Monday 29 June 2020

APA ITU TALAK BA'IN?



Talak merupakan perkataan yang berasal daripada Bahasa Arab yang menjelaskan makna melepaskan atau membuka ikatan. Talak menurut syara’ pula membawa maksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas atau kinayah (sindiran).

                                              

Talak bain ialah talak yang tidak boleh dirujuk semula walaupun isteri masih berada di dalam tempoh edah. Talak bain terbahagi kepada dua iaitu bain sughra dan bain kubra.

 

Talak ba’in sughra ialah talak yang tidak boleh diruju’. Jika sekiranya suami ingin kembali bersama isteri maka suami perlu menikahinya dengan akad yang baru. Contoh bagi talak bain sughra ini adalah talak satu atau dua yang telah habis tempoh iddah, talak khuluk, talak isteri yang belum disetubuhi dan talak yang difasakhkan.

 

Talak bain kubra merupakan talak yang dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya yang tidak boleh lagi dirujuk kembali samada semasa iddah atau selepas iddah. Contoh bagi talak bain kubra adalah talak tiga dengan sekali lafaz atau berlaku tiga kali talak secara berasingan.

 

Namun begitu, halal bagi bekas suami menikahi bekas isteri jika sekiranya telah melalui beberapa prosedur tersebut:

 

1.   Iddah bersama bekas suami yang menceraikan isterinya telah tamat.

2.   Selepas selesai iddah, bekas isteri perlu berkahwin bersama lelaki lain dengan akad yang sah.

3.   Bekas isteri melakukan hubungan intim bersama suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.

4.   Bercerai bersama suami baru.

5.   Iddahnya dengan suami baru telah selesai.

 

Maka selepas daripada itu, bekas suaminya boleh bernikah semula dengan akad yang baru bersama bekas isterinya. Ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

 

“Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah SWT dan itulah aturan-aturan hukum Allah SWT, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.”

(Al-Baqarah, 230)

 

Bagaimanapun, ada yang menyatakan bahawa kaedah ini adalah sama sepertimana terkenal dikalangan masyarakat Malaysia dengan nama Cina Buta. Sebenarnya, ia sekali tidak sama seperti kaedah Cina Buta, kerana Pernikahan Cina Buta atau nikah Muhallil adalah pernikahan yang telah dirancang dan bersyarat hanya untuk mencapai tujuan bagi menghalalkan perkahwinan bersama bekas suami. Maka ini adalah tidak benar sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT. Cara tersebut adalah haram di sisi Islam dan dilaknati Allah SWT.

 


No comments:

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...