Thursday 3 November 2016

FARAID DAN KESANNYA: KISAH DAN TELADAN

Gambar hiasan. Sumber

Apabila agama itu diambil separuh-separuh, yang memihak kepadanya diambil yang memberi rugi kepadanya ditinggal.
Saya bukanlah ustazah nak cakap tentang agama, tetapi saya nak ajak saudara saudari semua berfikir akan kisah benar yang berlaku kepada seorang balu kematian suami.
1. Semasa hidup si mati orang susah, adik-beradik tak pernah menjenguk, apatah lagi hulur belanja untuk anak buah walaupon semuanya kerja best.
2. Rezeki anak-anak si mati dapat beli sebidang tanah dan dapat buat sebuah rumah teres di atas tanah tersebut. Tak lama kemudian, si mati membeli lagi sebidang tanah untuk tujuan berkebun tetapi tak kesampaian (meninggal dulu).
3. Simpanan si mati ada dalam RM10 ribu dalam bank. Ada sebuah rumah. Dan sebidang tanah.
4. Si mati selalu beritahu isterinya kalau dia tiada, isteri dan anak-anak taklah susah mana. Ada tempat bergantung, ada sedikit duit dan ada tempat berlindung (rumah). Betapa besarnya harapan si mati untuk si isteri dan anak-anak.
5. Ditakdirkan si mati meninggal dunia akibat sesak nafas (masalah jantung). Si mati meninggalkan balu dan 2 org anak perempuan.
6. Sejurus selepas si mati dikebumikan, adik-beradik si mati termasuk ibu si mati telah mengajak si isteri berbincang pasal harta si mati kononnya si mati akan terseksa dalam kubur kalau tak diselesaikan secepat mungkin.
7. Si mati tiada anak lelaki, jadi harta-harta si mati akan dapat juga pada adik beradiknya.
7. Tak sampai seminggu si mati meninggal, datanglah adik beradik bertandang ke rumah, siap buat lakaran dalam kertas ikut hukum faraid. Bahagian untuk isteri, anak-anak, ibu si mati dan adik beradik si mati.
8. Hukum faraid – bahagian isteri dapat paling sedikit (orang Terengganu cakap dapat bahagian kepala mayat). Langsung tak pedulikan perasan si balu yang masih bersedih, dihamburkan pula nas-nas, dalil-dalil bab pembahagian faraid.
9. Paling memilukan, dinilaikan sekali rumah yang diduduki oleh si balu dengan anak-anak ikut nilai pasaran.
Kemudian mereka-mereka itu bagi dua pilihan pada si balu, bayar harga rumah tersebut kepada waris-waris yang berhak sekiranya mahu tetap tinggal di situ, atau keluar dari rumah tersebut kerana rumah itu akan dijual, dan duit jualan tersebut akan dibahagikan ikut hukum.
10. Celah mana mahu cari RM150 ribu? Nak tak nak terpaksa keluar dari rumah tersebut. Rumah dijual, dapatlah bahagian si balu dan anak-anak, dengan jumlah yang si balu dapat dan anak-anak si mati dapat, mustahil dapat cari rumah baru.
11. Bermulalah episod merempat si anak-anak yatim. Berpindah randah, menyewa situ sini, jangankan si balu,si anak pun bekerja lepas balik sekolah nak sara diri sendiri.
Duit simpanan, tanah sebidang, rumah dijual si waris. Harapan si mati untuk tidak menyusahkan anak dan isteri selepas ketiadaannya berkecai sama sekali.
12. Waris-waris,semua lesap lepas dapat bahagian masing-masing. Nak tanya khabar jauh sekali. Nak hulur duit jauh sekali.
13. Lagi malang waris-waris semuanya bekerja bagus.
Ada cikgu, ada pegawai kerajaan, ada golongan prefesional, malah kaki masjid pun ada.
Tapi sayang, bab tangggung jawab pada anak si mati langsung tak dihiraukan.
14. Walaupun berhak pada harta si mati, tapi kena tengok pula tanggung jawab yang harus dipikul.
Jangan ambil agama itu separuh-separuh untuk kepentingan sendiri. Ya, tak berdosa ambil harta yang sememangnya hak kita dalam hukum Tetapi berdosa gagal menjalankan tanggungjawab nafkah pada anak-anak si mati – tempat tinggal, pakaian, makan minum).
15. Kalau kita termasuk dalam golongan sebegitu sebelum ini, berubahlah, dan moga dijauhkan keturunan kita, adik-adik kita, suami kita, anak-anak kita daripada bersifat kejam begini.
16. Ambil pengajaran saudara saudari. Sekali lagi saya ingatkan apa yang agama ajar, bila si mati meninggalkan anak-anak yang belum baligh, wajib bagi walinya (mengikut turutan wali sebelah si mati) menyediakan nafkah untuk anak si mati. Kalau tidak diambil peduli, menanggunglah di akhirat kelak.
17. Hukum faraid itu sangat adil dan indah. Diberi lebih kepada lelaki sebab lelaki adalah ketua keluarga yang kena menanggung orang-orang di bawahnya.
Kenapa apabila tiada anak lelaki, harta akan jatuh juga kepada adik beradik si mati? Jelas Allah memberitahu bahawa adalah tanggung jawab si wali-wali untuk menanggung nafkah si anak yatim (lebih-lebih lagi apabila si yatim adalah perempuan).
Dan semoga dengan pembahagian faraid dapat meringankan beban dan membantu si wali-wali untuk menjaga dan memberi nafkah kepada si anak yatim.
18. Ingat ya dapat pembahagian harta si mati bukan terus beli rumah baru, shopping atau melancong dulu. Tetapi tunaikan dahulu tanggung jawab si anak yatim.

