Wednesday 20 May 2020

KEPENTINGAN MEMAHAMI ILMU FARAID





Ilmu faraid adalah suatu ilmu yang amat penting. Terdapat  hadith nabi (s.a.w.) menyatakan bahawa ilmu inilah yang paling awal sekali diangkat ke langit. Pewarisnya akan berkurangan seorang demi seorang. Ilmunya akan hilang bersama kembalinya ulama yang memilikinya ke Rahmatullah. Pengetahuan yang diturunkan kepada anak muridnya tidaklah sehebat yang dimiliki oleh si guru yang dapat menyelesaikan seribu satu permasalahan faraid.

Di dalam Al-Qur'an, cara pembahagian harta pusaka ataupun faraid adalah yang paling jelas dan terperinci. Ianya cukup jelas untuk difahami dan dibuat pengiraannya. Seseorang yang mahir dalam matematik kebiasaannya akan dapat memahaminya dan seterusnya menguasai kaedahnya dalam masa yang amat singkat.  Pembahagian harta pusaka secara faraid merupakan  satu cara pembahagian yang paling adil dan penuh hikmah.

Sebahagian ulama' berpendapat bahawa ada hikmahnya  kenapa Allah (s.w.t.) menyebut secara jelas dan terperinci berkenaan kaedah pembahagian harta pusaka kerana harta dan kekayaanlah yang selalu menimbulkan perbalahan dan permusuhan di kalangan saudara mara si mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui bahawa untuk berlaku benar-benar adil dalam membahagi harta pusaka adalah amat sukar kerana sering kali terdapat  pihak yang tidak berpuas hati terhadap pembahagian yang dilakukan.

Akan tetapi pada hari ini ramai orang yang seolah-olah kurang yakin dengan keadilan yang terdapat dalam sistem faraid Islam. Bahkan yang lebih teruk adalah terdapat beberapa NGO yang berterusan menuduh sistem pembahagian Islam tidak adil kerana kononnya menindas wanita dalam pembahagian harta. Ternyata tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ini tidak benar sama sekali dan tidak bersifat akademik.

Perkara yang sering dipersoalkan oleh golongan yang menentang pembahagian pusaka secara Islam adalah kenapa seorang wanita akan mendapat kurang haknya berbanding saudara laki-laki. Mereka secara berterusan memperkatakan perkara ini dan berusaha meraih sokongan golongan masih cetek dan kurang ilmu agamanya. Kononnya apabila harta si mati dibahagi sama banyak, maka itu lebih adil dan bijak. Mereka seolah-olah tidak mahu memikirkan tanggungjawab besar yang dipikulkan oleh seorang lelaki sebagai suami yang berkewajipan menyara anak dan isterinya, anak lelaki yang wajib menyara adik-adiknya lelaki dan perempuan, bahkan seorang lelaki juga wajib menyara ibu mentuanya sekiranya mentuanya itu seorang yang miskin.

Mereka sepatutnya menyedari bahawa apabila seseorang lelaki mempunyai harta, maka semua yang berada di bawah tanggungannya berhak menuntut nafkah. Semua hak tersebut adalah hak mendapat makanan, pakaian dan tempat kediaman. Demikian juga dengan hak mendapatkan keselamatan fizikal dan nyawa sekiranya terancam. Seorang lelaki wajib menyediakan semua itu walaupun akhirnya tidak tinggal sesenpun di dalam poketnya setelah berjaya menyediakan semuanya. Sekiranya tidak menyediakan, maka dia akan ditanya di Akhirat kelak.

Sebaliknya pula sekiranya harta menjadi milik seorang perempuan, maka dia sebenarnya langsung tidak berkewajipan memberikan walau sedikit pun hartanya kepada sesiapa sahaja. Wang itu adalah hak mutlaknya dan dia berhak membelanjakan kepada dirinya sahaja. Apabila dia menolong suaminya, adik beradiknya atau saudara maranya, maka itu adalah sedekah amal jariah. Seorang langsung tidak berhak meminta walau sesenpun daripada duitnya. Sekiranya dia membeli makanan untuk anaknya, maka dia sepatutnya sedar bahawa itu bukan tanggungjawabnya, sebaliknya hanyalah membelanjakan sebahagian hartanya menolong suaminya menyediakan nafkah makanan kepada keluarganya.

Demikian juga sekiranya dia seorang anak gadis yang masih belum berkahwin dan kematian bapanya, maka dia akan berhak ke atas sebahagian harta pusaka mengikut pembahagian pusaka Islam. Dia kemudiannya tidak sedikit pun wajib mengeluarkan harta yang telah didapati olehnya untuk menolong ibunya dan adik beradiknya. Sekiranya dia mengeluarkan, maka itu adalah sedekah dan pemberian ikhlas daripadanya. Yang wajib menyara ibu dan adik beradik adalah adik beradik lelaki gadis tersebut. Itulah antara hikmah kenapa pembahagian harta pusaka dilebihkan kepada lelaki.

