Tuesday 12 February 2013

CERAI FASAKH




gambar hiasan 




PERCERAIAN

Perceraian dari segi bahasa bererti batal atau pembatalan.

Dari segi istilah bererti pembatalan akad perkahwinan yang disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada masa akad atau disebabkan oleh kecacatan yang mendatang yang boleh menghalang keutuhan sesuatu perkahwinan.

Daripada pengertian di atas dapatlah difahami bahawa:

1.      Fasakh berbeza dengan talak

2.     Fasakh dilakukan dengan sebab sama ada sebab yang serentak (muqaranah) pada masa akad nikah, atau sebab yang berlaku selepas akad nikah.

3.     Fasakh membawa akibat pembatalan  perkahwinan dan berlakulah perceraian antara suami isteri.

FASAKH

Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui hakim. Fasakh hanya boleh diputuskan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati astaupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.

Fasakh menurut bahasa ialah rosak atau putus. Manakala menurut syarak pula, pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu sifat yang dibenarkan syarak, misalnya, perkahwinan suami isteri yang difasakhkan oleh kadi disebabkan oleh suaminya tidak mempu memberi nafkah kepada isterinya.

Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri sekiranya terdapat beberapa sebab atau kecacatan yang terdapat pada pihak suaminya. Mengikut mazhab Shafie, seorang isteri boleh menuntut fasakh melalui kadi atau mahkamah disebabkan oleh kekurangan suaminya seperti gila (berkekalan atau sekejap); penyakit kusta; penyakit sopak; penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan persetubuhan; suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya seperti makan dan minum serta tempat tinggal, pakaian, memberi mahar dengan cara tunai sebelum bersetubuh kerana kepapaan atau muflis atau sebagainya; suami tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan isterinya terlalu lama dan tidak memberi khabar berita; suami yang menzalimi dan memudaratkan isterinya; suami yang fasik serta melakukan maksiat terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan murtad salah seorang (suami atau isteri).

Cara melakukan fasakh

·       Jika suami atau isteri mempunyai sebab yang mengharuskan fasakh

·       Membuat aduan kepada pihak kadi supaya membatalkan perkahwinan mereka

·  Jika dapat dibuktikan pengaduan yang diberikan adalah betul, pihak kadi boleh mengambil tindakan membatalkannya

·      Pembatalan perkahwinan dengan cara fasakh tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru.

Cerai fasakh adalah cara membubarkan perkahwinan berdasarkan sebab-sebab tertentu. Menurut seksyen 52 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984., terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu membuat permohonan fasakh.

Sebab-sebab yang membolehkan fasakh ialah :-

1.    tempat suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun;

2.    suami tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tiga bulan;

3.    suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih;

4.    suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.

5.    suami mati pucuk masa berkahwin hingga sekarang dan ini tidak diketahui puan;

6.    suami telah gila selama dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta, vitiligo atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit;

7.  jika perempuan dikahwinkan oleh wali mujbir perempuan sebelum baligh, perempuan masih belum disetubuhi suami dan masih belum mencapai umur 18 tahun, kini menolak perkahwinan itu.

Bagaimanapun permohonan cerai fasakh tertakluk oleh mahkamah dan mahkamah berhak menolak sekiranya mendapati bahawa kesahihan alasan tersebut tidak terbukti.

Menurut pendapat Mazhab Syafie syarat sah fasakh ada dua perkara iaitu: 

a) Tidak sah fasakh nikah jika dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak

b) Keterangan atau bukti yang diberikan mestilah disaksikan oleh dua orang lelaki atau pengakuan, bahawa kecacatan seperti mati pucuk atau dengan cara berganti-ganti sumpah.