credit : sumber

Tuesday 4 October 2016

Hadhanah : Hak jagaan anak, Teori, Praktikal dan Realiti

Hadhanah : Hak jagaan anak, Teori, Praktikal dan Realiti


Gambar hiasan


PENGERTIAN Dari sudut bahasa, Hadhanah bererti menjaga dan mengasuh anak kecil dengan menanggung nafkah dan mendidiknya. Perkataan Hadhanah diambil daripada perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada. Ia dikaitkan dengan pengasuhan kerana pada kebiasaannya pengasuh meletakkan kanak-kanak yang diasuh di atas rusuknya atau pangkuannya (Al-Sayyid Sabiq. 1994). 

Dari sudut syara’, erti Hadhanah diberikan dengan berbagai definisi. Dalam mazhab al-Shafie ia disebut sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana ia tidak mumayyiz lagi seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga dengan mendidiknya (mendidik orang yang dijaga) dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya” (Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Buqha & Dr. Ali Al-Syarbaji. 2000). 

Mazhab Hanafi pula mentakrifkan Hadhanah sebagai mendidik kanak-kanak yang tidak dapat menguruskan diri sendiri menurut umur tertentu oleh orang yang berhak terhadapnya, iaitu dikalangan keluarganya (Ahmad Mahmud Al-Shafi’i. 1991).

Ada juga pendapat yang mengatakan Hadhanah itu adalah mengawal kanak-kanak kecil, orang lemah, orang gila atau orang yang kurang waras daripada apa-apa bahaya yang boleh merosakkannya, menurut kemampuan dengan cara mendidik dan menjaganya, seperti membersih tubuh badannya, memberi makanan dan apa-apa jua yang boleh mendatangkan kerehatan kepadanya. 


Hukum Hadhanah

Hukum Hadhanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Kewajipan Hadhanah ini lebih tertumpu kepada ibu, kerana ibu mempunyai cirri-ciri dan sifat yang lebih sesuai untuk tujuan pengasuhan jika dibandingkan dengan bapa, sekalipun bapa telah berkahwin lain. Lagipun seorang ibu tiri tidak akan dapat mengasuh seorang kanak-kanak dengan sebaik mungkin yang boleh dilakukan oleh ibu kandung. Berdasarkan kedudukan ini, Islam telah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu. 

Nabi Muhammad s.a.w pernah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu selama mana dia belum berkahwin lain. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin.” 
(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud) 



Hak Hadhanah menurut hukum syarak

Pada dasarnya, Islam telah menetapkan hak Hadhanah kepada seorang ibu kecuali jika terdapat sebab-sebab yang boleh menggugurkan hak dan tanggungjawab tersebut. 

Ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 

“Sesungguhnya anak yang berada dalam dukungan ini sayalah yang menyusukannya, tetapi sekarang bapanya telah menceraikan saya dan dia mahu mengambil anak ini daripada saya,” lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “ Kamu lebih berhak ke atas ini selagi kamu belum berkahwin.” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Oleh yang demikian, hanya dengan perkahwinan seorang ibu dengan lelaki lain yang dapat menggugurkan hak dan tanggungjawab hadhanah terhadap seorang ibu. Ini sebagaimana yang telah disepakati oleh majoriti ulama’ fikah yang mensyaratkan hak dan penjagaan anak akan gugur dari seorang ibu sekiranya ibunya berkahwin dengan lelaki lain. 



Peruntukan Undang-undang Berkaitan Hadhanah Di Malaysia

Peruntukan undang-undang secara terperinci berkaitan Hadhanah di Malaysia telah dikuatkuasakan melalui Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang digubal di setiap negeri sebagaimana berikut:

  • Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984,Seksyen 81-87;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985, seksyen 80-86;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 1983, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 1987, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 1990, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Melaka 1983, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 1983, seksyen 82-88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984, seksyen 77 hingga 83;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 1985, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 1979, seksyen 82 hingga 88;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 1992, seksyen 81 hingga 87;
  • Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak  1991, seksyen 85 hingga 91;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Sabah 1992, seksyen 82 hingga 88.


Dalam peruntukan undang-undang di atas, ia mengkumi aspek-aspek yang berkaitan hak Hadhanah iaitu, orang yang berhak menjaga kanak-kanak, kelayakan yang perlu untuk penjagaan, bagaimana hak penjagaan hilang, lamanya penjagaan, penjagaan anak tak sahtaraf, kuasa mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan dan seterusnya perintah tertakluk kepada syarat-syarat.


Seksyen 201. Perintah Interim Tentang Hadhanah ( Jagaan Sementara )


(1) Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam , jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan Hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang Hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta–merta dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.

(2) Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak yang demi kepentingan keadilan atau pelindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campurtangan serta-merta Mahkamah adalah perlu.

(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu satu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang hendaklah disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat:

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;

(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan perintah Interim itu;

(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu;

(d) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;

(e) tentang sama ada mana-mana permohonan ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan

(f) tentang relief yang sebenarnya dipohon.



Syarat penjaga (Hadhinah)

Terdapat pelbagai pendapat mengikut mazhab dalam meletakkan syarat kepada seorang penjaga (hadinah). Menurut mazhab Syafi’i, seseorang pengasuh itu mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:


  1. Islam. Seorang ibu yang kafir atau murtad tidak boleh dan tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil.
  2. Berakal. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun.
  3. Beramanah. Orang perempuan yang mempunyai sifat khianat tidak berhak menjadi penjaga atau pengasuh, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.
  4. Baliqh. Kanak-kanak kecil perlu kepada orang yang lebih dewasa, lebih-lebih lagi untuk urusan muamalat.
  5. Perempuan yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak, pencuri dan sebagainya tidak berhak menjadi pengasuh. 
  6. Merdeka. Hamba tidak berhak menjadi pengasuh kepada kanak-kanak.
  7. Tinggal bersama kanak-kanak yang diasuh. 
  8. Jika pengasuh itu ibunya sendiri, disyaratkan dia belum lagi berkahwin dengan lelaki lain. Jika dia berkahwin dengan seseorang daripada mahram kanak-kanak tersebut, hak pengasuhan itu tidak gugur jika bekas suaminya rela.
  9. Mempunyai tempat tinggal. Kanak-kanak tidak boleh diserahkan kepada ibu atau pengasuh lain jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa.
  10. Jika pengasuh kanak-kanak merupakan seorang wanita asing, disyaratkan suaminya mestilah mempunyai pertalian saudara dengan kanak-kanak berkenaan. 