Di Malaysia, terdapat satu perkara yang berkait rapat dengan harta pusaka dan harta selepas penceraian. Ianya dikenali sebagai harta sepencarian. Istilah harta sepencarian ini hanya didapati dan diiktiraf di Malaysia sahaja. Di negara Islam lain tidak ada istilah ini dalam proses pembahagian harta selepas bercerai atau kematian. Ianya dijadikan kanun berdasarkan adat tempatan semasa yang telah dipersetujui dan disepakati untuk menjaga kemaslahatan umum, khususnya kaum wanita. Ianya tidak salah kerana terdapat satu kaedah fiqh mengikut Mazhab Syafie bahawa kadang-kala adat boleh menjadi ibadat bergantung kepada kemaslahatan di sesuatu kawasan.

Sebenarnya cara dan teknik pembahagian harta pusaka sudah cukup cantik dan tersusun. Sekiranya seseorang itu masih kurang memahami dan kurang pandai tentang cara pengiraan, maka dia boleh menghubungi pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk mendapatkan penjelasan mengenainya. Terdapat juga unit pembahagian harta pusaka di sesetengah pejabat daerah atau pejabat tanah. Di samping itu, terdapat juga agensi swasta yang menawarkan perkhidmatan pengiraan harta pusaka dan pengurusan wasiat. Biasanya agensi ini akan mengenakan bayaran dengan kadar yang tertentu sebagai caj perkhidmatannya.

Konsep harta sepencarian ditimbulkan di Malaysia kerana disebabkan terdapat banyak kes di mana seseorang wanita tidak mendapat harta dan mengalami penganiayaan selepas penceraian, sedangkan dalam masa yang sama mendapat hak membesarkan  dan memberi makan minum kepada anak-anaknya. Ulama-ulama dan pakar syariah dan pakar perundangan setelah berbincang dan memperhalusi segenap segi bersetuju supaya dibuat peruntukan khas berkaitan apa yang dikatakan sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut selepas berlaku sesuatu kematian atau penceraian. Menariknya, bukan sahaja pihak wanita sahaja boleh menuntut harta sepencarian, pihak suami juga berhak menuntut sekiranya mempunyai bukti dan dokumen yang menunjukkan dia berhak ke atas sesuatu harta yang mahu dituntut.

Mungkin tindak ramai yang mengetahui dengan lebih jelas tentang harta yang termasuk dalam kategori harta sepencarian. Sebilangan besar daripada orang awam memahami bahawa harta sepencarian adalah harta yang dibeli dengan duit yang dikongsi bersama-sama. Sebagai contohnya adalah rumah yang dikongsi pembeliannya dengan menggunakan wang si suami dan si isteri. Begitu juga dengan kereta yang dibeli dengan cara berkongsi duit. Ianya adalah sebahagian daripada yang diistilahkan sebagai harta sepencarian. Tetapi bagaimana pula dengan sebuah rumah yang dibeli oleh seorang suami, beserta dengan peralatan dapur dan perabot yang juga dibeli oleh suami, sedangkan si isteri pula hanyalah suri rumah sepenuh masa? Si isteri tidak bekerja dan tiada harta. Hidupnya hanya mengabdikan menguruskan keperluan suami dan anak-anak demi kebahagiaan keluarganya.

Dalam kes ini, si isteri juga memperolehi hak untuk menuntut harta sepencarian ke atas nilai rumah tersebut apabila berlaku penceraian. Dia berhak menuntut dengan alasan bahawa dia setiap hari menguruskan rumah tersebut setiap hari demi kebahagiaan rumahtangganya. Namun begitu, peratusan yang akan diperolehinya daripada nilai rumah tersebut tidak banyak sangat, tetapi adalah dikira sedikit berlaku adil ke atas si isteri yang ketiadaan harta untuk menyara dirinya selepas berlaku penceraian.

Ilmu pusaka berkait rapat dengan wasiat. Wasiat perlu didahulukan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta pusaka. Akan tetapi wasiat tersebut disyaratkan supaya tidak melebihi 30 peratus daripada nilai harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dalam masa yang sama, wasiat tidak boleh dinamakan kepada ahli waris yang menerima pusaka. Sekiranya berlaku wasiat ke atas ahli waris yang dalam masa yang sama menerima pusaka dan dalam masa yang sama juga  ahli waris lain tidak bersetuju dengan wasiat tersebut, maka wasiat tersebut dikira terbatal. Wasiat itu tidak wajib ditunaikan.