Kesan Fasakh Di Sebabkan Kecacatan

Di antara kesan-kesan fasakh disebabkan kecacatan ialah jika fasakh berlaku sebelum persetubuhan, mas kahwin tidak dikenakan dan tidak akan ada bayaran mutaah untuk isteri. Ini kerana jika kecacatan itu berlaku kepada suami, isteri yang akan meminta fasakh. Oleh sebab itu, dia tidak akan mendapat apa-apa. Jika kecacatan itu berlaku kepada isteri, isteri tidak akan mendapat apa-apa kerana perceraian itu berlaku disebabkan kecacatan yang ada pada dirinya dan seolah-olah dia yang melakukan fasakh.

Jika fasakh berlaku selepas persetubuhan dan kecacatan berlaku sebaik sahaja selesai akad nikah, ataupun  berlaku di antara akad dan persetubuhan dan suami tidak menyedarinya, maka isteri wajib mahar mithil. Jika perkahwinan difasakhkan dengan sebab kecacatan selepas berlakunya persetubuhan, maka isteri wajib mendapat semua mas kahwin yang telah disebutkan semasa akad nikah. Hal ini kerana mas kahwin mestilah dibayar dengan berlakunya persetubuhan  sebelum wujudnya sebab-sebab fasakh dan jika berlaku kecacatan selepas persetubuhan, ia tidak akan merubah hakikat tersebut

PEGUAM SYARIE DI MALAYSIA


        PENGENALAN

}يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَى أَنْ تَعْدِلُوا وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا}

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu-bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkata- kan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balik kan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
                                                                                     (Surah An-Nisa’ 4:135)

Dalam mencapai keadilan seperti di dalam Ayat suci di atas bukanlah suatu perkara yang mudah. Bukan setiap individu dilahirkan petah berhujah dan kepetahan ini bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Ini merupakan satu anugerah Allah S.W.T.
            Kepetahan seorang anak sering dikaitkan dengan masa depan yang cerah kerana ibu bapa melihat dan mengharapkan permata hati mereka bakal menjadi seorang Peguam yang hebat kelak. Namun persoalannya, adakah dengan sifat yang bijak berkata-kata ini sahaja sudah mampu melahirkan seorang Peguam? Atau sekurang-kurangnya pernah terlintas di dalam benak, “Apa kelulusan yang aku perlu ada untuk jadi peguam?” atau pernah terdengar keluhan “Ustaz cakap, kalau jadi hakim,peguam ni, sebelah kali di syurga, sebelah lagi di neraka, betul ke?”
            Tak kenal maka tak cinta, nak cinta kena kenal. Sebelum merungkaikan segala persoalan di atas, adalah lebih baik jika kita sama-sama soroti sejarah awal kepeguamanan Islam terlebih dahulu.

SEJARAH KEPEGUAMAN SYARIE
Profesion Peguam Syarie bukanlah satu profesion yang baru malah, ianya telah bermula di zaman Rasulullah S.A.W lagi. Namun begitu, ianya bukanlah suatu profesion yang khusus pada waktu itu sebagaimana yang diamalkan pada masa kini.
Peranan sebagai peguam ini pernah dimainkan oleh Rasulullah S.A.W serta sahabat sahabat besar baginda. Sebagai contohnya Sayyidina Ali di dalam kes perempuan yang telah beriqrar di hadapan Khalifah Umar R.A, yang ianya telah melakukan zina, akhirnya perempuan ini telah dibebaskan dan iqrar di Mahkamah diketepikan.
Selain itu Ibn Abbas telah membela perempuan yang telah pun disabitkan melakukan zina dan hendak direjam oleh Khalifah Othman R.A dengan pembelaan tersebut Khalifah Othman R.A telah membetulkan hukumannya dengan membebaskan perempuan tersebut.
Menyusuri sejarah kepeguaman syarie yang terdapat di zaman Khalifah Umar al-Khatab R.A, di mana, salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W, yakni Ka’ab telah berperanan sebagai pemudahcara kepada Khalifah Umar R.A yang tidak memahami pengaduan seorang wanita berkenaan dengan ketidakadilan suaminya dalam membahagikan masa antara ibadah dan wanita tersebut sebagai seorang isteri. Di dalam pengaduannya, wanita terbabit telah menyatakan kepada Khalifah Umar R.A berkenaan dengan suaminya dengan berkata “Wahai Amirul Mukminin, aku mempunyai seorang suami yang sering berpuasa di siang hari, dan sering pula beribadah d imalam hari”.
Di dalam hal ini Khalifah Umar R.A berfahaman bahawa wanita tersebut hanya ingin menceritakan berkenaan suaminya semata-mata. Lalu Ka’ab menegur Khalifah Umar dan menerangkan keadaan yang sebenarnya iaitu wanita tersebut sebenarnya ingin mengadu berkenaan dengan ketidakadilan suaminya. Lalu diputuskan oleh Ka’ab supaya suaminya menganggap bahawa dia telah mempunyai empat orang isteri (waktu ibadah ditambah dengan isterinya yang sedia ada). Oleh yang demikian, perlu dibahagikan masa, tiga hari untuk beribadah manakala hari yang keempat adalah untuk isterinya.
Di dalam riwayat ini, sebenarnya secara tidak langsung Ka’ab telah berperanan sebagai seorang Peguambela dalam memudahkan pembentangan kes di hadapan Khalifah Umar R.A. Justeru itu, ianya menjadi sebagai salah satu dalil bahawa profesion Peguam Syarie telah wujud berabad lamanya.