  Bagaimana Hak Jagaan Hilang

Faktor-faktor yang boleh membawa terlucutnya hak Hadhanah terhadap kanak-kanak diperuntukkan secara jelas dalam Seksyen 83 Akta 303[17] yang menyatakan:

Hak seseorang perempuan terhadap Hadhanah adalah hilang:


  1. Jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
  2. Jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  3. Jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
  4. Jika perempuan itu murtad;
  5. Jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu

Dalam Arahan Amalan No. 15 Tahun 2007[18] memperuntukkan bahawa alasan yang menyebabkan hak jagaan seseorang bapa atau pihak lelaki hilang kelayakan terhadap Hadhanah, antaranya ialah:


  1. Jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
  2. Jika dia murtad;
  3. Jika dia mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu;
  4. Jika dia menjadi tidak sempurna akal;
  5. Jika dia berpenyakit kusta, sopak atau penyakit-penyakit lain yang berjangkit yang membahayakan kanak-kanak itu.


Upah Hadhanah 

UPAH HADHANAH Mengenai upah Hadhanah, jika pengasuh merupakan isteri yang diceraikan dan mendapat nafkah semasa idah, dia tidak berhak mendapat upah Hadhanah. Dua perkara tidak harus dikumpulkan dalam satu masa, iaitu upah dan nafkah. 
Manakala jika bekas isteri telah tamat iddah dan tidak lagi mendapat apa-apa nafkah daripada bekas suaminya. Dia berhak mendapat upah Hadhanah kerana dia telah menjalankan tugas bagi pihak bapa anaknya ataupun wali anaknya. 
Jika pengasuh selain ibu anak itu, dia berhak mendapat upah bagi pelbagai khidmatnya kepada kanak-kanak itu, seperti upah mengasuh, menyusu dan upah itu tidak termasuk dalam nafkah yang diberikan kepada kanak-kanak itu, kecuali dia rela mengasuh dengan percuma.

Bayaran Hadhanah dikira bermula dari hari mula bertugas. Bayaran ini dikira hutang jika tidak dibayar, dan ia tidak akan gugur kecuali dengan membayarnya ataupun dihalalkannya. Pihak yang bertanggungjawab membayar upah Hadhanah ialah pihak yang bertanggungjawab menanggung nafkah kanak-kanak itu, kerana perbelanjaan upah hadhanah dikira sebagai sebahagian nafkah dan ia merupakan satu perkara yang wajib ke atas bapa atau penjaganya. 


SOLUSI DAN KESIMPULAN

Meskipun syara’ telah menetapkan bahawa, ibu merupakan orang yang paling berhak terhadap hak dan tanggungjawab Hadhanah, hak dan tanggungjawab tersebut tidak akan diberikan kepada seorang ibu itu sehingga dia dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab Hadhanah tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang telah ditetapkan.


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.

Apa pun jua Perihal Kebajikan anak-anak menjadi Keutamaan dalam Hak Hadhanah. 

Walau Perceraian berlaku diantara suami dan isteri Hak-Hak sebagai seorang ayah dan ibu masih terpakai.

Bagi mereka yang memerlukan Nasihat dan Bantuan, jangan malu untuk bertanya kepada pihak yang lebih arif terhadap tajuk kupasan Hadhanah ini. Anda Boleh juga hubungi peguam kami untuk maklumat dan bantuan lanjut. Moga perkongsian ini bermanfaat. 
Sebarang persoalan lanjut mengenai Hadhanah boleh hubungi kami di SINI


Artikel ini adalah hak cipta http://sukapeguamsyarie.blogspot.com/

Dibenarkan untuk berkongsi dan re-publish artikel ini dengan credit kepada blog ini.

HARTA SEPENCARIAN: PENYELESAIAN DAN PERLAKSANAAN





Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidangkuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. 

Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Di Malaysia harta sepencarian ini berasal daripada amalan adat dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu adat Temenggung dan adat Perpatih.Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan sebahagian kecil Melaka manakala adat Temenggung diamalkan di negeri-negeri selain dari negeri di atas.

Adat Temenggung mentakrif harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh oleh kedua-dua suami dan isteri semasa perkahwinan. Seandainya perkahwinan itu telah mencapai usia tiga tahun dan pasangan telah mempunyai anak, maka harta sepencarian adalah harta yang pasangan peroleh atau miliki sebelum mereka berkahwin.Mengikut prinsip asasnya, jika pasangan bercerai atau salah seorang daripada pasangan meninggal dunia maka kedua-dua pihak berhak mendapat bahagian di dalam harta sepencarian tersebut (dalam hal perceraian) atau pasangan yang masih hidup berhak mendapatkan harta sepencarian (dalam hal kematian).