Kadang-kadang umat Islam tidak memahami kaedah yang sebenarnya dan akan menjadi keliru apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Mereka perlu diberi pendedahan supaya semua faham hak masing-masing bagi mengelakkan perselisihan faham di masa akan datang. Persoalan berkaitan pemilikan harta adalah amat sensitif bagi semua manusia, tanpa mengira status, bangsa dan keturunan.



Thursday 14 May 2020

PENGESAHAN LAFAZ CERAI



Perkongsian kali ini adalah berkenaan isu pengesahan lafaz cerai, baik secara lafaz soreh (seperti “aku ceraikan kau” atau “aku lepaskan kau”) atau lafaz kinayah (seperti “aku pulangkan kau” atau “abang ingin bercerai” apa-apa lafaz lain yang tidak jelas bermaksud cerai atau tidak).

Adalah amat penting untuk seorang suami atau isteri untuk mengambil langkah berhati-hati dengan membuat permohonan pengesahan cerai di Mahkamah, sekiranya berlaku sesuatu lafaz yang diucapkan oleh suami, baik berbentuk ucapan di mulut, atau secara tulisan, atau di hadapan orang lain, atau pengakuan suami bahawa dia seorang bujang/duda, atau apa jua sekalipun yang membangkitkan keraguan di sisi suami atau isteri atau kedua-duanya samaada talaq telah jatuh atau tidak.

Ini amat penting kerana sekiranya talaq memang telah jatuh di sisi Hukum Syarak, perhubungan suami isteri adalah dilarang, apatah lagi jika yang jatuh itu adalah talaq tiga atau talaq yang ketiga. Janganlah kerana ingin menjaga maruah di hadapan masyarakat sehinggakan status hubungan suami isteri dipandang enteng. Kasihanilah anak yang mungkin lahir selepas itu kerana statusnya boleh jadi anak luar nikah, dan suami isteri mungkin menanggung dosa zina. Na’uzubillah.

Berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam suatu permohonan pengesahan cerai:

Siapa yang boleh memfailkan permohonan ini?

  • Suami atau isteri atau kedua-duanya boleh memfailkan permohonan ini. Seorang akan menjadi Plaintif, seorang lagi akan menjadi Defendan. Sekiranya pihak ketiga yang mengetahui berkenaan lafaz tersebut, bolehlah pihak ketiga tersebut mengadu kepada Mahkamah atau pujuk suami/ isteri yang terlibat untuk datang ke Mahkamah dan membuat permohonan pengesahan cerai.

Di mana ianya boleh difailkan?

  • Di Mahkamah Rendah Syariah terdekat dengan tempat tinggal suami atau isteri atau kedua-duanya, mengikut siapa yang akan memfailkan permohonan tersebut sebagai Plaintif.

Apakah yang perlu dinyatakan dalam permohonan tersebut?

  • Tarikh, tempat, masa dan cara lafaz cerai tersebut dibuat (seperti secara WhatsApp, Facebook, SMS, dan sebagainya).
  • Termasuklah samaada suami mengucapkan lafaz tersebut dengan kerelaan sendiri atau dipaksa, kepada siapa suami mengucapkan lafaz tersebut. Perlulah diingat bahawa pengesahan cerai juga adalah perlu sekiranya suami membuat penyataan pengakuan bujang dalam borang berkahwin dengan perempuan lain, atau pengakuan bujang dalam borang BRiM, atau boleh jadi ucapan di hadapan kawan-kawannya walaupun secara gurauan.
  • Adakah saksi yang mendengar atau menyaksikan lafaz tersebut dibuat. sekiranya suami enggan hadir ke Mahkamah untuk pengesahan cerai ini, isteri hendaklah berusaha membawa saksi berkenaan ke Mahkamah untuk mengesahkan berkenaan lafaz ini di hadapan Hakim. Tetapi sekiranya suami hadir dan mengakui bahawa lafaz itu telah dibuat, maka tidak perlu untuk isteri membawa saksi.

Apakah yang akan berlaku selepas Kes difailkan?

  • Sekiranya hanya isteri yang mahu mengesahkan cerai, Mahkamah akan mengarahkan isteri untuk menyerahkan permohonan pengesahan cerai itu kepada suami.