PEGUAM SYARIE DI MALAYSIA
Merujuk kepada Arahan Amalan N0.4 Tahun 2002, Peguam Syarie membawa maksud ertinya seseorang berkelayakan yang diterima sebagai Peguam Syarie di bawah ( peruntukan undang-undang yang sedia ad.) dan termasuklah mana-mana Pendakwa Syarie, dan mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3(2) Akta Bantuan Guaman 1971, Akta 26.

AKHLAK DAN PERANAN PEGUAM SYARIE
Peguam Syarie hendaklah mempunyai akhlak, sikap dan tingkah laku yang mulia, dan dalam melaksanakan tugas dan peranannya hendaklah bersifat amanah, jujur dan berniat baik untuk menegakkan keadilan.

MENINGKATKAN PENGETAHUAN
Peguam Syarie hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan Hukum Syarak dan undang-undang supaya tugas guaman dapat dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan.

PEGUAM SYARIE TIDAK DIWAJIBKAN BERTINDAK BAGI TIAP-TIAP ORANG
Tiada seorang Peguam Syarie diwajibkan bertindak sebagai penasihat atau peguambela bagi tiap-tiap orang yang hendak menjadi kelayannya; tetapi dia hendaklah sanggup menerima apa-apa arahan Mahkamah-mahkamah di mana dia menjalankan amalan dengan bayaran profesional yang wajar bergantung kepada lamanya tempoh yang diperlukan bagi menyediakan dan juga rumitnya kes itu; dengan syarat bahawa jika terdapat keadaan khas yang tidak mengizinkan, dia boleh, menurut budi bicaranya enggan menerima sesuatu arahan tertentu.


PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENERIMA SESUATU ARAHAN ( BRIEF / KEMAHUAN KELAYAN / KEHENDAK KELAYAN) JIKA DALAM KEADAAN SERBA SALAH.
(a) Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan ( brief / kemahuan kelayan / kehendak kelayan ) jika dengan menerimanya dia akan berada dalam keadaan serba salah.
(b) Keadaan serbasalah itu mungkin timbul -
(i) Jika dia dapati ada dalam miliknya maklumat sulit hasil daripada nasihat yang telah diberi sebelumnya kepada seorang lain berkenaan dengan perkara yang sama;
(ii) Jika ada sesuatu perhubungan peribadi antaranya dengan suatu pihak atau seorang saksi dalam perbicaraan itu.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENERIMA ARAHAN JIKA KELAKUAN PROFESIONALNYA MUNGKIN DIPERSOALKAN.
Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan dalam sesuatu kes jika dia tahu atau ada sebab bagi mempercayai bahawa kelakuan profesionalnya sendiri mungkin dipersoalkan.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENERIMA ARAHAN (BRIEF / KEHENDAK KELAYAN / KEMAHUAN KELAYAN ) JIKA DIA SUKAR MENYENGGARA KEBEBASAN PROFESIONALNYA.
(a) Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan jika penerimaan itu menyebabkan atau akan menyebabkan dia sukar untuk menyenggara kebebasan profesionalnya atau bertentangan dengan kepentingan pentadbiran keadilan yang terbaik.
(b) Peguam Syarie yang telah, pada bila-bila masa, menasihatkan atau membuat guaman, atau bertindak bagi suatu pihak berhubung dengan mengadakan atau menjalankan pendakwaan atau membela sesuatu guaman, rayuan atau lain-lain perbicaraan tidak boleh bertindak, hadir atau berguam bagi pihak lawan dalam guaman, rayuan atau lain-lain perbicaraan tersebut.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENERIMA ARAHAN JIKA DIA TIDAK DAPAT HADIR
Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan melainkan dia dengan pasti secara munasabah akan dapat hadir dan mewakili kelayan itu pada hari yang kehendaki.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH DILEPASKAN DARI TUGASAN.
Tertakluk kepada apa-apa kaedah Mahkamah yang dibuat bagi maksud ini. Peguam Syarie yang ditugaskan dalam sesuatu perkara mal atau jenayah:-
(a) Melainkan dengan persetujuan Mahkamah, tidak boleh menarik diri dari sesuatu tugasan setelah sahaja tugasan itu diterima, tanpa sebab yang mencukupi melainkan notis yang berpatutan dan mencukupi diberi kepada kelayan itu;
(b) Hendaklah sentiasa menjalankan segala daya usahanya dalam pertugasan itu jika tidak mendapat persetujuan Mahkamah untuk menarik diri.

PEGUAM SYARIE HENDAKLAH MENJALANKAN PEMBELAAN DENGAN CARA YANG SAKSAMA DAN TERHORMAT
Peguam Syarie yang menjalankan pembelaan bagi seseorang dalam apa-apa perkara jenayah, hendaklah bertanggungan dengan segala cara yang saksama dan terhormat mengemukakan setiap pembelaan yang dibenarkan oleh undang-undang.

FI BAGI PERKARA-PERKARA YANG RUMIT ATAU DIPERTIKAIKAN
Bagi menentukan amaun fi bagi perkara-perkara yang rumit atau dipertikaikan yang melibatkan seseorang kelayan diwakili dalam Mahkamah, maka wajarlah diambilkira:-
(a) masa, tenaga dan kemahiran yang diperlukan;
(b) kebaharuan dan rumitnya soalan yang terlibat;
(c) sama ada penerimaan tugasan tertentu itu akan menghalang harapannya untuk hadir bagi pihak-pihak lain;
(d) fi biasa profesion bagi perkhidmatan yang serupa;
(e) amaun yang dipertikaikan;
(f) faedah yang akan didapati oleh kelayan dari perkhidmatannya;
(g) corak tugasan itu – sama ada luar jangka atau bagi kelayan yang tetap; dan
(h) kedudukan khas atau kekananan Peguam Syarie tertentu.

PEGUAM SYARIE TIDAK BOLEH MENJALANKAN KES MAL YANG DIMAKSUDKAN UNTUK MELAMBATKAN PERBICARAAN
Peguam Syarie tidak boleh menjalankan sesuatu atau membuat pembelaan yang mana adalah dimaksudkan semata-mata untuk melambatkan perbicaraan atau menyusahkan atau memudaratkan pihak lawan atau untuk melakukan penindasan atau sesuatu yang salah.

