Tuesday 12 February 2013

PEGUAM SYARIE DI MALAYSIA


        PENGENALAN

}يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَى أَنْ تَعْدِلُوا وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا}

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu-bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkata- kan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balik kan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
                                                                                     (Surah An-Nisa’ 4:135)

Dalam mencapai keadilan seperti di dalam Ayat suci di atas bukanlah suatu perkara yang mudah. Bukan setiap individu dilahirkan petah berhujah dan kepetahan ini bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Ini merupakan satu anugerah Allah S.W.T.
            Kepetahan seorang anak sering dikaitkan dengan masa depan yang cerah kerana ibu bapa melihat dan mengharapkan permata hati mereka bakal menjadi seorang Peguam yang hebat kelak. Namun persoalannya, adakah dengan sifat yang bijak berkata-kata ini sahaja sudah mampu melahirkan seorang Peguam? Atau sekurang-kurangnya pernah terlintas di dalam benak, “Apa kelulusan yang aku perlu ada untuk jadi peguam?” atau pernah terdengar keluhan “Ustaz cakap, kalau jadi hakim,peguam ni, sebelah kali di syurga, sebelah lagi di neraka, betul ke?”
            Tak kenal maka tak cinta, nak cinta kena kenal. Sebelum merungkaikan segala persoalan di atas, adalah lebih baik jika kita sama-sama soroti sejarah awal kepeguamanan Islam terlebih dahulu.

SEJARAH KEPEGUAMAN SYARIE
Profesion Peguam Syarie bukanlah satu profesion yang baru malah, ianya telah bermula di zaman Rasulullah S.A.W lagi. Namun begitu, ianya bukanlah suatu profesion yang khusus pada waktu itu sebagaimana yang diamalkan pada masa kini.
Peranan sebagai peguam ini pernah dimainkan oleh Rasulullah S.A.W serta sahabat sahabat besar baginda. Sebagai contohnya Sayyidina Ali di dalam kes perempuan yang telah beriqrar di hadapan Khalifah Umar R.A, yang ianya telah melakukan zina, akhirnya perempuan ini telah dibebaskan dan iqrar di Mahkamah diketepikan.
Selain itu Ibn Abbas telah membela perempuan yang telah pun disabitkan melakukan zina dan hendak direjam oleh Khalifah Othman R.A dengan pembelaan tersebut Khalifah Othman R.A telah membetulkan hukumannya dengan membebaskan perempuan tersebut.
Menyusuri sejarah kepeguaman syarie yang terdapat di zaman Khalifah Umar al-Khatab R.A, di mana, salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W, yakni Ka’ab telah berperanan sebagai pemudahcara kepada Khalifah Umar R.A yang tidak memahami pengaduan seorang wanita berkenaan dengan ketidakadilan suaminya dalam membahagikan masa antara ibadah dan wanita tersebut sebagai seorang isteri. Di dalam pengaduannya, wanita terbabit telah menyatakan kepada Khalifah Umar R.A berkenaan dengan suaminya dengan berkata “Wahai Amirul Mukminin, aku mempunyai seorang suami yang sering berpuasa di siang hari, dan sering pula beribadah d imalam hari”.
Di dalam hal ini Khalifah Umar R.A berfahaman bahawa wanita tersebut hanya ingin menceritakan berkenaan suaminya semata-mata. Lalu Ka’ab menegur Khalifah Umar dan menerangkan keadaan yang sebenarnya iaitu wanita tersebut sebenarnya ingin mengadu berkenaan dengan ketidakadilan suaminya. Lalu diputuskan oleh Ka’ab supaya suaminya menganggap bahawa dia telah mempunyai empat orang isteri (waktu ibadah ditambah dengan isterinya yang sedia ada). Oleh yang demikian, perlu dibahagikan masa, tiga hari untuk beribadah manakala hari yang keempat adalah untuk isterinya.
Di dalam riwayat ini, sebenarnya secara tidak langsung Ka’ab telah berperanan sebagai seorang Peguambela dalam memudahkan pembentangan kes di hadapan Khalifah Umar R.A. Justeru itu, ianya menjadi sebagai salah satu dalil bahawa profesion Peguam Syarie telah wujud berabad lamanya.