 

  • Sekiranya suami gagal untuk hadir ke Mahkamah pada tarikh yang dinyatakan, Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa suami hadir pada tarikh seterusnya.
  • Sekiranya isteri ada membawa dua orang saksi lelaki muslim yang mendengar lafaz oleh si suami, sekalipun suami tidak hadir, Mahkamah boleh meneruskan dengan perbicaraan pengesahan cerai itu dengan mendengar keterangan saksi-saksi.
  • Namun, jika saksi hanya seorang lelaki atau saksi adalah dua perempuan, tidak cukup untuk Mahkamah mensabitkan cerai telah jatuh atau tidak. Dalam hal ini, Mahkamah tetap akan memanggil suami untuk hadir bagi mengesahkan lafaz tersebut. Hanya sekiranya selepas waran tangkap dikeluarkan dan suami masih gagal hadir, barulah Mahkamah akan mempertimbangkan lafaz cerai itu dengan syarat isteri mengangkat sumpah (dipanggil sumpah mardudah).
  • Lafaz cerai yang menjadi isu akan diperiksa Mahkamah samaada merupakan lafaz soreh atau lafaz kinayah.
  • SEKIRANYA LAFAZ SOREH, dan suami melafazkan dengan kerelaan sendiri (bukan atas paksaan sesiapa, dan paksaan juga hendaklah paksaan yang melibatkan nyawa atau cedera), Mahkamah boleh mensabitkan bahawa talaq telah jatuh. Walaupun suami mengatakan dia dipaksa oleh isteri (tanpa ugutan cedera atau bunuh) atau melafazkan atas permintaan isteri, talaq tetap boleh jatuh. INGAT, lafaz soreh TIDAK PERLU kepada niat suami. Jadi, sekalipun suami hanya bergurau dengan kawannya dan mengatakan, sebagai contoh, “aku ceraikan isteri aku” atau “dia dah kena cerai talaq tiga”, cerai tetap boleh jatuh.

 

  • BAGI LAFAZ KINAYAH (iaitu apa jua lafaz selain “aku ceraikan kau” atau “aku lepaskan kau” atau “aku talaq kau”), suami akan ditanya berkenaan niatnya semasa membuat lafaz tersebut. Perbincangan berkenaan lafaz kinayah amatlah luas, kerana ia merangkumi lafaz berbentuk tulisan (sekalipun jika dibaca dengan lidah, ia berbentuk lafaz soreh), lafaz yang tidak pasti (seperti “aku INGIN ceraikan kau” atau “aku NAK cerai kau”), pengiktirafan bujang/duda, dan banyak lagi. Dalam keadaan-keadaan ini, sekalipun isteri amat yakin bahawa suami memang berniat untuk menceraikannya, namun Mahkamah hanya akan memberi perhatian kepada pengakuan suami itu sendiri, kerana hanya suami itu dan Allah sahaja benar-benar tahu apa niat sebenar si suami semasa membuat lafaz kinayah tersebut. Walaupun segunung bukti dapat dibawa oleh isteri untuk menunjukkan niat suami untuk menceraikannya, namun jika suami sanggup untuk mengangkat sumpah menafikan niatnya, maka Mahkamah hanya akan menghukum berdasarkan apa yang zahir dan akan memutuskan bahawa talaq tidak jatuh.
  • Suami yang beriman dan takut pada Allah tidak akan menipu niatnya di hadapan Mahkamah dan tidak akan sanggup mengangkat sumpah nafi sekiranya dia memang telah berniat menceraikan isterinya. Ini kerana lafaz sumpah nafi itu mengandungi lafaz suami rela dilaknat Allah dunia akhirat sekiranya dia berbohong berkenaan niatnya semasa membuat lafaz cerai kinayah. Takutlah kepada Allah akan akibat berbohong itu, dan ingatlah balasan Allah pasti menanti. Namun jika suami masih membuat sumpah itu, maka si isteri hendaklah redha dengan keputusan Mahkamah sekiranya Mahkamah memutuskan talaq tidak jatuh dengan lafaz tersebut kerana suami telah menafikan niatnya.

Perlukah melantik Peguam untuk pengesahan cerai?

  • Ini mungkin soalan cepumas untuk setiap kes syariah. Jujurnya, sekiranya lafaz yang dibuat adalah lafaz soreh dan suami DAN isteri sama-sama ingin membuat pengesahan cerai, maka tidak perlu kepada peguam dan kes boleh diselesaikan di hadapan Hakim dengan mudah kerana semua pihak boleh hadir.
  • Apa yang menjadi kerumitan dan mungkin memerlukan khidmat guaman adalah sekiranya suami enggan membuat pengesahan cerai sedangkan isteri mahu, atau suami telah hilang atau melarikan diri, atau suami di penjara, atau lafaz cerai adalah lafaz kinayah, dan lain-lain masalah yang melibatkan kehadiran suami ke Mahkamah atau keperluan kepada saksi, maka dinasihatkan dapatkanlah bantuan peguam (bagi yang mampu) atau bantuan Jabatan Bantuan Guaman (dahulunya dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman) bagi yang berpendapatan kurang RM25ribu setahun (termasuk elaun dan bonus) atau rujuk nasihat dari Jabatan Agama Islam berdekatan. Pada masa ini, mereka yg berpendapatan lebih 25k setahun juga boleh memohon tetapi tertakluk kepada syarat dan ada sumbangan perlu dibuat.
  • Ini kerana prosedur Mahkamah mungkin menjadi panjang akibat keperluan kepada waran tangkap, atau penyediaan saksi, atau hujahan berkenaan sesuatu lafaz kinayah. Dalam hal-hal ini, bantuan peguam atau pihak yang lebih arif adalah diperlukan untuk memudahkan isteri mendapat pengadilan yang sebaiknya.