PEGUAM SYARIE HENDAKLAH MEMPERTAHANKAN KEPENTINGAN KEADILAN, KELAYANNYA DAN KEHORMATAN PROFESIONNYA.
Peguam Syarie hendaklah, sambil bertindak dengan segala tertib di hadapan mahkamah di mana ia hadir, dan berani mempertahankan kepentingan keadilan, kelayannya dan kehormatan profesionnya.

PEGUAM SYARIE HENDAKLAH BERKELAKUKAN JUJUR, TERTIB DAN SAKSAMA
Peguam Syarie hendaklah berkelakuan jujur, tertib dan saksama di hadapan Mahkamah dan lain-lain Peguam Syarie


BIDANGKERJA SERTA SKOP KEPEGUAMAN SYARIE
Secara praktisnya Peguam Syarie bertindak sebagai peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Bidangkuasa ini merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia yang telah meletakkan undang-undang Islam di bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang menjadikan segala hal-hal berkaitan dengan agama Islam adalah terletak di bawah negeri masing-masing. Bidangkuasa yang diperuntukan adalah terhad memfokuskan terhadap undang-undang diri serta undang-undang keluarga Islam. Manakala undang-undang lain seperti muamalat terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukan seperti berikut;-
1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.
Bidangkuasa jenayah juga terhad sebagaimana yang diperuntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah), 1988 yang menghadkan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat dengan jenayah syariah iaitu denda tidak melebihi RM5,000.00, penjara tidak melebihi 3 tahun serta sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan. Oleh yang demikian, dari sudut amalannya peguam syarie hanya mempunyai bidangkuasa setakat yang diberikan oleh undang-undang kepadanya.
Peguam Syarie sememangnya sinonim dengan tuntutan serta pembelaan kes-kes di Mahkamah samada di dalam bidangkuasa mal serta jenayah. Namun yang demikian, seharusnya pemahaman terhadap profesion Peguam Syarie ini diperluaskan kepada bidang-bidang yang lain seperti pentadbiran harta, penulisan wasiat serta hibah, maka apa salahnya sekiranya penulisan wasiat dan hibah juga dilaksanakan oleh Peguam Syarie sebagai salah satu altenatif kerjaya. Sekiranya tiada ilmu berkenaan, maka apa salahnya pula sekiranya Peguam Syarie tersebut mendalami ilmu yang baru untuk masa-masa akan datang.
Seterusnya Peguam Syarie juga berperanan sebagai orang tengah atau perantara (mediator) kepada pihak-pihak yang bertikai yang ingin menyelesaikan pertikaian mereka diluar Mahkamah. Penyelesaian secara baik diluar Mahkamah adalah merupakan satu medium penyelesaian yang terbaik dan cara ini adalah amat digalakkan oleh Islam kerana ianya dapat mengelakkan pihak-pihak terlibat kepada perbicaraan yang panjang yang sudah tentunya memakan masa dan melibatkan kos.
Sekiranya perbicaraan kes yang memakan masa diputuskan oleh Mahkamah, kesannya belum tentu keputusan mahkamah tersebut akan dapat memuaskan hati semua pihak berbanding penyelesaian secara bersama. Melalui penyelesaian secara bersama ini pihak-pihak dapat mengutarakan keperluan serta kepentingan mereka.

KEDUDUKAN PEGUAM SYARIE MASAKINI
Undang-Undang Yang Mengawalselia Hal Ehwal Peguam Syarie
Pada masa kini, undang-undang yang terpakai bagi mengawal selia hal ehwal peguam syarie dari aspek kemasukan, kelayakan dan hal tatatertib adalah ditentukan oleh kaedah-kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri. Negeri-negeri yang mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan tersebut adalah seperti berikut;
1. Selangor - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008
2. Wilayah Persekutuan – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993
3. Melaka - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1989
4. Johor - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1982
5. Perak - Kaedah-Kaedah Peguam Syariah 1980
6. Pulau Pinang - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1997
7. Perlis - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1991
8. Pahang - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1995
9. Kedah - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1988
10. Terengganu - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1986
11. Sarawak - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1992
12. Kelantan - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983