PEGUAM SYARIE DI MALAYSIA
Merujuk kepada Arahan Amalan N0.4 Tahun 2002, Peguam Syarie membawa maksud ertinya seseorang berkelayakan yang diterima sebagai Peguam Syarie di bawah ( peruntukan undang-undang yang sedia ad.) dan termasuklah mana-mana Pendakwa Syarie, dan mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3(2) Akta Bantuan Guaman 1971, Akta 26.

AKHLAK DAN PERANAN PEGUAM SYARIE
Peguam Syarie hendaklah mempunyai akhlak, sikap dan tingkah laku yang mulia, dan dalam melaksanakan tugas dan peranannya hendaklah bersifat amanah, jujur dan berniat baik untuk menegakkan keadilan.

MENINGKATKAN PENGETAHUAN
Peguam Syarie hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan Hukum Syarak dan undang-undang supaya tugas guaman dapat dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan.

PEGUAM SYARIE TIDAK DIWAJIBKAN BERTINDAK BAGI TIAP-TIAP ORANG
Tiada seorang Peguam Syarie diwajibkan bertindak sebagai penasihat atau peguambela bagi tiap-tiap orang yang hendak menjadi kelayannya; tetapi dia hendaklah sanggup menerima apa-apa arahan Mahkamah-mahkamah di mana dia menjalankan amalan dengan bayaran profesional yang wajar bergantung kepada lamanya tempoh yang diperlukan bagi menyediakan dan juga rumitnya kes itu; dengan syarat bahawa jika terdapat keadaan khas yang tidak mengizinkan, dia boleh, menurut budi bicaranya enggan menerima sesuatu arahan tertentu.


PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENERIMA SESUATU ARAHAN ( BRIEF / KEMAHUAN KELAYAN / KEHENDAK KELAYAN) JIKA DALAM KEADAAN SERBA SALAH.
(a) Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan ( brief / kemahuan kelayan / kehendak kelayan ) jika dengan menerimanya dia akan berada dalam keadaan serba salah.
(b) Keadaan serbasalah itu mungkin timbul -
(i) Jika dia dapati ada dalam miliknya maklumat sulit hasil daripada nasihat yang telah diberi sebelumnya kepada seorang lain berkenaan dengan perkara yang sama;
(ii) Jika ada sesuatu perhubungan peribadi antaranya dengan suatu pihak atau seorang saksi dalam perbicaraan itu.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENERIMA ARAHAN JIKA KELAKUAN PROFESIONALNYA MUNGKIN DIPERSOALKAN.
Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan dalam sesuatu kes jika dia tahu atau ada sebab bagi mempercayai bahawa kelakuan profesionalnya sendiri mungkin dipersoalkan.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENERIMA ARAHAN (BRIEF / KEHENDAK KELAYAN / KEMAHUAN KELAYAN ) JIKA DIA SUKAR MENYENGGARA KEBEBASAN PROFESIONALNYA.
(a) Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan jika penerimaan itu menyebabkan atau akan menyebabkan dia sukar untuk menyenggara kebebasan profesionalnya atau bertentangan dengan kepentingan pentadbiran keadilan yang terbaik.
(b) Peguam Syarie yang telah, pada bila-bila masa, menasihatkan atau membuat guaman, atau bertindak bagi suatu pihak berhubung dengan mengadakan atau menjalankan pendakwaan atau membela sesuatu guaman, rayuan atau lain-lain perbicaraan tidak boleh bertindak, hadir atau berguam bagi pihak lawan dalam guaman, rayuan atau lain-lain perbicaraan tersebut.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENERIMA ARAHAN JIKA DIA TIDAK DAPAT HADIR
Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan melainkan dia dengan pasti secara munasabah akan dapat hadir dan mewakili kelayan itu pada hari yang kehendaki.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH DILEPASKAN DARI TUGASAN.
Tertakluk kepada apa-apa kaedah Mahkamah yang dibuat bagi maksud ini. Peguam Syarie yang ditugaskan dalam sesuatu perkara mal atau jenayah:-
(a) Melainkan dengan persetujuan Mahkamah, tidak boleh menarik diri dari sesuatu tugasan setelah sahaja tugasan itu diterima, tanpa sebab yang mencukupi melainkan notis yang berpatutan dan mencukupi diberi kepada kelayan itu;
(b) Hendaklah sentiasa menjalankan segala daya usahanya dalam pertugasan itu jika tidak mendapat persetujuan Mahkamah untuk menarik diri.