 

Wednesday 13 May 2020

CERAI TA'LIQ


Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.
Ta’liq : iaitu menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalaq.”

Perceraian tidak berlaku semasa suami melafazkan ta’liq tetapi hanya berlaku sekiranya syarat yang disebut dalam lafaz ta’liq tersebut dilanggar.

Di Malaysia cerai ta’liq ini adalah suatu bentuk perceraian yang biasa diamalkan. Selepas akad nikah seseorang suami dikehendaki melafazkan ucapan ta’liq dan menandatangani surat ta’liq di hadapan juru nikah.

Contohnya seperti di Wilayah Persekutuan, lafaz ta’liq tersebut adalah: 
Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu” 
[Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Kaedah-kaedah Keluarga Islam (borang dan Fee) 1985 (seksyen 134(3)]

SYARAT TA’LIQ
1.                 Suami - Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.
2.                 Belum berlaku - Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.
3.                 Isteri - Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).
Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.

Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ

Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut :

1.                 Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.
2.                 Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.
3.                 Menyakiti tubuh badan isteri.
4.                 Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.

RINGKASAN MAKSUD CERAI TA’LIQ

Ta'lik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai ta'lik ini berlaku dalam beberapa hal :
  1. Ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan.
Perceraian seumpama ini (ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Ta'lik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu.
Jika Hakim dapati suami telah melanggar ta'lik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.
  1. Ta'lik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh:
"Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau"
Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari , lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya.


SOAL JAWAB (ISU-ISU BERBANGKIT)
SOALAN PERTAMA
Kata-kata daripada seorang si suami kepada si isteri. "Kalau awak keluar lagi bekerja selepas ini,aku cerai kau dengan talak 1" Namun, selepas berbincang dan berbaik semula,si suami akhirnya membenarkan isterinya kembali bekerja.
Apakah lafaz yang dikeluarkan boleh diterima pakai?
Jika lafaz tersebut sah,apakah yang patut dilakukan oleh kedua pasangan tersebut?
JAWAPAN
Apa yang yang berlaku adalah lafaz ta'liq cerai. Ini bermakna apabila ia menybeut demikian, si isteri tidak dibenarkan sekali-kali untuk melanggarnya atau talaq akan jatuh secara pasti.
Adapun dalam konteks "setelah berbincang semula dengan suami, dan suami benarkan pulak
Majoriti ( Jumhur) para ulama Islam silam ( termasuk ulama dari 4 mazhab) dan kini menyebut bahawa lafaz ta'liq tidak boleh di batalkan lagi apabila telah diucapkan, niat si suami juga tidak perlukan untuk dipastikan dalam konteks lafaz yang sebegini terang dan jelas ( kecuali beberapa pandangan seperti Syeikhul Islam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim yang menyebut kecuali jika lafaz ta'liq tadi diniatkan oleh suami sebagai lafaz sumpah untuk menunjukkan tegahan yang amat amat serius dan bukan untuk menceraikan jika ia melanggarnya. Bagaimanapun pengecualian ini sukar untuk dibayangkan berlaku di suasana malaysia kerana ia adalah suasana orang Arab sahaja yang sememangnya kerap bermain dengan sumpah seperti ini)
Kecuali terdapat satu pandangan dalam mazhab Hanbali yang MENGHARUSKAN pembatalan talaq ta'liq sebagaimana di sebuat dalam kitab al-Furu' oleh Ibn Mufleh.
Hasilnya, menurut 4 mazhab ; apabila si isteri keluar bekerja selepas itu walaupun dengan izin suami, talaq 1 tetap akan jatuh.
Wallahu a'lam dalam hal di Malaysia, Mahkamah Syariah di Malaysia juga mengambil pandangan majoriti Mazhab. Iaitu talaq Ta'liq TIDAK BOLEH DI TARIK BALIK.

SOALAN KEDUA
Seseorang isteri yang mana merupakan isteri kedua dalam perkahwinan dan suami tidak diredhai isteri pertamanya menyebabkan dia (isteri pertama) menfailkan cerai di mahkamah. Namun, suami enggan menceraikannya. Oleh itu kes mereka selesai di luar mahkamah tetapi isteri pertama itu memberi syarat bagi dia menarik balik kes cerai tersebut. 

