Monday, 11 May 2020

PEMBUBARAN PERKAHWINAN ( FARAQ NIKAH )

PEMBUBARAN PERKAHWINAN




**************
KENAPA AKU DIFARAQKAN NIKAH
.
Nikah merupakan hubungan yang menghalalkan hubungan di antara lelaki dan perempuan, tetapi sekiranya pernikahan ni tidak dilakukan mengikut syariat Islam dan system perundangan Islam Di Malaysia, menyebabkan berlakukanya masalah status pernikahan tersebut sah. Ia juga melibatkan status waris keturunan sesebuah keluarga itu.

**************
PENGERTIAN

Faraq yang digunakan di dalam kitab-kitab fiqh membawa maksud pemisahan atau pembubaran bagi perkahwinan samada melalui talak atau selainnya. Namun di dalam sistem perundangan Islam di Malaysia perkataan faraq/istilah faraq digunakan bagi merujuk kepada sesuatu pembubaran perkahwinan bukan melalui talak.

**************
KONSEP:
.
Kes-kes faraq yang menyebabkan perbubaran perkahwinan yang berlaku di Malaysia kebiasaanya adalah disebabkan keraguan wali atau saksi dalam akad pernikahan tersebut. Kebiasaanya disebabkan keraguan wali, perkahwinan atas bukan kebenaran daripada wali, perkahwinan lari, perkahwinan luar negara atau lebih tepat lagi perkahwinan sendiket.

**************
KEDUDUKAN EDDAH ISTERI YANG DIFARAQ
.

Kes faraq adalah berbeza dengan penceraian secara talak rajie. Bagi talak rajie, perempuan yang diceraikan perlu menunggu sehingga habis eddah iaitu tiga kali suci sebelum dibenarkan berkahwin dengan orang lain.
Dalam perkahwinan yang dibubarkan secara faraq pula, pasangan boleh melalui proses pernikahan semula tanpa perlu menunggu tiga kali suci.
Bagaimanapun jika pengantin perempuan memilih untuk mengahwini orang lain, mereka perlu menunggu hingga habis eddahnya. Tempoh yang diambil untuk berkahwin semula pula bergantung kepada proses perkahwinan yang dilakukan.

*************

KESAN AKIBAT WALI YANG BUKAN SEBENARNYA TERHADAP ANAK
.
Kesan terhadap anak apabila wali itu bukanlah wali yang sah untuknya adalah anak akan merasa ditipu dan akan menimbulkan perasaan marah kepada anak-anak. Mereka akan merasakan dirinya terhina kerana berkemungkinan mereka merasa dirinya adalah daripada hasil anak yang tidak sah taraf.
.

Jika wali yang mewalikan anak yang bukan anak kandungnya maka ianya akan menjadikan pasangan yang berkahwin itu tergelombang dengan maksiat kerana akad pernikahannya itu tidak sah di sisi syarat Islam.
.

Tuesday, 5 May 2020

KETAHUI TUNTUTAN SELEPAS PENCERAIAN

KETAHUI TUNTUTAN SELEPAS PENCERAIAN

gambar hiasan 

(Merujuk Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984)

Seringkali diajukan mengenai apa yang layak dituntut kepada bekas suami. 

Ada kala, pihak-pihak telah lama bercerai namun akibat tidak mengetahui hak yang sepatutnya, hak-hak tersebut tidak dituntut dan bila hendak dituntut di Mahkamah, pembuktian menjadi semakin sukar atas sebab dokumen hilang, saksi tiada dan sebagainya. 

Islam adalah agama yang adil dan memberi hak dengan sebaiknya. Oleh itu tidak timbul soal Islam menindas mana-mana pihak setelah berlakunya penceraian. Walaubagaimanapun, pihak-pihak hendaklah faham hak yang boleh dituntut selepas berlakunya penceraian. Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas sesuatu berlakunya penceraian ialah:

gambar hiasan
Nafkah Iddah

“Sejak diceraikan, saya buntu tak tahu nak ke mana. Rumah kelamin nama bekas suami, rumah mak ayah dah takda. Duit gaji belum sampai hujung bulan dah sesak.”

Nafkah iddah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri sepanjang tempoh iddah raj’ie disebabkan sesuatu perceraian iaitu termasuklah makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syarak. 

Seksyen 59. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan kesan nusyuz

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Tunggakan Nafkah

“Masa saya masih isteri dia, makan minum belanja rumah semua saya yang tanggung. Padahal bekas suami tu banyak duitnya. Bila diminta, dia suruh guna gaji saya..”

Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan nafkah ini adalah dikira berdasarkan keperluan rutin seorang isteri semasa dalam tempoh perkahwinan tersebut.

Seksyen 69. Menuntut tunggakan nafkah

(1) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu
boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.

(2) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri orang itu di sisi undang-undang orang itu.

gambar hiasan
Harta Sepencarian

“Bekas suami ada 3 biji kereta, 2 buah rumah. Saya suri rumah, tapi saya ada sumbang bagi downpayment. Berapa saya boleh tuntut?”

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa dalam tempoh perkahwinan. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang diperolehi atas sumbangan bersama dalam tempoh perkahwinan.

Walaubagaimanapun, suka kami tekankan bahawa pembahagian harta sepencarian ini tertakluk pada kadar sumbangan pihak-pihak. Tidak menjadi suatu kemestian suami yang berhak mendapat bahagian yang lebih banyak. 

Seksyen 58. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian kepada—
• (a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset itu;
• (b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
• (c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

gambar hiasan
Muta’ah

“Saya sedih betul diceraikan dengan cara macam ni. Selama ni saya korbankan kerjaya, masa dan minat saya semata-mata saya nak bantu bekas suami uruskan bisnes dia. Dah la makan pakai dia semua saya uruskan sendiri selama ni..”

Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut

Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Muta’ah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi dan diceraikan tanpa sebab yang patut mengikut Hukum Syarak. Kadar Muta’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak atau sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran muta’ah yang patut dibayar dan turut berlandaskan kemampuan bekas suami.

Hak Jagaan Anak (hadhanah)

“Saya ada 2 orang anak masih sekolah. Tapi bekas suami selalu igut untuk ambil anak bila saya minta duit belanja anak. Buntu saya dibuatnya..”

Seksyen 81. Orang yang berhak menjaga kanak-kanak

(1) Tertakluk kepada seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak dari mempunyai hak terhadap hadhanah atau jagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu—

• (a) nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
• (b) bapa;
• (c) nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
• (d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
• (e) kakak atau adik perempuan seibu;
• (f) kakak atau adik perempuan sebapa;
• (g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
• (h) anak perempuan dari kakak atau adik seibu;
• (i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
• (j) ibu saudara sebelah ibu;
• (k) ibu saudara sebelah bapa;
• (l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:
• Dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

(3) Tiada seseorang lelaki berhak terhadap jagaan seseorang kanak-kanak perempuan melainkan lelaki itu adalah seorang muhrim, iaitu, dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu dalam mana dia dilarang berkahwin dengannya.

(4) Tertakluk kepada seksyen 82 dan 84, jika ada beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama berkelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, jagaan hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat paling mulia yang menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka adalah berhak mendapat keutamaan.

Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Bagi menentukan hak penjagaan ini, Mahkamah akan melihat dari sudut umur dan kebajikan anak khususnya. Anak juga boleh membuat pilihan apabila mencapai had umur yang ditetapkan.
Tuntutan hak jagaan anak ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

gambar hiasan
Nafkah Anak

“Bekas suami ni gaji besar, tapi bila diminta duit belanja anak, dibagi RM300 untuk 3 orang anak. Nak dapat tu pun punya payah nak minta..”

Nafkah anak ialah suatu nafkah wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain.
Nafkah anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya dan keperluan anak tersebut. 

Tunggakan Nafkah Anak

“Saya dah ada Perintah nafkah anak, tapi bekas suami ni liat betul nak bayar. 10 kali saya minta baru nak bagi, tu pun separuh je dibagi..”

Walaubagaimanapun, dalam menuntut hak-hak tersebut, suka untuk diingatkan agar menuntut hanya pada yang hak, bukan berdasarkan dendam atau perasaan yang tidak baik. Malah, apa yang diputuskan oleh Mahkamah adalah berdasarkan pembuktian yang dikemukakan dan berpandukan Hukum Syarak.

Sunday, 9 February 2020

TUNTUTAN MUTAAH



TUNTUTAN MUTAAH YANG WAJIB ISTERI TAHU SELEPAS BERCERAI 




Gambar Hiasan 



APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MUTAAH?

Mutaah ialah suatu pembayaran sagu hati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai sama ada berupa wang atau pun barang. Sagu hati mutaah ini dikira bayaran yang wajib apabila perceraian itu berlaku bukan disebabkan oleh kesalahan pihak bekas isteri.

 APAKAH HUKUM MENGENAI MUTAAH?
Jumhur ulama menyatakan hukum asal mutaah ialah sunat iaitu suatu amalan yang digalakkan terhadap suami yang telah menceraikan isterinya. Alasan pendapat ini disandarkan kepada ayat 236 surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Hendaklah kamu memberikan Mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat demikian”. Mengikut Imam Shafie, mutaah itu wajib diberikan kepada isteri sama ada dia diceraikan sebelum atau selepas disetubuhi, sudah ditentukan maharnya atau belum. Ia boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan barang lain.

 APAKAH TUJUAN MUTAAH ITU?

Mutaah bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya.
Dengan pemberian mutaah ini kepada bekas isteri  
(a) akan membolehkan isteri itu untuk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai;
(b) akan mengelakkan prasangka buruk masyarakat terhadap isteri itu bahawa perceraian adalah berpunca daripada kesalahan isteri;
(c) ia merupakan penghargaan daripada suami atas sumbangan dan peranan isteri.

APAKAH PRASYARAT UNTUK ISTERI MEMOHON MUTAAH DI MALAYSIA?

Prasyarat untuk isteri memohon mutaah di Malaysia adalah seperti yang berikut:
(a) wujud perkahwinan yang sah;
(b) berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri;
(c) berlaku perceraian hidup;
(d) berlaku persetubuhan;
(e) perceraian bukan disebabkan oleh suami papa.

 APAKAH FAKTOR YANG MENGGUGURKAN HAK MUTAAH?
 Faktor yang menggugurkan hak mutaah adalah seperti yang berikut:
(a) isteri yang nusyuz yang disabitkan oleh mahkamah; 5 4
(b) isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin disebut dalam akad;
(c) isteri murtad;
(d) perceraian secara tebus talak.

BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENENTUKAN KADAR MUTAAH ITU?

Tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah daripada seorang bekas suami kepada seorang isteri yang diceraikan. Namun begitu, terdapat prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah diasaskan kepada –
(a) kemampuan suami;
(b) status pasangan;
(c) tempoh perkahwinan;
(d) pengorbanan isteri.

 APAKAH PERUNTUKAN MENGENAI MUTAAH DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM?

 Peruntukan mengenai mutaah pada umumnya terdapat dalam semua Enakmen Keluarga Islam Negeri. Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya menyebut – “Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihakpihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

GARIS PANDUAN BER'IDDAH

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...