Namun terdapat dua (2) buah negeri yang masih tidak mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang seumpamanya iaitu Negeri Sembilan dan Sabah. Oleh itu, hal ehwal berkaitan Peguam Syarie ini hanya dikawal secara pentadbiran oleh satu jawatankuasa majlis sesuatu negeri atau perkara ini ditentukan oleh Ketua Hakim SyarieNegeri berdasarkan peruntukan umum yang terkandung di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

PERANAN PEGUAM SYARIE
Sekiranya kita memperkatakan tentang Peguam Syarie, tergambar dibenak kita bahawa Peguam Syarie ini adalah seseorang yang menjadi peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Pelanggan atau anak guaman biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya dari peguamnya.
Dengan harapan dari anakguam tersebut timbul persoalan samada Peguam Syarie yang dilantik oleh anakguam tersebut akan membela anakguamnya tanpa mengira samada anakguam mereka itu benar atau salah. Di dalam menentukan bahawa samada seseorang Peguam Syarie itu dapat menyempurnakan tugasnya sebagai Peguam Syarie amanah Allah hendaklah diutamakan.

KESIMPULAN
Dalam menegakkan keadilan syariah, setiap individu perlu mencapai piawaian yang telah ditetapkan dalam Islam dan apa yang boleh dibanggakan ialah piawaian untuk bergelar seorang Peguam Syarie di Malaysia adalah memenuhi prinsip yang telah ditetapkan di dalam Islam sendiri. Apa yang diharapkan, konsep Syariah Asas Keadilan dapat dilaksanakan dan diterapkan dalam setiap tindakan. Wallahua’lam.




CERAI TAKLIK


Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.
Ta’liq : iaitu menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalaq.”

Perceraian tidak berlaku semasa suami melafazkan ta’liq tetapi hanya berlaku sekiranya syarat yang disebut dalam lafaz ta’liq tersebut dilanggar.

Di Malaysia cerai ta’liq ini adalah suatu bentuk perceraian yang biasa diamalkan. Selepas akad nikah seseorang suami dikehendaki melafazkan ucapan ta’liq dan menandatangani surat ta’liq di hadapan juru nikah.

Contohnya seperti di Wilayah Persekutuan, lafaz ta’liq tersebut adalah: 
Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu” 
[Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Kaedah-kaedah Keluarga Islam (borang dan Fee) 1985 (seksyen 134(3)]

SYARAT TA’LIQ
1.                 Suami - Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.
2.                 Belum berlaku - Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.
3.                 Isteri - Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).
Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.

Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ

Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut :

1.                 Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.
2.                 Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.
3.                 Menyakiti tubuh badan isteri.
4.                 Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.

RINGKASAN MAKSUD CERAI TA’LIQ

Ta'lik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai ta'lik ini berlaku dalam beberapa hal :
  1. Ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan.
Perceraian seumpama ini (ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Ta'lik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu.
Jika Hakim dapati suami telah melanggar ta'lik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.
  1. Ta'lik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh:
"Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau"
Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari , lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya.