Syaratnya, suami perlu ceraikan isteri kedua tersebut sebagai contoh diberikan dalam tempoh dua bulan dari tarikh kes ditarik balik, atau isteri pertama itu yang akan mohon fasakh selepas itu. Suami setuju dengan syarat tersebut dan kes di mahkamah tersebut selesai.

Hingga sekarang,isteri kedua dan suami masih hidup seperti suami isteri. Suami memberitahu kepada isteri kedua bahawa dia bersetuju dengan syarat yang diberi oleh isteri pertamanya itu bagi mengelakkan berlaku perceraian antara mereka yang melibatkan masa depan anak-anak.

Isteri kedua tersebut meragui kedudukannya sekarang sama ada dirinya masih isteri yang sah ataupun sudah dita'liqkan oleh suaminya walaupun dia tidak berniat untuk berbuat demikian.
JAWAPAN
Perceraian dan taklik berlaku atas kehendak dan pilihan suami. Dalam hal ini, saya dapati suami 'terpaksa' menuruti kehendak isteri pertama untuk menjaga rumahtangga yang dibina sekian lama di mana terdapat kepentingannya bagi mengelak kemudharatan rumahtangga mereka. 

Oleh kerana pengakuan 'perceraian' yang dilakukan suami atas 'paksaan', ia tidaklah jatuh talaknya. Suami kepada isteri tersebut sendiri menyedari hukum ini dan mengakuinya sekadar melepaskan masalah pada ketika itu.
 SOALAN KETIGA
Bagaimana nak bezakan antara lafaz ta'liq dan ugutan/ancaman? Lafaz ta'liq mesti mengandungi perkataan talaq atau cerai ke? Merujuk soalan sebelum ini, bagaimana kalau ia merupakan satu ugutan? adakah jatuh talak bila isteri melanggarnya?

JAWAPAN
Cerai taklik ialah cerai yang digantung ataupun disyaratkan dengan sesuatu. Contohnya seperti suami berkata kepada isterinya, "Sekiranya kamu keluar dari rumah pagi ini ataupun kamu pulang ke rumah ibu kamu tanpa izin saya, maka gugurlah satu talak". Jatuh satu talak sekiranya isterinya melakukan perkara yang ditaklikkan itu. Lafaz taklik mesti mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau  cerai.

Manakala ugutan pula ialah kata-kata yang bertujuan untuk menakut-nakutkan supaya melakukan atau mematuhi sesuatu. Ia adalah ucapan yang umum dan tidak mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai.

Dalam hal ini, berpandangan jika ugutan yang dibuat mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai akan jatuh talak sekiranya isteri melanggarnya. Jika ugutan tersebut mengandungi perkataan yang membawa maksud talak atau cerai, dinasihatkan agar tuan membuat pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal bagi memastikan sama ada berlaku cerai atau sebaliknya kerana pengesahan lafaz cerai terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Juga dinasihatkan agar jangan memandang ringan dan mengambil mudah tentang talak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Tiga perkara yang disungguh-sungguhkan akan menjadi sungguh dan diacah-acahkan akan menjadi sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk"

PROSEDUR-PROSEDUR BAGI MEMOHON CERAI SECARA TA’LIQ

1. Apakah prosedur yang perlu dilakukan bagi membuat permohonan perceraian secara ta’lik? 
JAWAPAN

Apabila berlakunya perlanggaran seperti mana dibelakang surat daftar nikah maka mengadu kepada mana-mana mahkamah syariah dengan memulakan prosiding dengan saman yang disertakan dengan pernyataan tuntutan yang menjelaskan secara terperinci mengenai perlanggaran taklik talak. Saman hendaklah diserahkan kepada suami secara ke diri. Dan apabila gagal boleh dikemukakan saman gantian seperti iklan diakhbar, lekat saman di alamat terakhir dan surau atau masjid yang berdekatan dengan alamat suami serta papan kenyataan mahkamah. Apabila prosding tersebut sempurna mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan. Pada masa tersebut isteri hendaklah memberikan keterangan dan membuktikan setakat mana perlanggaran taklik talak tersebut berlaku. Saksi-saksi dikemukakan bagi menyokong keterangan isteri. Dan diakhir perbicaraan sumpah yamin istizhar ke atas isteri dan mahkamah akan mensabitkan perceraian secara takliq sekiranya keterangan isteri diyakini oleh hakim bicara tersebut sabit akan aduannya. Sekiranya suami hadir suami juga perlu member keterangan dan dibawa dua saksi atau lebih. Mahkamah akan menilai keterangan pihak-pihak dan berdasarkan syahadah dan qarinah mahkamah akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak

