

Ya, memang diakui bahawa kuasa talak melafazkan talak itu terletak di tangan lelaki atau suamitetapi ketahuilah bahawa islam memperuntukan bahawa isteri juga mempunyai kuasa untuk memutuskan ikatan sesebuah perkahwinan. Malah, kuasa wanita atau isteri lebih besar berbanding kuasa suami. Kenapa? Kerana suami hanya arif mengenai talak tetapi isteri berkuasa menggunakan khuluk, fasakh,dan  taklik malah juga isteri boleh memanipulasi kuasa talak suami.

 


Monday 22 June 2020

5 Jenis Perceraian Dalam Islam Yang Wajib Pasangan Suami dan Isteri Kena Ambil Tahu.

Perceraian atau talak adalah pembubaran hubungan suami-isteri daripada ikatan pernikahan atau perkawinan yang sah mengikut syariat Islam



Mengikut pengamalan perundangan Islam di Malaysia, pembubaran perkahwinan boleh berlaku melalui 5 cara iaitu:

1. Cerai Talaq

Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq.


Talaq dibahagi kepada dua iaitu:

i) Talak sharih (langsung)

Talak sharih adalah ucapan talak secara jelas dan eksplisit yang apabila diucapkan kepada isteri, maka jatuhlah talak/perceraian walaupun suami tidak berniat untuk cerai. Seperti contoh apabila suami berkata, "Aku ceraikan kau." atau "Kamu diceraikan." kepada isteri.

ii) Talak kinayah (tidak langsung, implisit)

Talak kinayah adalah lafaz yang mengandungi makna perceraian yang tersirat tetapi tidak secara langsung. Contohnya ayat, "Pulanglah pada orang tuamu!" yang dilafaz oleh suami.

Juga termasuk dalam talak kinayah adalah talak sharih (langsung) yang dibuat secara tertulis atau melalui SMS.

2. Cerai Ta'liq

Ta'liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah. Perceraian secara ta'liq berlaku apabila suami melanggar ta'liq yang dibuat olehnya semasa upacara akad nikah.


Amalan ta'liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syara', tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Lafaz ta'liq yang dibuat oleh suami semasa upacara akad nikah ini berbeza mengikut negeri.

Contoh lafaz ta'liq selepas akad nikah:

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu'.”

3. Cerai Khulu'

Perceraian secara khulu' merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan.


Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra. Oleh itu, ia tidak boleh dirujuk.

Apa itu talaq ba'in sughra?

Hukum yang ditimbulkan oleh khulu’ adalah talaq ba'in sughra yang memberi maksud, hilangnya hak rujuk pada suami selama masa ‘iddah.

Bererti, sekiranya lelaki tersebut ingin kembali bersama bekas isterinya, dia diwajibkan untuk melamar dan menikah semula dengan bekas isterinya itu.

Sementara itu, wanita yang meminta khulu' itu wajib menunggu sampai masa ‘iddahnya berakhir sekiranya ingin menikahi lelaki lain.

4. Cerai Fasakh

Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq.

Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi.

Contohnya apabila:

i) Suami tidak memberi nafkah zahir dan batin selama empat bulan berturut-turut
ii) Suami meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut tanpa sebraang khabar berita
iii) Suami tidak melunaskan mahar (mas kahwin) yang telah disebutkan dalam akad nikah, baik sebahagian ataupun seluruhnya
iv) Terdapat perlakuan buruk oleh suami seperti penganiayaan, penghinaan, dan tindakan-tindakan lain yang membahayakan keselamatan isteri

Jika bukti-bukti dari pihak isteri telah sah, maka Hakim berhak memutuskan hubungan perkahwinan antara keduanya.

5. Cerai Li'an

Perceraian secara li'an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi.

Sumpah li’an dilakukan oleh suami dengan menyatakan atas nama Allah, dia bersumpah bahawa isterinya telah melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan sebanyak 4 kali oleh suami, dan pada sumpah kelima, suami menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika dia berbohong.

Demikian juga sebaliknya, isteri dapat melakukan sumpah balik (sumpah nukul), atas nama Allah, dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan isteri sebanyak 4 kali dan pada sumpah kelima, isteri menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika tuduhan suaminya itu benar.

Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, mengikut hukum Syara' di hadapan Hakim Syar'ie, maka mereka akan difaraqkan.

Kesannya, kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula.


TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...