Wang Caruman KWSP si mati tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara secara tidak langsung. Sebaliknya ia adalah harta pusaka yang mesti dibahagi mengikut hukum faraid. Oleh itu KWSP adalah hak milik peribadi pencarum dan hanya pencarum yang mempunyai hak mutlak ke atas wang itu. Manakala penama KWSP adalah sebagai Wasi atau pentadbir harta sahaja.
Oleh yang demikian bagi pencarum yang ingin memberikan hak wang tersebut kepada pasangan hendaklah membuat wasiat. Sekiranya wang tersebut tidak melebihi satu pertiga dari keseluruhan harta pusakanya maka wang tersebut berhak diperolehi oleh pasangan setelah kematian pencarum. Sekiranya melebihi maka lebihan itu akan menjadi harta pusaka yang perlu dibahagi kepada waris-waris lain.
Satu kaedah lagi yang boleh dibuat dari sedikit pengalaman penulis dalam perundangan Islam ialah dengan mendapat persetujuan dari waris-waris lain agar menyerahkan sebahagian wang caruman KWSP tersebut sebagai hibah kepada si isteri atau si suami yang masih hidup. Sekiranya semua waris bersetuju ianya dapat membantu si isteri atau si suami yang ditinggalkan untuk menampung pembelanjaan harian terutama dalam membesarkan anak-anak setelah ketiadaan pasangan.
Kesimpulannya tuntutan yang berkaitan dengan wang caruman simpanan KWSP supaya diisytiharkan sebagai harta sepencarian adalah bercanggah dengan fatwa yang diputuskan di atas.