2. Apakah halangan-halangan yang terdapat semasa melaksanakan pemohonan cerai ta’lik?

JAWAPAN
Antara halangan menyukarkan prosiding ini iailah :
a) Tiada saksi
b) Saksi tak mencukupi
c) Keterangan hanya dengar cakap (hearsay)
d) Pemohon dan saksi tak dhobit atau kuat lupa
e) Keterangan bercanggah dan tak konsisten
f) Menipu mahkamah
g) Isteri yang meninggalkan suami terlebih dahulu

3. Berapa tempoh bagi satu kes cerai ta’lik dapat diselesaikan?

JAWAPAN
Sekiranya melibatkan perbicaraan sebelah pihak secepat kes adalah 3 bulan atau 3 kali sebutan dan selewatnya adalah 6 bulan atau 6 kali sebuatn dari tarikh kes difailkan. Sekiranya kedua pihak hadir dan masing-masing bertikai dan tidak mahu menyelesaikan kes paling awal dalam 6 bulan kes selesai dan selewatnya 2 ke 3 tahun kes akan selesai, bergantung kepada keterangan pihak-pihak. Namun sekiranya kedua pihak berkompromi dan untuk menyelesaikan kes secara sulh dengan sekali sebutan sahaja iaitu dipinda perceraian taklik kepada seksyen 47 enakmen keluarga islam perceraian persetujuan.



Monday 11 May 2020

PEMBUBARAN PERKAHWINAN ( FARAQ NIKAH )

PEMBUBARAN PERKAHWINAN




**************
KENAPA AKU DIFARAQKAN NIKAH
.
Nikah merupakan hubungan yang menghalalkan hubungan di antara lelaki dan perempuan, tetapi sekiranya pernikahan ni tidak dilakukan mengikut syariat Islam dan system perundangan Islam Di Malaysia, menyebabkan berlakukanya masalah status pernikahan tersebut sah. Ia juga melibatkan status waris keturunan sesebuah keluarga itu.

**************
PENGERTIAN

Faraq yang digunakan di dalam kitab-kitab fiqh membawa maksud pemisahan atau pembubaran bagi perkahwinan samada melalui talak atau selainnya. Namun di dalam sistem perundangan Islam di Malaysia perkataan faraq/istilah faraq digunakan bagi merujuk kepada sesuatu pembubaran perkahwinan bukan melalui talak.

**************
KONSEP:
.
Kes-kes faraq yang menyebabkan perbubaran perkahwinan yang berlaku di Malaysia kebiasaanya adalah disebabkan keraguan wali atau saksi dalam akad pernikahan tersebut. Kebiasaanya disebabkan keraguan wali, perkahwinan atas bukan kebenaran daripada wali, perkahwinan lari, perkahwinan luar negara atau lebih tepat lagi perkahwinan sendiket.

**************
KEDUDUKAN EDDAH ISTERI YANG DIFARAQ
.

Kes faraq adalah berbeza dengan penceraian secara talak rajie. Bagi talak rajie, perempuan yang diceraikan perlu menunggu sehingga habis eddah iaitu tiga kali suci sebelum dibenarkan berkahwin dengan orang lain.
Dalam perkahwinan yang dibubarkan secara faraq pula, pasangan boleh melalui proses pernikahan semula tanpa perlu menunggu tiga kali suci.
Bagaimanapun jika pengantin perempuan memilih untuk mengahwini orang lain, mereka perlu menunggu hingga habis eddahnya. Tempoh yang diambil untuk berkahwin semula pula bergantung kepada proses perkahwinan yang dilakukan.

*************

KESAN AKIBAT WALI YANG BUKAN SEBENARNYA TERHADAP ANAK
.
Kesan terhadap anak apabila wali itu bukanlah wali yang sah untuknya adalah anak akan merasa ditipu dan akan menimbulkan perasaan marah kepada anak-anak. Mereka akan merasakan dirinya terhina kerana berkemungkinan mereka merasa dirinya adalah daripada hasil anak yang tidak sah taraf.
.

Jika wali yang mewalikan anak yang bukan anak kandungnya maka ianya akan menjadikan pasangan yang berkahwin itu tergelombang dengan maksiat kerana akad pernikahannya itu tidak sah di sisi syarat Islam.
.

Tuesday 5 May 2020

KETAHUI TUNTUTAN SELEPAS PENCERAIAN

KETAHUI TUNTUTAN SELEPAS PENCERAIAN

gambar hiasan 

(Merujuk Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984)

Seringkali diajukan mengenai apa yang layak dituntut kepada bekas suami. 

Ada kala, pihak-pihak telah lama bercerai namun akibat tidak mengetahui hak yang sepatutnya, hak-hak tersebut tidak dituntut dan bila hendak dituntut di Mahkamah, pembuktian menjadi semakin sukar atas sebab dokumen hilang, saksi tiada dan sebagainya. 

