Tuesday 5 May 2020

KETAHUI TUNTUTAN SELEPAS PENCERAIAN

KETAHUI TUNTUTAN SELEPAS PENCERAIAN

gambar hiasan 

(Merujuk Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984)

Seringkali diajukan mengenai apa yang layak dituntut kepada bekas suami. 

Ada kala, pihak-pihak telah lama bercerai namun akibat tidak mengetahui hak yang sepatutnya, hak-hak tersebut tidak dituntut dan bila hendak dituntut di Mahkamah, pembuktian menjadi semakin sukar atas sebab dokumen hilang, saksi tiada dan sebagainya. 

Islam adalah agama yang adil dan memberi hak dengan sebaiknya. Oleh itu tidak timbul soal Islam menindas mana-mana pihak setelah berlakunya penceraian. Walaubagaimanapun, pihak-pihak hendaklah faham hak yang boleh dituntut selepas berlakunya penceraian. Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas sesuatu berlakunya penceraian ialah:

gambar hiasan
Nafkah Iddah

“Sejak diceraikan, saya buntu tak tahu nak ke mana. Rumah kelamin nama bekas suami, rumah mak ayah dah takda. Duit gaji belum sampai hujung bulan dah sesak.”

Nafkah iddah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri sepanjang tempoh iddah raj’ie disebabkan sesuatu perceraian iaitu termasuklah makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syarak. 

Seksyen 59. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan kesan nusyuz

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Tunggakan Nafkah

“Masa saya masih isteri dia, makan minum belanja rumah semua saya yang tanggung. Padahal bekas suami tu banyak duitnya. Bila diminta, dia suruh guna gaji saya..”

Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan nafkah ini adalah dikira berdasarkan keperluan rutin seorang isteri semasa dalam tempoh perkahwinan tersebut.

Seksyen 69. Menuntut tunggakan nafkah

(1) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu
boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.

(2) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri orang itu di sisi undang-undang orang itu.

gambar hiasan
Harta Sepencarian

“Bekas suami ada 3 biji kereta, 2 buah rumah. Saya suri rumah, tapi saya ada sumbang bagi downpayment. Berapa saya boleh tuntut?”

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa dalam tempoh perkahwinan. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang diperolehi atas sumbangan bersama dalam tempoh perkahwinan.

Walaubagaimanapun, suka kami tekankan bahawa pembahagian harta sepencarian ini tertakluk pada kadar sumbangan pihak-pihak. Tidak menjadi suatu kemestian suami yang berhak mendapat bahagian yang lebih banyak. 

Seksyen 58. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian kepada—
(a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

gambar hiasan
Muta’ah

“Saya sedih betul diceraikan dengan cara macam ni. Selama ni saya korbankan kerjaya, masa dan minat saya semata-mata saya nak bantu bekas suami uruskan bisnes dia. Dah la makan pakai dia semua saya uruskan sendiri selama ni..”

Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut

Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Muta’ah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi dan diceraikan tanpa sebab yang patut mengikut Hukum Syarak. Kadar Muta’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak atau sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran muta’ah yang patut dibayar dan turut berlandaskan kemampuan bekas suami.

Hak Jagaan Anak (hadhanah)

“Saya ada 2 orang anak masih sekolah. Tapi bekas suami selalu igut untuk ambil anak bila saya minta duit belanja anak. Buntu saya dibuatnya..”

Seksyen 81. Orang yang berhak menjaga kanak-kanak

(1) Tertakluk kepada seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak dari mempunyai hak terhadap hadhanah atau jagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu—

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) ibu saudara sebelah ibu;
(k) ibu saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:
Dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

(3) Tiada seseorang lelaki berhak terhadap jagaan seseorang kanak-kanak perempuan melainkan lelaki itu adalah seorang muhrim, iaitu, dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu dalam mana dia dilarang berkahwin dengannya.

(4) Tertakluk kepada seksyen 82 dan 84, jika ada beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama berkelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, jagaan hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat paling mulia yang menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka adalah berhak mendapat keutamaan.

Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Bagi menentukan hak penjagaan ini, Mahkamah akan melihat dari sudut umur dan kebajikan anak khususnya. Anak juga boleh membuat pilihan apabila mencapai had umur yang ditetapkan.
Tuntutan hak jagaan anak ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

gambar hiasan
Nafkah Anak

“Bekas suami ni gaji besar, tapi bila diminta duit belanja anak, dibagi RM300 untuk 3 orang anak. Nak dapat tu pun punya payah nak minta..”

Nafkah anak ialah suatu nafkah wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain.
Nafkah anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya dan keperluan anak tersebut. 

Tunggakan Nafkah Anak

“Saya dah ada Perintah nafkah anak, tapi bekas suami ni liat betul nak bayar. 10 kali saya minta baru nak bagi, tu pun separuh je dibagi..”

Walaubagaimanapun, dalam menuntut hak-hak tersebut, suka untuk diingatkan agar menuntut hanya pada yang hak, bukan berdasarkan dendam atau perasaan yang tidak baik. Malah, apa yang diputuskan oleh Mahkamah adalah berdasarkan pembuktian yang dikemukakan dan berpandukan Hukum Syarak.

No comments:

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...