PEGUAM SYARIE HENDAKLAH MENJALANKAN PEMBELAAN DENGAN CARA YANG SAKSAMA DAN TERHORMAT
Peguam Syarie yang menjalankan pembelaan bagi seseorang dalam apa-apa perkara jenayah, hendaklah bertanggungan dengan segala cara yang saksama dan terhormat mengemukakan setiap pembelaan yang dibenarkan oleh undang-undang.

FI BAGI PERKARA-PERKARA YANG RUMIT ATAU DIPERTIKAIKAN
Bagi menentukan amaun fi bagi perkara-perkara yang rumit atau dipertikaikan yang melibatkan seseorang kelayan diwakili dalam Mahkamah, maka wajarlah diambilkira:-
(a) masa, tenaga dan kemahiran yang diperlukan;
(b) kebaharuan dan rumitnya soalan yang terlibat;
(c) sama ada penerimaan tugasan tertentu itu akan menghalang harapannya untuk hadir bagi pihak-pihak lain;
(d) fi biasa profesion bagi perkhidmatan yang serupa;
(e) amaun yang dipertikaikan;
(f) faedah yang akan didapati oleh kelayan dari perkhidmatannya;
(g) corak tugasan itu – sama ada luar jangka atau bagi kelayan yang tetap; dan
(h) kedudukan khas atau kekananan Peguam Syarie tertentu.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENJALANKAN KES MAL YANG DIMAKSUDKAN UNTUK MELAMBATKAN PERBICARAAN
Peguam Syarie tidak boleh menjalankan sesuatu atau membuat pembelaan yang mana adalah dimaksudkan semata-mata untuk melambatkan perbicaraan atau menyusahkan atau memudaratkan pihak lawan atau untuk melakukan penindasan atau sesuatu yang salah.

PEGUAM SYARIE HENDAKLAH MEMPERTAHANKAN KEPENTINGAN KEADILAN, KELAYANNYA DAN KEHORMATAN PROFESIONNYA.
Peguam Syarie hendaklah, sambil bertindak dengan segala tertib di hadapan mahkamah di mana ia hadir, dan berani mempertahankan kepentingan keadilan, kelayannya dan kehormatan profesionnya.

PEGUAM SYARIE HENDAKLAH BERKELAKUKAN JUJUR, TERTIB DAN SAKSAMA
Peguam Syarie hendaklah berkelakuan jujur, tertib dan saksama di hadapan Mahkamah dan lain-lain Peguam Syarie