SOAL JAWAB (ISU-ISU BERBANGKIT)
SOALAN PERTAMA
Kata-kata daripada seorang si suami kepada si isteri. "Kalau awak keluar lagi bekerja selepas ini,aku cerai kau dengan talak 1" Namun, selepas berbincang dan berbaik semula,si suami akhirnya membenarkan isterinya kembali bekerja.
Apakah lafaz yang dikeluarkan boleh diterima pakai?
Jika lafaz tersebut sah,apakah yang patut dilakukan oleh kedua pasangan tersebut?
JAWAPAN
Apa yang yang berlaku adalah lafaz ta'liq cerai. Ini bermakna apabila ia menybeut demikian, si isteri tidak dibenarkan sekali-kali untuk melanggarnya atau talaq akan jatuh secara pasti.
Adapun dalam konteks "setelah berbincang semula dengan suami, dan suami benarkan pulak
Majoriti ( Jumhur) para ulama Islam silam ( termasuk ulama dari 4 mazhab) dan kini menyebut bahawa lafaz ta'liq tidak boleh di batalkan lagi apabila telah diucapkan, niat si suami juga tidak perlukan untuk dipastikan dalam konteks lafaz yang sebegini terang dan jelas ( kecuali beberapa pandangan seperti Syeikhul Islam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim yang menyebut kecuali jika lafaz ta'liq tadi diniatkan oleh suami sebagai lafaz sumpah untuk menunjukkan tegahan yang amat amat serius dan bukan untuk menceraikan jika ia melanggarnya. Bagaimanapun pengecualian ini sukar untuk dibayangkan berlaku di suasana malaysia kerana ia adalah suasana orang Arab sahaja yang sememangnya kerap bermain dengan sumpah seperti ini)
Kecuali terdapat satu pandangan dalam mazhab Hanbali yang MENGHARUSKAN pembatalan talaq ta'liq sebagaimana di sebuat dalam kitab al-Furu' oleh Ibn Mufleh.
Hasilnya, menurut 4 mazhab ; apabila si isteri keluar bekerja selepas itu walaupun dengan izin suami, talaq 1 tetap akan jatuh.
Wallahu a'lam dalam hal di Malaysia, Mahkamah Syariah di Malaysia juga mengambil pandangan majoriti Mazhab. Iaitu talaq Ta'liq TIDAK BOLEH DI TARIK BALIK.
SOALAN KEDUA
Seseorang isteri yang mana merupakan isteri kedua dalam perkahwinan dan suami tidak diredhai isteri pertamanya menyebabkan dia (isteri pertama) menfailkan cerai di mahkamah. Namun, suami enggan menceraikannya. Oleh itu kes mereka selesai di luar mahkamah tetapi isteri pertama itu memberi syarat bagi dia menarik balik kes cerai tersebut. 

Syaratnya, suami perlu ceraikan isteri kedua tersebut sebagai contoh diberikan dalam tempoh dua bulan dari tarikh kes ditarik balik, atau isteri pertama itu yang akan mohon fasakh selepas itu. Suami setuju dengan syarat tersebut dan kes di mahkamah tersebut selesai.

Hingga sekarang,isteri kedua dan suami masih hidup seperti suami isteri. Suami memberitahu kepada isteri kedua bahawa dia bersetuju dengan syarat yang diberi oleh isteri pertamanya itu bagi mengelakkan berlaku perceraian antara mereka yang melibatkan masa depan anak-anak.

Isteri kedua tersebut meragui kedudukannya sekarang sama ada dirinya masih isteri yang sah ataupun sudah dita'liqkan oleh suaminya walaupun dia tidak berniat untuk berbuat demikian.
JAWAPAN
Perceraian dan taklik berlaku atas kehendak dan pilihan suami. Dalam hal ini, saya dapati suami 'terpaksa' menuruti kehendak isteri pertama untuk menjaga rumahtangga yang dibina sekian lama di mana terdapat kepentingannya bagi mengelak kemudharatan rumahtangga mereka.

Oleh kerana pengakuan 'perceraian' yang dilakukan suami atas 'paksaan', ia tidaklah jatuh talaknya. Suami kepada isteri tersebut sendiri menyedari hukum ini dan mengakuinya sekadar melepaskan masalah pada ketika itu.
 SOALAN KETIGA
Bagaimana nak bezakan antara lafaz ta'liq dan ugutan/ancaman? Lafaz ta'liq mesti mengandungi perkataan talaq atau cerai ke? Merujuk soalan sebelum ini, bagaimana kalau ia merupakan satu ugutan? adakah jatuh talak bila isteri melanggarnya?

JAWAPAN
Cerai taklik ialah cerai yang digantung ataupun disyaratkan dengan sesuatu. Contohnya seperti suami berkata kepada isterinya, "Sekiranya kamu keluar dari rumah pagi ini ataupun kamu pulang ke rumah ibu kamu tanpa izin saya, maka gugurlah satu talak". Jatuh satu talak sekiranya isterinya melakukan perkara yang ditaklikkan itu. Lafaz taklik mesti mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau  cerai.

