Wednesday 24 June 2020

CERAI HAKAM

Hilangnya Kuasa Talak Seorang Suami. 



Terdapat satu kaedah perceraian yang jarang dikemukakan masyarakat disebabkan kurang pengetahuan mengenainya iaitu perceraian secara hakam. Melalui kaedah ini hasrat isteri bercerai dengan suami dapat ditunaikan walaupun suami enggan melepaskannya.


Seksyen 47 Akta undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (peruntukan yang sama bagi negeri-negeri lain di Malaysia, hanya berbeza seksyen sahaja) memperuntukkan bahawa sesebuah perkahwinan hanya boleh dipisahkan apabila ada persetujuan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri. Bercerai apabila seseorang individu itu sama ada suami atau isteri inginkan penceraian Mahkamah menetapkan bahawa penceraian tersebut perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Sekiranya salah satu pihak tidak bersetuju maka penceraian tidak dibenarkan dan kes akan dibawa ke Jawatankuasa Pendamai.


Melalui Jawatankuasa Pendamai ini pula, sekiranya masih wujud pergolakan maka diwujudkan satu pihak yang dinamakan hakam. Di sinilah kuasa talak suami boleh dimanipulasikan. Sekiranya pihak yang memohon penceraian adalah pihak isteri dan suami berkeras enggan menceraikan sedangkan pihak Jawatankuasa Pendamai dan hakam berpendapat penceraian antara kedua mereka adalah wajar, maka hakam akan mengambbil alih kuasa cerai daripada suami. Menepati bahawa, isteri juga mempunyai kuasa cerai atau talak. 


Bagi kes suami tidak hadir di mahkamah atau enggan melafazkan talak, mahkamah akan merujuk kes itu kepada hakam untuk tindakan menurut Seksyen 48. Pada peringkat ini, hakam mengambil alih tugas seterusnya melalui dua peringkat iaitu hakam tidak mempunyai kuasa menceraikan pasangan, sekadar memberi kata putus berkenaan keadaan rumah tangga pasangan.


Peringkat kedua, hakam dilantik oleh mahkamah syariah dengan kuasa untuk menceraikan manakala suami langsung tidak mempunyai kuasa menghalang perceraian itu dan ia sah di sisi hukum syarak serta undang-undang.


Menerusi prosiding hakam ia dapat memendekkan proses perceraian yang biasanya memakan masa yang lama. Wanita yang digantung tidak bertali juga akan mendapat pembelaan sewajarnya.


Sekurang-kurangnya ia memberikan sinar baru kepada wanita yang membuat tuntutan perceraian terutama mereka yang digantung tidak bertali. Jika sebelum ini talak adalah dalam tangan suami dan mereka masih boleh mempertahan kuasa di mahkamah walaupun isteri menuntut perceraian secara fasakh atau taklik namun dengan perceraian melalui hakam, suami tidak mempunyai apa-apa hak dan biasanya perceraian dapat dilakukan dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Hakam juga berkuasa untuk melafazkan talak di mahkamah, walaupun suami tidak membenarkannya dan enggan melafazkannya 


Begitu juga dengan fasakh, khuluk, dan taklik. Ketiga-tiganya memberikan kuasa kepada isteri untuk mendapatkan jalan keluar dari perkahwinan yang tidak lagi memberikan kedamaian dan kebahagiaan kepada mereka.

No comments:

TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...