Pada dasarnya tidak terdapat dalil khusus di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan kedudukan Harta Sepencarian dalam Islam. Pemakaiannya diambil dari segi kaedah ‘uruf. Dalam perundangan Islam, apabila sesuatu ‘uruf diakui kebaikannya dan diberi pengiktirafan undang-undang, maka ia bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti.

Dalam Al-Quran ada menyebut :  

“ Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan ” ( Surah An-Nisa’ : 32 )  

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan. Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:

“Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak’.


DALIL DAN PENDAPAT ULAMA'

Harta sepencarian bukan lagi soal adat semata-mata bahkan telah dikanunkan dalam perundangan dan mengikut prinsip-prinsip Hukum Syara’. Perkara ini boleh dilihat dalam kaedah fiqh Islam yang ada seperti yang dijelaskan oleh al-Sayuti didalam kitab “al-Asybah wa al-Nazair fi al-Qawaid wa al-Furu’ ” di halaman 354 bahawa;

“Adat resam sesuatu bangsa atau kaum yang tidak bertentangan dengan Islam adalah boleh diterima pakai sebagai sebahagian daripada peraturan hidup dan perundangan bagi sesebuah Negara”. 

Di dalam kaedah fiqh atau “al-qawaid al-Fiqhiyyah” ia dikenali dengan kaedah “al-Adat Muhakkamah”. Adat yang juga dikenali dengan ‘urf menurut jumhur fuqaha’ telah ditakrifkan sebagai “sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah, sama ada ‘urf itu qauli atau amali, am atau khas, sahih atau fasid”. Ini ditakrifkan oleh Abdul Karim Zaidan dalam kitab al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, halaman 252 dan kitab al-Qawaid al-Fiqhiyyah oleh Haji Muhamad Soleh bin Haji Ahmad, Pustaka Haji Abdul 
Majid di halamn 622.

Agama Islam mengiktiraf pemilikan setiap individu terhadap harta. Setiap individu termasuk suami dan isteri berhak memiliki sebarang harta kerana ikatan perkahwinan Islam sama sekali tidak menafikan atau membataskan hak tersebut. Islam menganggap harta sepencarian sebagai satu cara pengiktirafan harta yang boleh dimiliki oleh seseorang di atas daya usahanya untuk memiliki harta tersebut. Harta Sepencarian ialah harta yang dimiliki atau diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan usaha secara langsung atau tidak langsung. Ini dibuktikan melalui firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Nisa’, ayat 32;

Maksudnya: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”


KEHENDAK UNDANG-UNDANG BERKAITAN HARTA SEPANCARIAN

Di dalam menentukan apa-apa aset/harta sebagai Harta sepencarian, kita hendaklah memahami kehendak undang-undang bahawa maksud harta sepencarian itu boleh wujud dalam tiga keadaan iaitu:-

1)    Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha bersama mereka;

2)    Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu; dan


3)    Harta yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’ oleh pihak yang satu itu atau dengan usaha bersama suami isteri. 


HUKUM SYARAK

Islam menerima pemakaian apa-apa adat selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Jika dilihat kepada dua kes yang lama itu, jelas bahawa tuntutan harta sepencarian telah berlaku sebelum merdeka iaitu seawal 1919. Ia bukan perkara baharu di Malaysia dan akhirnya hukum adat ini dikanunkan sebagai sebahagian daripada Undang-undang Islam yang ada di Malaysia.

Adat Perpatih juga turut memperuntukkan mengenai harta sepencarian. Namun begitu ia menggunakan prinsip yang agak berbeza. Menurut adat ini harta sepencarian perlu dibahagikan mengikut prinsip berikut: Carian Bahagi, Dapatan Tinggal, Pembawa Kembali, Suku Belah, Suarang Berage. Maksudnya apa-apa harta yang diperoleh ketika berkahwin perlulah dibahagi di antara pasangan seandainya mereka bercerai. Jika mereka tiada anak dan suami mati maka harta itu akan menjadi milik isteri, prinsip yang sama juga terpakai jika isteri yang mati.

Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka pembahagian yang akan dilakukan ke atas harta tersebut perlulah dibincangkan terlebih dahulu dengan semua benefisiari. Di dalam adat ini juga harta sepencarian tidak termasuk apa-apa harta yang diperoleh oleh suami sebelum perkahwinan dan dibawa
masuk ke dalam perkahwinan. Harta tersebut akan dipulangkan kepadanya semula jika bercerai dan jika mati kembali kepada sukunya. Prinsip yang sama juga diaplikasikan kepada isteri.

Pembahagiannya akan dilakukan setelah semua hutang dilangsaikan. Jumlahnya adalah sama rata di antara suami dan isteri walaupun mereka mempunyai anak ataupun isteri itu diceraikan kerana berzina. Pengecualian kepada prinsip pembahagian ini adalah jika perceraian itu adalah cerai taklik. Dalam hal ini maka si isteri akan mendapat keseluruhan harta sepencarian.


TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN

Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.

Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. 

Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.


KESIMPULAN

Masalah harta sepencarian di antara suami isteri adalah merupakan sesuatu perkara yang sangat penting dan perlu diselesaikan dengan cara yang adil dan saksama terutama sekali apabila berlaku perceraian.

Khidmat dan kerja seseorang isteri di dalam rumah patut diberi pertimbangan sewajarnya dan diberi nilaian yang patut jika khidmat tersebut tidak ada tanda tanda yang ianya diberi secara sukarela, sekurang-kurangnya sebagai upah (Ujrah at-Misl).

Kedua-dua pihak suami isteri yang masing-masing ada peranan dan usaha bagi memperolehi harta, hendaklah diberi hak masing-masing. Dan dalam menentukan kadar dan bahagiannya terserahlah kepada pertimbangan Hakim apabila berlaku pertengkaran dan perselisihan.


Adat juga perlu diambil kira sebagai kaedah Syariah dalam menentukan hak masing-masing. Anda boleh hubungi Barisan Peguam Syarie kami bagi membantu lanjut dalam persoalan Undang-Undang dalam tajuk kupasan ini.
Sebarang persoalan lanjut mengenai Harta Sepencarian boleh hubungi kami di SINI

Artikel ini adalah hak cipta http://sukapeguamsyarie.blogspot.com/
Dibenarkan untuk berkongsi dan re-publish artikel ini dengan credit kepada blog ini.

Tuesday 6 September 2016

10 Tips Mengekalkan Kebahagian Rumah Tangga



Admin suka untuk berkongsi sedikit tips keharmonian rumah tangga yang dipetik dari sini
Jom, koreksi diri :)



gambar hiasan 



1) Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas.Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur.

2) Dengar pendapat isteri
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu semasa boleh dijadikan sebagai ‘ice-breaking’. Kemudian,berbincanglah mengenai hal rumah tangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri mengenai masalah kerjanya.

3) Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi suami. Bukankah pemberian itu melambangkan anda suami yang amat menghargai pengorbanan isteri.

4) Anggap pasangan seperti diri sendiri
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi apatah lagi pasangan suami isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh banyak pasangan. Pasangan anda adalah cerminan diri anda sendiri. Kemana pon anda pergi, potret wajahnya perlu anda bawa bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumahtangga akan bahagia.

5) Isteri bukan pembantu rumah
Banyak suami menganggap kerja-kerja rumah tanggunjawab isteri seratus peratus. Padahal dalam Islam, tidak ada hukum isteri wajib melakukan kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan wanita berkahwin yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaiknya akan dijamin syurga. Itu sahaja. Atas jaminan inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja rumah yang mereka lakukan.

6) Isteri juga manusia
Mereka ialah golongan wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka redha dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira. Namun, jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, maka emosi mereka mulai berkecamuk dan sering mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

7) Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa sahaja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Cukup sekadar seutas jam atau sehelai tudung. Jika ‘budget’ anda tidak mencukupi, memadai sekuntum bunga dan sekeping kad.

8) Bantu ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak,membasuh dan mengemas rumah. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk, cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan anda masak. Tentu dia gembira dan tersenyum.

9) Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri kebebasan baginya kerana isteri tidak dapat menghidu apakah dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini. Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat peranginan.

10) Ciuman khas untuk isteri
Cuba tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat selepas penat bekerja. Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isterinya.

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...