Islam adalah agama yang adil dan memberi hak dengan sebaiknya. Oleh itu tidak timbul soal Islam menindas mana-mana pihak setelah berlakunya penceraian. Walaubagaimanapun, pihak-pihak hendaklah faham hak yang boleh dituntut selepas berlakunya penceraian. Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas sesuatu berlakunya penceraian ialah:

gambar hiasan
Nafkah Iddah

“Sejak diceraikan, saya buntu tak tahu nak ke mana. Rumah kelamin nama bekas suami, rumah mak ayah dah takda. Duit gaji belum sampai hujung bulan dah sesak.”

Nafkah iddah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri sepanjang tempoh iddah raj’ie disebabkan sesuatu perceraian iaitu termasuklah makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syarak. 

Seksyen 59. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan kesan nusyuz

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Tunggakan Nafkah

“Masa saya masih isteri dia, makan minum belanja rumah semua saya yang tanggung. Padahal bekas suami tu banyak duitnya. Bila diminta, dia suruh guna gaji saya..”

Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan nafkah ini adalah dikira berdasarkan keperluan rutin seorang isteri semasa dalam tempoh perkahwinan tersebut.

Seksyen 69. Menuntut tunggakan nafkah

(1) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu
boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.

(2) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri orang itu di sisi undang-undang orang itu.

gambar hiasan
Harta Sepencarian

“Bekas suami ada 3 biji kereta, 2 buah rumah. Saya suri rumah, tapi saya ada sumbang bagi downpayment. Berapa saya boleh tuntut?”

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa dalam tempoh perkahwinan. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang diperolehi atas sumbangan bersama dalam tempoh perkahwinan.

Walaubagaimanapun, suka kami tekankan bahawa pembahagian harta sepencarian ini tertakluk pada kadar sumbangan pihak-pihak. Tidak menjadi suatu kemestian suami yang berhak mendapat bahagian yang lebih banyak. 

Seksyen 58. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian kepada—
(a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

gambar hiasan
Muta’ah

“Saya sedih betul diceraikan dengan cara macam ni. Selama ni saya korbankan kerjaya, masa dan minat saya semata-mata saya nak bantu bekas suami uruskan bisnes dia. Dah la makan pakai dia semua saya uruskan sendiri selama ni..”

Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut

Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Muta’ah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi dan diceraikan tanpa sebab yang patut mengikut Hukum Syarak. Kadar Muta’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak atau sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran muta’ah yang patut dibayar dan turut berlandaskan kemampuan bekas suami.

Hak Jagaan Anak (hadhanah)

“Saya ada 2 orang anak masih sekolah. Tapi bekas suami selalu igut untuk ambil anak bila saya minta duit belanja anak. Buntu saya dibuatnya..”

Seksyen 81. Orang yang berhak menjaga kanak-kanak

(1) Tertakluk kepada seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak dari mempunyai hak terhadap hadhanah atau jagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu—

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) ibu saudara sebelah ibu;
(k) ibu saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:
Dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

(3) Tiada seseorang lelaki berhak terhadap jagaan seseorang kanak-kanak perempuan melainkan lelaki itu adalah seorang muhrim, iaitu, dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu dalam mana dia dilarang berkahwin dengannya.

(4) Tertakluk kepada seksyen 82 dan 84, jika ada beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama berkelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, jagaan hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat paling mulia yang menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka adalah berhak mendapat keutamaan.

Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Bagi menentukan hak penjagaan ini, Mahkamah akan melihat dari sudut umur dan kebajikan anak khususnya. Anak juga boleh membuat pilihan apabila mencapai had umur yang ditetapkan.
Tuntutan hak jagaan anak ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

gambar hiasan
Nafkah Anak

“Bekas suami ni gaji besar, tapi bila diminta duit belanja anak, dibagi RM300 untuk 3 orang anak. Nak dapat tu pun punya payah nak minta..”

Nafkah anak ialah suatu nafkah wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain.
Nafkah anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya dan keperluan anak tersebut. 

Tunggakan Nafkah Anak

“Saya dah ada Perintah nafkah anak, tapi bekas suami ni liat betul nak bayar. 10 kali saya minta baru nak bagi, tu pun separuh je dibagi..”

Walaubagaimanapun, dalam menuntut hak-hak tersebut, suka untuk diingatkan agar menuntut hanya pada yang hak, bukan berdasarkan dendam atau perasaan yang tidak baik. Malah, apa yang diputuskan oleh Mahkamah adalah berdasarkan pembuktian yang dikemukakan dan berpandukan Hukum Syarak.

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...