Tidak dinafikan dalam Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, tiada sebarang peruntukan bagi menjelaskan kedudukan suami ‘nusyuz’ terhadap isteri mereka.
Namun isu ini adalah isu yang hangat diperbincangkan oleh golongan ulama mahupun mereka yang terlibat dalam bidang undang-undang syarie hingga kekeliruan terjadi. Akibatnya sebahagian besar berpandangan nusyuz hanyalah kesan tindakan yang dilakukan oleh isteri dalam kehidupan berumah tangga.
Hakikatnya Allah SWT melalui Surah An-Nisa’ (4) ayat 128 dengan jelas menzahirkan persoalan ini melalui mafhum firmannya: "Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir . Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tidak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
Melalui ayat ini adalah sangat jelas bahawa golongan suami juga boleh menjadi nusyuz melalui tindak-tanduknya dalam menerajui rumah tangga.