Manakala ugutan pula ialah kata-kata yang bertujuan untuk menakut-nakutkan supaya melakukan atau mematuhi sesuatu. Ia adalah ucapan yang umum dan tidak mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai.

Dalam hal ini, berpandangan jika ugutan yang dibuat mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai akan jatuh talak sekiranya isteri melanggarnya. Jika ugutan tersebut mengandungi perkataan yang membawa maksud talak atau cerai, dinasihatkan agar tuan membuat pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal bagi memastikan sama ada berlaku cerai atau sebaliknya kerana pengesahan lafaz cerai terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Juga dinasihatkan agar jangan memandang ringan dan mengambil mudah tentang talak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Tiga perkara yang disungguh-sungguhkan akan menjadi sungguh dan diacah-acahkan akan menjadi sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk"

PROSEDUR-PROSEDUR BAGI MEMOHON CERAI SECARA TA’LIQ

1. Apakah prosedur yang perlu dilakukan bagi membuat permohonan perceraian secara ta’lik? 
JAWAPAN

Apabila berlakunya perlanggaran seperti mana dibelakang surat daftar nikah maka mengadu kepada mana-mana mahkamah syariah dengan memulakan prosiding dengan saman yang disertakan dengan pernyataan tuntutan yang menjelaskan secara terperinci mengenai perlanggaran taklik talak. Saman hendaklah diserahkan kepada suami secara ke diri. Dan apabila gagal boleh dikemukakan saman gantian seperti iklan diakhbar, lekat saman di alamat terakhir dan surau atau masjid yang berdekatan dengan alamat suami serta papan kenyataan mahkamah. Apabila prosding tersebut sempurna mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan. Pada masa tersebut isteri hendaklah memberikan keterangan dan membuktikan setakat mana perlanggaran taklik talak tersebut berlaku. Saksi-saksi dikemukakan bagi menyokong keterangan isteri. Dan diakhir perbicaraan sumpah yamin istizhar ke atas isteri dan mahkamah akan mensabitkan perceraian secara takliq sekiranya keterangan isteri diyakini oleh hakim bicara tersebut sabit akan aduannya. Sekiranya suami hadir suami juga perlu member keterangan dan dibawa dua saksi atau lebih. Mahkamah akan menilai keterangan pihak-pihak dan berdasarkan syahadah dan qarinah mahkamah akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak

2. Apakah halangan-halangan yang terdapat semasa melaksanakan pemohonan cerai ta’lik?

JAWAPAN
Antara halangan menyukarkan prosiding ini iailah :
a) Tiada saksi
b) Saksi tak mencukupi
c) Keterangan hanya dengar cakap (hearsay)
d) Pemohon dan saksi tak dhobit atau kuat lupa
e) Keterangan bercanggah dan tak konsisten
f) Menipu mahkamah
g) Isteri yang meninggalkan suami terlebih dahulu

3. Berapa tempoh bagi satu kes cerai ta’lik dapat diselesaikan?

JAWAPAN
Sekiranya melibatkan perbicaraan sebelah pihak secepat kes adalah 3 bulan atau 3 kali sebutan dan selewatnya adalah 6 bulan atau 6 kali sebuatn dari tarikh kes difailkan. Sekiranya kedua pihak hadir dan masing-masing bertikai dan tidak mahu menyelesaikan kes paling awal dalam 6 bulan kes selesai dan selewatnya 2 ke 3 tahun kes akan selesai, bergantung kepada keterangan pihak-pihak. Namun sekiranya kedua pihak berkompromi dan untuk menyelesaikan kes secara sulh dengan sekali sebutan sahaja iaitu dipinda perceraian taklik kepada seksyen 47 enakmen keluarga islam perceraian persetujuan.



TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...