BIDANGKERJA SERTA SKOP KEPEGUAMAN SYARIE
Secara praktisnya Peguam Syarie bertindak sebagai peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Bidangkuasa ini merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia yang telah meletakkan undang-undang Islam di bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang menjadikan segala hal-hal berkaitan dengan agama Islam adalah terletak di bawah negeri masing-masing. Bidangkuasa yang diperuntukan adalah terhad memfokuskan terhadap undang-undang diri serta undang-undang keluarga Islam. Manakala undang-undang lain seperti muamalat terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukan seperti berikut;-
1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.
Bidangkuasa jenayah juga terhad sebagaimana yang diperuntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah), 1988 yang menghadkan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat dengan jenayah syariah iaitu denda tidak melebihi RM5,000.00, penjara tidak melebihi 3 tahun serta sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan. Oleh yang demikian, dari sudut amalannya peguam syarie hanya mempunyai bidangkuasa setakat yang diberikan oleh undang-undang kepadanya.
Peguam Syarie sememangnya sinonim dengan tuntutan serta pembelaan kes-kes di Mahkamah samada di dalam bidangkuasa mal serta jenayah. Namun yang demikian, seharusnya pemahaman terhadap profesion Peguam Syarie ini diperluaskan kepada bidang-bidang yang lain seperti pentadbiran harta, penulisan wasiat serta hibah, maka apa salahnya sekiranya penulisan wasiat dan hibah juga dilaksanakan oleh Peguam Syarie sebagai salah satu altenatif kerjaya. Sekiranya tiada ilmu berkenaan, maka apa salahnya pula sekiranya Peguam Syarie tersebut mendalami ilmu yang baru untuk masa-masa akan datang.
Seterusnya Peguam Syarie juga berperanan sebagai orang tengah atau perantara (mediator) kepada pihak-pihak yang bertikai yang ingin menyelesaikan pertikaian mereka diluar Mahkamah. Penyelesaian secara baik diluar Mahkamah adalah merupakan satu medium penyelesaian yang terbaik dan cara ini adalah amat digalakkan oleh Islam kerana ianya dapat mengelakkan pihak-pihak terlibat kepada perbicaraan yang panjang yang sudah tentunya memakan masa dan melibatkan kos.
Sekiranya perbicaraan kes yang memakan masa diputuskan oleh Mahkamah, kesannya belum tentu keputusan mahkamah tersebut akan dapat memuaskan hati semua pihak berbanding penyelesaian secara bersama. Melalui penyelesaian secara bersama ini pihak-pihak dapat mengutarakan keperluan serta kepentingan mereka.

KEDUDUKAN PEGUAM SYARIE MASAKINI
Undang-Undang Yang Mengawalselia Hal Ehwal Peguam Syarie
Pada masa kini, undang-undang yang terpakai bagi mengawal selia hal ehwal peguam syarie dari aspek kemasukan, kelayakan dan hal tatatertib adalah ditentukan oleh kaedah-kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri. Negeri-negeri yang mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan tersebut adalah seperti berikut;
1. Selangor - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008
2. Wilayah Persekutuan – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993
3. Melaka - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1989
4. Johor - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1982
5. Perak - Kaedah-Kaedah Peguam Syariah 1980
6. Pulau Pinang - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1997
7. Perlis - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1991
8. Pahang - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1995
9. Kedah - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1988
10. Terengganu - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1986
11. Sarawak - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1992
12. Kelantan - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983

Namun terdapat dua (2) buah negeri yang masih tidak mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang seumpamanya iaitu Negeri Sembilan dan Sabah. Oleh itu, hal ehwal berkaitan Peguam Syarie ini hanya dikawal secara pentadbiran oleh satu jawatankuasa majlis sesuatu negeri atau perkara ini ditentukan oleh Ketua Hakim SyarieNegeri berdasarkan peruntukan umum yang terkandung di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

PERANAN PEGUAM SYARIE
Sekiranya kita memperkatakan tentang Peguam Syarie, tergambar dibenak kita bahawa Peguam Syarie ini adalah seseorang yang menjadi peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Pelanggan atau anak guaman biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya dari peguamnya.
Dengan harapan dari anakguam tersebut timbul persoalan samada Peguam Syarie yang dilantik oleh anakguam tersebut akan membela anakguamnya tanpa mengira samada anakguam mereka itu benar atau salah. Di dalam menentukan bahawa samada seseorang Peguam Syarie itu dapat menyempurnakan tugasnya sebagai Peguam Syarie amanah Allah hendaklah diutamakan.

KESIMPULAN
Dalam menegakkan keadilan syariah, setiap individu perlu mencapai piawaian yang telah ditetapkan dalam Islam dan apa yang boleh dibanggakan ialah piawaian untuk bergelar seorang Peguam Syarie di Malaysia adalah memenuhi prinsip yang telah ditetapkan di dalam Islam sendiri. Apa yang diharapkan, konsep Syariah Asas Keadilan dapat dilaksanakan dan diterapkan dalam setiap tindakan. Wallahua’lam.




TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...